Penganjur Let S Read Quran Jawab Mufti
YBhg Tan Sri Dato’ Seri (DR) Hj. Harussani bin Hj. Zakaria
Pengerusi,
Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran,
Kementerian Dalam Negeri.
Assalamualaikum W.B.T. YBhg Tan Sri Dato’ Seri (DR),
KEMPEN LET’S READ THE QURAN 2016
Dengan hormatnya, kami merujuk kepada kenyataan media bertarikh 3 Mac 2016 bertajuk “Larangan Penerbitan Teks Al-Quran dalam Bahasa Lain Selain daripada Bahasa Arab” yang telah dimuat naik di laman web Kementerian Dalam Negeri.
2. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih atas nasihat pihak Tan Sri Harussani Zakaria berkenaan kempen Let’s Read The Quran (LRTQ) 2016. Kami ingin mengambil peluang ini untuk menerangkan mengenai kempen LRTQ. Kempen ini telah pertama kalinya diadakan pada tahun 2009 dan telah menerima sambutan baik warga Muslim dan juga bukan Muslim. Pada tahun ini, kami ingin membawa kempen ini pada tahap yang lebih luas dan menyebarkan mesej dan ajaran Al-Quran kepada lebih ramai lagi bukan hanya di Malaysia, bahkan ke luar negara.
3. Kami bersetuju dengan pandangan pihak Lembaga bahawa Al-Quran yang telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan mereka yang tidak memahami Bahasa Arab memahami makna Al-Quran, namun terjemahan tersebut bukan merupakan naskhah Al-Quran tetapi merupakan “terjemahan Al-Quran” atau “tafsir Al-Quran” sahaja. Sebagai contoh, pihak kami ingin berkongsi petikan artikel (yang telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia) daripada bab ke-2 kisah cereka ‘The Righteous Mufti’ yang telah kami terbitkan di laman blog kempen LRTQ. Dalam tulisan fiksyen tersebut, watak Ustaz Din menasihatkan watak Manfi seorang pemuda,
“Ya, adalah wajib untuk kita membaca Al-Quran dalam Bahasa Arab. Walau bagaimanapun, penting juga untuk kita memahami Al-Quran dalam bahasa yang kita kuasai agar kita mampu untuk mengamalkan dan mengaplikasikan ajaran-ajaran Al-Quran.” (Untuk membaca kisah ini secara penuh, sila layari http://letsreadthequranlrtq.blogspot.my.
Pendirian ini adalah bertepatan dengan kenyataan Tan Sri di akhbar The Malay Mail pada 20 Februari iaitu “Jika anda membaca Al-Quran dalam Bahasa Arab, anda telah pun mendapat pahala. Jika anda membaca Al-Quran dalam Bahasa Arab dan memahaminya, anda akan mendapat ganjaran yang lebih besar. Dan jika kita membacanya dalam Bahasa Arab, memahaminya, dan mengamalkan ajarannya, itulah ganjaran yang terbesar.”
4. Objektif kami adalah untuk menggalakkan lebih ramai untuk memahami Al-Quran dalam bahasa mereka sendiri, supaya mesej Al-Quran disebarkan secara meluas dengan lebih efektif. Pendekatan ini telah mendapat sambutan bukan hanya oleh kaum Muslim, tetapi juga kaum bukan Muslim. Ramai di antara rakan-rakan saya dan para pembaca yang bukan beragama Islam telah memberi maklum balas bahawa mereka tertarik dengan mesej-mesej universal dan murni Al-Quran sejak kempen ini diadakan.
5. Kami amat gembira bahawa bukan sahaja kaum Islam yang menyuarakan sokongan terhadap kempen ini, tetapi juga kaum bukan Islam. Sebagai contohnya, perkongsian poster kami telah mendapat sokongan pemimpin Islam seperti Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Tun Dr Siti Hasmah dan juga pemimpin bukan Islam seperti Archbishop Julian Leow dan Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk K. Sri Dhammaratana yang turut berkongsi ayat-ayat Al-Quran pilihan mereka.
6. Untuk memudahkan orang awam menyertai kempen ini, kami juga memuat naik buku elektronik, Share The Quran yang diterbitkan dalam empat terjemahan iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin bersama ayat-ayat asal dalam Bahasa Arab. Buku elektronik ini boleh di muat turun di pautan berikut: https://issuu.com/juste-books/docs/share_the_quran_/1?e=05.
7. Kami berpendapat bahawa kempen ini adalah suatu usaha murni yang ingin mendekatkan masyarakat kepada mesej universal al-Quran. Kami berharap ia tidak akan dihentikan dan mengalu-alukan sebarang nasihat serta cadangan bagaimana untuk mara ke hadapan dengan garis panduan daripada Jakim dan Kementerian Dalam Negeri.
8. Saya berbesar hati untuk mengatur pertemuan bagi membincangkan cara terbaik untuk meneruskan kempen ini selari dengan garis panduan dari pihak Tan Sri dan pihak Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran.
* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.
Sumber: Malaymail
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ulumquran.blogspot.com/2016/03/penganjur-lets-read-quran-jawab-mufti.html