Penduduk Rantau Tak Kisah Cerita Kekayaan Tok Mat
 Faiz Zainudin       

Mohamad Hasan disenangi penduduk Rantau kerana keperibadiannya yang suka membantu rakyat.SEREMBAN: Rata-rata penduduk Rantau tidak kisah dengan isu kekayaan  calon Barisan Nasional DUN Rantau, Mohamad Hasan yang dimainkan Pakatan  Harapan baru-baru ini.
Tinjauan FMT mendapati keperibadian bekas menteri besar itu sendiri lebih menarik pengundi Rantau untuk kekal menyokong BN.
Penduduk yang temui, Abdul Salam Mohamad, 29, berkata dia tidak mahu  mendengar isu keburukan pemimpin kerana masalah utama yang dihadapi  penduduk adalah kos sara hidup yang semakin membebankan.
“Soal peribadi Tok Mat ada harta banyak kami tidak kisah, apa yang  kami kecewa sekarang harga barang makin naik, beli barang RM100 tak  penuh 2 beg. 
“Kerajaan PH janji macam-macam tapi tidak tunai, janji PTPTN tak  tunai, tol tak turun, harga barang makin naik, kami makin susah,”  katanya.

Omar Abdul Kadir.Sementara, Omar Abdul Khadir, 40, berkata pengundi tempatan sudah  lama mengenali Mohamad dan isu kekayaannya tidak menjadi masalah kepada  mereka.
“Kami pengundi tempatan kami sudah kenal Tok Mat, kami anggap itu perkara biasa.
“Ketika kempen pilihan raya semua orang boleh bercakap, kita dengar sajalah,” katanya.
Bagi Razman Ramli, 49, penduduk Rantau sudah lali dengan serangan  peribadi oleh PH sejak sebelum pilihan raya umum lalu, tetapi sehingga  kini tiada tangkapan dibuat.
“Macam Najib Razak dulu, sebelum pilihan raya macam-macam orang fitnah dia, tapi sampai hari ini tak masuk penjara lagi.
“Sekarang Tok Mat pula sasaran dan sekarang ini kalau mereka buat  lagi tuduhan, orang sudah tidak percaya sebab kita lebih kenal Tok Mat.
“Kalau dia betul-betul lakukan tunjuk bukti, jangan cakap kosong,” katanya mengakui dirinya penyokong tegar BN.
Bagi Mohd Noor Deraman, 55, sejak Mohamad menjadi menteri besar pada  2004, ini kali pertama dia mendengar mengenai skandal RM10 juta dan  banglo Mohamad.

Yeng Seng Sang.“Kami tidak kisah, kalau benda buruk pasal Tok Mat kami tak nak  dengar, banyak jasa dia, dulu tiap kali tiba hari raya warga emas terima  RM300 seorang, tidak kira Melayu, Cina dan India, lagi orang serang  lagi kita sokong,” katanya.
Sementara, Abdul Ghani Osman, 49, berkata, Mohamad bukan sahaja boleh  memiliki rumah banglo bernilai RM6 juta tetapi lebih daripada itu.
“Dia orang korporat sejak sebelum masuk politik, dia ada duit banyak tapi tidak sombong dengan rakyat.
“Kalau pergi kenduri tidak duduk meja VIP, ini setengah wakil rakyat  bila sudah berduit pegawai peribadi 3, 4 orang, bila minta bantuan  berlagak sombong.
“Tapi Tok Mat sesiapa minta bantuan dia tidak pernah tolak,” katanya.
Yeng Seng Sang, 57, berkata memang lumrah orang politik memiliki kekayaan asalkan kebajikan rakyat terjaga.
“Tidak mengapa dia kaya sebab dia buat kerja, tapi tanggungjawab dia  jadi wakil rakyat dia jaga, dia selalu bantu, minta bantuan dia terus  tolong,” katanya.
Manakala, M Nathan 39, mengakui terkejut mendangar hasil kekayaan  Mohamad, tetapi berkata selagi tidak mempunyai bukti yang kukuh, ia  hanya tuduhan sahaja.
“Lagipun Tok Mat banyak bantu khususnya masyarakat India, dia beri  bantuan kepada kuil, sekolah Tamil, malah sekolah Tamil di sini paling  moden,” katanya.
Mohamad menjadi mangsa serangan PH melibatkan isu kekayaan yang  didakwa memiliki banglo Minangkabau bernilai RM6 juta di Seremban 2.
Beliau juga dituduh memindahkan dana RM10 juta ke London pada 2009 melalui pengurup wang bagi tujuan pembelian pangsapuri.
Mohamad kemudian menafikan tuduhan tersebut mengatakan beliau tidak akan melayan tuduhan yang dianggapnya seperti “budak bodoh”.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/faiz-zainudin-mohamad-hasan-disenangi.html