Pencapaian 100 Hari Prestasi Jemaah Menteri Tak Layak Dapat Markah Lulus Kit Siang
MALAYSIA POST
VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tidak wajar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan markah 90 peratus untuk prestasi keseluruhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari Jemaah Menteri dalam Kabinetnya.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata perkara itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, memandangkan pencapaian barisan menterinya tidak layak untuk mendapatkan markah lulus walaupun 50 peratus.
“Pada 9 Disember 2021, rakyat Malaysia diingatkan berapa jauh lagi perjalanan kita untuk mencapai Impian Malaysia, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat yang berkelas dunia yang bertentangan sama sekali dengan sebuah kleptokrasi
“…. apabila Perdana Menteri Ismail Sabri menunjukkan betapa rendah sekali kita telah jatuh apabila beliau memberikan Kabinetnya markah 90 peratus untuk kad laporan 100 hari pertama mereka sedangkan mereka ini tidak melepasi markah lulus 50 peratus sekali pun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, Menteri Kabinet dengan prestasi terbaik adalah Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin, sedangkan beliau juga tidak layak menerima lebih daripada markah lulus.
“Pada seratus hari pertama beliau pada 7 Disember 2021, Malaysia mencatatkan 4,966 kes dan 66 kematian akibat Covid-19, dan angka ini telah berubah menjadi lebih buruk kepada 5,466 kes dan 41 kematian akibat Covid-19 semalam.
“Pada 7 Disember, kita mencatatkan sejumlah 2,667,999 kes dan 30,719 kematian terkumpul akibat Covid-19.
“Semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 untuk melawan wabak Covid-19, kita mencatatkan 2,322 kes baharu dengan empat kematian – dengan sejumlah 138,224 kes terkumpul dan 555 kematian terkumpul,” katanya.
Justeru, Kit Siang mempersoalkan adakah pemberian markah 90 peratus itu membabitkan ‘prestasi’ mencatatkan kadar kes Covid-19 lebih dua kali ganda dan kadar kematian lebih 16 kali ganda berbanding dengan semasa darurat mula diisytiharkan.
“Malah, persoalan timbul mengapa Malaysia patut mendapat markah lulus dalam melawan wabak ini sedangkan kita tidak mampu menamatkan gelombang penularan selama 23 bulan sejak September tahun lepas?,” soalnya.
Kit Siang berkata, Ismail Sabri perlu diberikan ‘kredit’ kerana menjadikan konsep pencapaian ‘100 hari’ itu hilang makna, dengan memberikan markah 90 peratus kepada jemaah menteri.
“Jika Kabinet beliau pun boleh menerima 90 peratus markah, adakah sesiapa di dalam dunia yang mampu untuk gagal dalam ‘Seratus Hari Pertama’ mereka?,” soalnya.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan prestasi keseluruhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari Jemaah Menteri adalah mencapai tahap 90 peratus.
Ismail Sabri berkata, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata, justeru pencapaian berkenaan bukan alasan untuk menteri dan kementerian mendabik dada tetapi menyuntik kesungguhan untuk terus bekerja bersama rakyat. – Malaysiapost
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/12/pencapaian-100-hari-prestasi-jemaah.html