Pengalaman Tukar Skrin Samsung S20 Secara Percuma
Jika anda seorang pengguna Samsung S20+ yang mempunyai masalah dengan skrin, kini anda tidak perlu murung lagi. Samsung secara tidak rasminya membenarkan pelanggan mereka untuk tukar skrin samsung S20+ secara percuma di Samsung Centre berdekatan. Kenapa?
Alkisah
S20+ antara salah sebuah model Samsung yang mempunyai skrin yang sangat bermasalah. Walaupun anda menjaga telefon bimbit anda itu bagai menatang minyak yang penuh, tidak semena akan wujud garisan hijau di skrin anda.
Itulah hal yang telah terjadi kepada saya. Garisan-garisan baru timbul seperti cendawan selepas hujan sehingga menyebabkan saya sukar untuk menikmati paparan skrin amoled yang memukau. Rasa seperti tertipu membeli telefon bimbit flagship tetapi kualiti kelaut. Itulah Samsung.
Hal ini disuarakan oleh pengguna seluruh dunia dan hangat diperdebatkan di platform atas talian tentang rungutan mereka berkenaan kualiti paparan skrin bagi model tersebut. Cakap banyak pun tak guna, pengguna dari India telah mengasak Samsung supaya bertanggungjawab terhadap kualiti produk mereka ini.
Malahan mereka jugalah antara pengguna terawal yang memberi tekanan kepada Samsung. Habis dihentak daripada segenap pelusuk yang memberi gambaran terhadap penganiayaan kepada pelanggan setia jenama tersebut. Akhirnya Samsung mengalah.
Dipendekkan cerita, berita tentang kemenangan pengguna di India itu tersebar luas di media sosial terutama Twitter. Menjadikan ia sebagai sinar harapan kepada pengguna di negara lain untuk menuntut hak yang sama. Malaysia juga tidak terkecuali.
Setelah sekian lama menanti, akhirnya kita juga menikmati kemenangan yang sama.
Program penukaran skrin Samsung S20+
Buat pengetahuan anda, program ini wujud namun tidak punyai pemberitahuan secara rasmi kepada orang awam. Saya tidak pasti mengapa, tetapi itulah yang berlaku.
Program penukaran skrin Samsung S20+ ini diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah skrin bergaris hijau yang muncul secara tiba-tiba. Walaupun waranti anda sudah tamat tempoh, anda masih lagi boleh menebus penukaran skrin ini sehingga 31 Dec 2022.
Ada beberapa syarat yang dikenakan oleh Samsung bagi program penukaran skrin ini:
Program ini hanya tertakluk kepada model S20+ sahaja.
Pastikan masalah yang dihadapi hanya garisan skrin bergaris sahaja. Skrin putih tidak diterima.
Tiada kesan jatuh, dimasuki air, rosak atau dibuka oleh pihak ketiga.
Set import tidak diterima. Hanya set Malaysia sahaja.
Jika anda memenuhi syarat-syarat yang diberikan, anda boleh menukarkannya di Samsung Service Centre berhampiran anda.
Pengalaman saya tukar skrin di Samsung Service Centre
Perkongsian laporan daripada pengguna India
Saya mendapat berita ini daripada group Samsung S20, S20+ dan S20 Ultra Malaysia dimana pada ketika itu kecoh tentang masalah yang kebanyakan daripada kami hadapi dan bagaimana pengguna daripada India dan Vietnam mendapat pembelaan yang sepatutnya.
Dipendekkan cerita, seorang daripada kami berjaya menfailkan kes pertama di Malaysia dengan menukarkan skrin di Samsung Service Centre secara percuma di Sunway Carnival Mall di Pulau Pinang. Dari situ kami mencuba diseluruh kawasan dan satu demi satu melaporkan Service Centre yang sanggup menerima kes ini.
Saya ada juga menelefon Service Centre di The Mines dan difahamkan mereka juga menerima kes seperti ini. Tapi saya ambil keputusan untuk menukar skrin saya di Lowyat memandangkan ketika itu saya singgah di sana mencari barangan.
Keadaan skrin saya dengan garisan hijau (green line)
Jika anda melihat skrin telefon bimbit saya ini, sangat menyayat hati. Satu hapah pun tak nampak. Ada juga terfikir untuk menukar telefon bimbit baru (pada ketika itu mempertimbangkan iphone atau Samsung), tetapi disebabkan saya tidak berpuas hati dengan model terkini kedua-dua jenama, saya tangguhkan dulu dan bersabar.
Nampaknya berkat kesabaran saya membuahkan hasil. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya pun dengan segera menukarkan skrin saya di sana.
Bagaimana dengan proses penukaran
Proses penukaran agak mudah. Apa yang saya perlu buat adalah dengan mengisi borang yang diberikan oleh mereka. Kemudian pendaftaran dibuat dan kad sim dipulangkan kepada saya (mereka mengambil telefon sahaja).
Urusan ini dijalankan pada hari ahad jam 7 malam. Saya dimaklumkan yang mereka perlu memeriksa dahulu telefon bimbit saya bagi tujuan pemeriksaan kerosakan. Kemudian mereka perlu mendapat pengesahan HQ untuk membenarkan mereka tukar skrin Samsung s20+ disamping memeriksa stok skrin.
Difahamkan proses ini memakan masa 3 hari waktu bekerja. Jadi berkemungkinan saya mendapatkan balik telefon bimbit saya pada hari rabu. Semasa itu terfikir juga bagaimana hendak hidup tanpa telefon bimbit pendua.
Urusan sangat lancar, tiada ramai orang
Namun sangkaan saya meleset, mereka berkerja dengan sangat pantas dan efisyen. Tepat jam 12 tengah hari Isnin (keesokan harinya), saya sudah mendapat whatsapp dan email yang mengatakan saya boleh mengambil telefon bimbit saya. Suka bukan kepalang.
Kondisi telefon bimbit
Gambar sebelum dan selepas skrin dibetulkan
Ini adalah kondisi telefon bimbit saya selepas dihantar di Samsung Service Centre. Diambil pada hari yang sama saya dimaklumkan, hasil kerjanya kerana sangat kemas dan memuaskan hati. Lebih menarik saya bukan sahaja ditukarkan skrin, malahan saya juga diberikan pelindung skrin dan bateri yang baru.
Baca juga: Cara menyelesaikan masalah “card information is invalid” di Samsung Pay
Syukurlah semua itu dapat dilakukan secara percuma. Jika tidak, saya akan dicaj sebanyak RM950 untuk urusan yang sama di Samsung Service Centre.
Kesimpulannya
Itulah serba sedikit pengalaman saya tukar skrin Samsung S20+ yang bermasalah di Samsung Service Centre di Lowyat. Jika anda punyai masalah yang sama, segeralah tukarkannya sebelum tarikh kempen tamat.
The post Pengalaman tukar skrin samsung s20+ secara percuma appeared first on Azmir Shah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://azmirshah.com/tukar-skrin-samsung-s20-plus/