Pencemaran Sungai Di Selangor Ada Unsur Sabotaj
Pencemaran sungai-sungai kecil di Selangor yang menjejaskan sungai utama seterusnya menyebabkan loji rawatan air terpaksa ditutup dikhuatiri terdapat unsur-unsur sabotaj.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa, dalam beberapa hari kebelakangan ini terdapat pencemaran di beberapa batang sungai namun bahan cemar yang dikesan bukan datang dari mana-mana kilang di sekitarnya.
"Dalam tempoh 5 - 6 hari sahaja kita telah mengesan empat potensi pencemaran yang berjaya dihalang sebelum mengalir ke sungai utama.
"Semalam kita kenal pasti ada tumpahan minyak hitam. Pegawai SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar serta LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) telah meninjau keseluruhan sungai dan kita dapati tidak ada kesan (buangan) dari kilang atau bengkel-bengkel di persekitaran.
"Tiga hari lepas kita dapat kesan di Sungai Kundang, benda sama tumpahan pencemaran berwarna hitam yang kita percaya minyak.
"Saya bimbang ia adalah tindakan yang disengajakan. Namun saya tidak ada bukti mahu katakan begitu. Cuma dalam tempoh 3 - 4 hari ini kita berjaya menghalang potensi atau percubaan untuk mencemarkan sungai dengan menggunakan tenaga sumber manusia (penguatkuasa) yang sedia ada," katanya kepada wartawan selepas majlis Sumbangan Kenderaan dan Kelengkapan kepada Pihak Berkuasa di Shah Alam, pagi tadi.
MB Amirudin menyampaikan sumbangan motorsikal
Dalam perkembagan lain, sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor diharap mampu meningkatkan lagi usaha pemantauan persisir pantai dalam mengenalpasti sebarang cubaan menceroboh sempadan oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Menurut Amirudin, sebanyak 18 basikal elektrik dan 8 jetski diberikan kepada pihak polis bagi meningkatkan keupayaan rondaan.
"Kenderaan ini akan bergerak dalam formasi buddy system dan mula digunakan pada 1 November 2020. Ia menelan belanja sebanyak RM1.15 juta," katanya.
Selain itu, menurut Amirudin, Kerajaan Negeri juga membekalkan beberapa peralatan penjagaan kesihatan seperti 100 unit sut Peralatan Perlindungan Diri (PPE), 500 unit perisai muka, 300 unit sarung tangan, 200 unit gaun, 500 unit pelitup muka, 500 cecair nyahkuman dan 200 apron kepada Jabaran Penjara Malaysia Negeri Selangor sebagai sebahagian daripada usaha mengurus pandemik di penjara-penjara sedia ada.
"Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak membantu usaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terbela," katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/10/pencemaran-sungai-di-selangor-ada-unsur.html