Pemuda Umno Malu Wilfred Terima Bantuan Pekebun Getah Rm600
MALAYSIAKINI
Exco Pemuda Umno, Bastien Onn menzahirkan rasa malu terhadap tindakan timbalan ketua menteri Sabah, Wilfred Madius Tangau menerima RM600 daripada bantuan monsun untuk pekebun kecil getah.
"Untuk pengetahuan Wilfred Madius Tangau, anda sebagai seorang wakil rakyat (ahli parlimen) dan juga seorang Timbalan Ketua Menteri - janganlah sibuk memikirkan soal apa bantuan yang patut dan layak anda terima.
'Saya rasa malu apabila mendengar beliau mempertahankan apa yang diterima berdasarkan luas kebun yang beliau miliki," kata Bastien dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Wilfred berkata tiada peraturan mengatakan seorang menteri tidak berhak menerima bantuan itu.
“Saya memiliki kebun getah seluas 10 ekar di Tamparuli, yang dijaga sepupu saya, Taimin Gindalan, yang juga seorang ketua masyarakat pribumi,” katanya seperti dilapor portal FMT semalam.
Tangau, yang juga ahli Parlimen Tuaran dan menteri perdagangan dan perindustrian Sabah, tersenarai sebagai penerima bantuan musim monsun.
Senarai itu tersebar di media sosial dan mengundang kritikan daripada warga internet.
Seolah-olah rampas bantuan pekebun kecil
Bastien berkata Wilfred seharusnya sedar bahawa masih ramai pekebun kecil belum menerima bantuan yang sepatutnya mereka peroleh
"Untuk pengetahuan beliau ada 600,000 pekebun kecil di luar sana.
"Banyak di kalangan mereka yang masih memerlukan bantuan seperti baja dan bantuan musim hujan ini.
"Mengapa seorang MP dan Timbalan Ketua Menteri tidak mengutamakan rakyat terdahulu. Ini seolah-olah merampas bantuan musim tengkujuh pekebun kecil," katanya
Tegasnya, Wilfred selaku wakil rakyat seharus memperjuangkan rakyat terlebih dahulu sebelum meletakkan kepentingan dirinya sendiri.
"Selama ini kerajaan PH sering menjaja bahawa kedudukan kewangan mereka rendah.
"Saya minta rakyat di Tuaran dapat melihat gelagat wakil rakyat yang mereka pilih ini dan mulalah beratur beramai-ramai di hadapan pejabat beliau untuk menuntut hak masing-masing sama seperti apa yang Tangau perolehi," katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/12/pemuda-umno-malu-wilfred-terima-bantuan.html