Pemuda Umno Wp Cabar Menteri Senarai Pewaris Setuju Jual Tanah Kg Baru
   Mohamad Fadli

Mohammed  Nizham Abdullah Hamidi berkata, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan akan  membuat laporan kepada polis dan SPRM jika wujud unsur penipuan dan  rasuah dalam proses pembelian tanah Kampung Baru.
PETALING JAYA: Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mencabar Menteri  Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyenaraikan nama pewaris yang  bersetuju dengan tawaran kerajaan untuk membeli tanah di Kampung Baru.
 Ketuanya, Mohammed Nizham Abdullah Hamidi berkata, tindakan itu  penting untuk merungkai kesangsian rakyat terhadap isu pembangunan  Kampung Baru.
 “Jika benar, buktikan kepada rakyat dengan bukti yang sahih, bukan  sekadar membuat kenyataan murahan bagi meraih persepsi baik dari rakyat.
 “Rakyat tidak bodoh dalam menilai isu Kampung Baru, terutamanya  anak-anak muda Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Khalid dilaporkan berkata, laporan media 90% pemilik  tanah Kampung Baru bersetuju dengan tawaran kerajaan RM850 sekaki  persegi sebagai pulangan untuk pembangunan semula kawasan itu adalah  tidak tepat.
 Sebaliknya, beliau berkata, apa yang dimaksudkan 90% itu adalah  pemilik yang bersetuju menjual tanah mereka dan menerima Projek  Pembangunan Kampung Baru, tetapi mereka mahukan harga lebih tinggi.
 Rabu lalu, Khalid dilaporkan berkata, 700 hingga 800 borang yang  diterima Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB) daripada penduduk  Kampung Baru berhubung pembangunan semula kawasan itu, kira-kira 90%  pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 sekaki persegi.
 Pada 26 Sept lalu, Khalid berjanji akan berbincang dengan Perdana  Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan membuat keputusan mengenai tawaran  harga lebih tinggi bagi tanah Kampung Baru dalam masa sebulan.
 Sementara itu, Nizham mempersoalkan jika semua penduduk Kampung Baru  sudah menerima borang permohonan pembangunan semula kerana tiada borong  permohonan yang boleh dimuat turun dari laman sesawang PKB.
 “Yang ada hanyalah borang kebebasan maklumat, senarai semak, borang townhall dan juga pelan induk Kampung Baru.
 “Agak pelik bila Khalid dan PKB tidak meletakkan borang permohonan di  dalam laman sesawang PKB. Dari manakah pemilik dan pewaris ini mendapat  borang yang dinyatakan Khalid?” soalnya.
 Beliau mendakwa berdasarkan maklumat yang diterimanya, majoriti  penduduk Kampung Baru tidak bersetuju dengan tawaran kerajaan,  terutamanya berkaitan harga tanah RM850 sekaki persegi.
 Beliau turut menyifatkan borang soal selidik yang dikeluarkan  kerajaan pada sesi townhall ialah satu bentuk “pemerasan jijik” terhadap  pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.
 Katanya, empat pilihan dalam borang soal selidik itu langsung tidak  memberi peluang kepada pemilik dan pewaris menolak tawaran kerajaan.
 “Pilihan pulangan penjualan tanah kepada kerajaan, iaitu secara  tunai, secara unit siap (in kind), kombinasi tunai dan unit siap serta  pemegang saham dalam SPV yang akan dibentuk kerajaan.
“Sudah tentu peratusan bersetuju mencapai lebih 90% kerana tiada  langsung pilihan jawapan untuk pewaris dan pemilik tanah Kampung Baru  tidak bersetuju dengan tawaran kerajaan.
 “Sudahlah begitu, tiada langsung ruang untuk mereka membincangkan  harga tanah yang ditawarkan kerajaan, seolah-olah RM850 sekaki persegi  itu harga mati. Ini satu kaedah diktator,” katanya sambil mempersoalkan  jika kerajaan akan terus memaksa pewaris dan pemilik menjual tanah  mereka kepada kerajaan.
 Nizham berkata, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan tidak akan mendiamkan diri dalam isu ini.
 “Sekiranya terdapat unsur penipuan dan rasuah di dalam proses  pembelian tanah Kampung Baru, kami memohon mana-mana pihak yang  mempunyai maklumat atau rasa tertindas dan tertipu oleh Kementerian  Wilayah dan PKB untuk menghubungi kami.
 “Tindakan yang sewajarnya akan diambil, termasuklah melaporkannya kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/10/pemuda-umno-wp-cabar-menteri-senarai.html