Penasihat Dakwa Kim Jong Un Masih Hidup Dan Sihat
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un masih “hidup dan sihat”, kata penasihat keselamatan tertinggi kepada presiden Korea Utara, Moon Jae In, menafikan khabar angin mengenai kesihatan Kim berikutan tidak hadir pada sambutan ulang tahun penting.
“Kedudukan kerajaan kami kukuh,” kata penasihat khas keselamatan negara Moon dalam satu temubual bersama CNN pada Ahad.
“Kim Jong Un masih hidup dan sihat.”
Penasihat itu berkata Kim tinggal di Wonsan – sebuah bandar peranginan di timur negara itu – sejak 13 April, sambil menambah: “Tiada pergerakan mencurigakan dikesan setakat ini.”
Spekulasi mengenai kesihatan Kim muncul sejak beliau tidak hadir pada sambutan 15 April sempena ulang tahun datuknya Kim Il Sung, pengasas Korea Utara – hari paling penting dalam kalendar politik negara itu.
Kim tidak muncul dikhalayak ramai sejak mempengerusikan mesyuarat politburo Parti Pekerja pada 11 April, dan pada hari berikutnya media negara itu melaporkan beliau memeriksa jet pejuang di sebuah unit pertahanan udara.
“Kami tidak mempunyai apa-apa untuk disahkan dan tidak ada gerakan khusus yang dikesan di Korea Utara setakat ini,” kata pejabat presiden Korea Selatan dalam satu kenyataan minggu lalu.
Daily NK, portal media atas talian yang kebanyakannya dikendalikan pembelot Korea Utara, melaporkan Kim pulih setelah menjalani prosedur kardiovaskular awal bulan ini.
Memetik sumber dalaman negara yang tidak dapat dikenal pasti, ia mengatakan Kim, yang berusia pertengahan 30-an, memerlukan rawatan segera kerana terlalu kuat merokok, obesiti dan keletihan.
Tidak lama selepas itu, CNN melaporkan Washington “memantau risikan” bahawa Kim berada dalam “bahaya besar” setelah menjalani pembedahan, memetik apa yang dikatakannya adalah seorang pegawai AS yang tidak dikenali.
Presiden AS Donald Trump pada Khamis menolak laporan Kim sakit tetapi enggan menyatakan bila kali terakhir beliau berhubungan dengannya.
Pada Isnin, akhbar rasmi Rodong Sinmun melaporkan Kim mengirim pesanan terima kasih kepada pekerja projek pelancongan pesisir Wonsan Kalma.
Ia adalah yang terbaru dalam siri laporan kebelakangan ini mengenai kenyataan yang dikeluarkan atau tindakan yang diambil atas nama Kim, walaupun tidak ada yang membawa gambarnya.
Imej satelit yang ditinjau oleh 38North, badan pemikir yang berpangkalan di AS, menunjukkan sebuah kereta api dikatakan milik Kim di sebuah stesen di Wonsan minggu lalu.
Ia memberi amaran kehadiran kereta api tidak “menunjukkan apa-apa mengenai kesihatannya” tetapi “mengesahkan” laporan beliau tinggal di pantai timur negara itu.
Pelaporan dari dalam wilayah terpencil sangat sukar, terutama berkaitan dengan kepemimpinannya, yang merupakan antara rahsia yang paling dijaga rapi.
Kim yang tidak membuat kemunculan di khalayak sebelum ini, menimbulkan spekulasi mengenai kesihatannya.
Pada 2014 beliau tidak muncul selama hampir 6 minggu sebelum muncul kembali dengan tongkat. Beberapa hari kemudian, agensi perisik Selatan berkata beliau menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan dari pergelangan kakinya.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/04/penasihat-dakwa-kim-jong-un-masih-hidup.html