Pencemaran Bau Lra Sg Semenyih Belum Operasi
fazleen safina Kerja pendosan 'activated carbon' dilaksana kurang pencemaran bau
KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih masih belum boleh beroperasi, berikutan paras pencemaran bau di Sungai Semenyih berada pada paras tiga ton setakat 6.30 pagi tadi
LRA itu terpaksa dihenti tugas sepenuhnya bermula Jumaat (20 Disember) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan LRA itu masih belum dioperasikan sehingga bacaan mencapai paras sifar ton, iaitu tiada langsung pencemaran bau
Kenyataan itu menyebut pihak Indah Water Konsortium dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Urus Air Selangor sedang giat menjalankan kerja pembersihan lurang kumbahan (manhole) berhampiran loji rawatan kumbahan (LRK), di mana effluen yang menyebabkan pencemaran bau disedut keluar
“Sementara kerja-kerja pendosan ‘activated carbon’ juga telah dilaksanakan bagi mengurangkan kesan pencemaran bau di Sungai Semenyih,” menurut kenyataan itu
Dalam perkembangan lain, kenyataan itu turut memaklumkan LRK Bukit Tampoi yang menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih, turut terpaksa dihenti tugas bermula 3.30 petang semalam, mengakibatkan 336,930 akaun di 366 kawasan terjejas
Kawasan terjejas adalah di daerah Kuala Langat di Kampung Bukit Changgang, Kampung Labohan Dagang, Kampung Olak Lempit, Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Bukit Tampoi, Kampung Selangor Dredging, Kampung Sungai Manggis, Kilang ISF Dengkil, Kompleks Perabot Olak Lempit, Pusat Serenti, RRM Bukit Changgang, Telor Datok, Taman Ambar
Kawasan lain, antaranya Taman Arked, Taman Changgang Jaya, Taman Seri Dagang, Taman Seri Manggis, Taman Seri Telok Datok dan Taman Topaz
“Bantuan bekalan air kecemasan terus dipergiatkan dan lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital. Sebelas pusat khidmat setempat dan pili awam masih meneruskan operasinya 24 jam
“Pihak Air Selangor menjangkakan tempoh masa pemulihan gangguan bekalan ini mengambil sedikit masa,” menurut kenyataan itu
Air Selangor menyatakan pihaknya akan mengeluarkan hebahan dan makluman terkini dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan perlu bagi mengurangkan impak gangguan kepada pengguna
Orang ramai juga boleh merujuk aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ atau laman sesawang www.airselangor.com bagi mengetahui perkembangan berkaitan insiden itu. -Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/12/pencemaran-bau-lra-sg-semenyih-belum.html