Pencarian Eran Haya Belum Temui Petunjuk Positif
Identiti individu bernama Eran Haya didakwa
dicari lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di ibu negara pada 27
Mac lalu, belum dapat dikenal pasti.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain
berkata, ini kerana siasatan di peringkat kini belum mempunyai petunjuk positif
terhadap lelaki yang didakwa suspek.
“Berdasarkan pengakuan suspek memberitahu mencari
seorang lelaki warga Israel bernama Eran atas isu keluarga tapi kita (polis)
perlu pengesahan mengenai kewujudan lelaki itu.
“Buat masa ini, kita belum jumpa lagi. Itu alasan
dia sebagai motif tapi kita melihat kemungkinan motif berbeza daripada alasan
diberikannya dan hanya mengada-adakan cerita,” katanya dalam sidang media di
Bukit Aman di sini, semalam.
Ditanya kemungkinan lelaki warga Israel itu
sebagai koordinator bagi perancangan membunuh Eran, Razarudin berkata, siasatan
menjurus pelbagai sudut.
“Kita lihat bagaimana seorang lelaki warga
asing datang ke Malaysia boleh mendapat enam pucuk senjata dalam masa beberapa
hari duduk di sini, jadi kita lihat kepada semua sudut.
“Mungkin dia boleh menjadi koordinator atau
mungkin juga menjadi armourer (pakar senjata) atau datang untuk ambil senjata.
Jadi itulah semua sudut siasatan kita, paling mustahak adalah mengenalpasti
motif,” katanya.
Katanya, siasatan ini penting demi menjamin
keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Razarudin berkata, polis kini berada dalam
keadaan berjaga-jaga terhadap keselamatan orang awam dan pemimpin negara
termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Polis perlu menentukan keselamatan orang kenamaan
terutama Yang di-Pertuan Agong, Raja dan Perdana Menteri yang kita tidak tahu
mungkin jadi sasaran.
“Dia mungkin sebut nama Eran tapi sebenarnya
Eran itu tiada di negara ini,” katanya.
Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1230955/siapa-eran-haya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/04/pencarian-eran-haya-belum-temui.html