Pemansuhan Auku Bukan Retorik Maszlee
Kasthuri Jeevendran
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan kerajaan memberi komitmen untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan ia akan dilakukan menjelangnya tahun 2020.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Maszlee berkata, seperti janji manifesto Pakatan Harapan, usaha memansuhkan AUKU merupakan agenda utama beliau di Kementerian Pendidikan.
“Tidak timbul soal sekadar meminda AUKU ini, kita komited bukan dengan janji sahaja tetapi apa sebenarnya yang dimahukan oleh rakyat khasnya pelajar serta mahasiswa kita.
“Sebagaimana saya telah sebutkan sebelum ini AUKU akan tetap dimansuhkan. Itu bukan sesuatu yang retorik atau sekadar janji pilihan raya sahaja.
“Sebaliknya, perkara tersebut perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bukan begitu sahaja. Langkah yang sedang diambil sekarang iaitu memansuhkan Seksyen 15(2)(c) adalah langkah awal ke arah itu,” katanya.
Mazlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, Kabinet dalam mesyuarat pada 9 November lalu telah memberi kelulusan bagi membolehkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU dilakukan sebelum akta itu dimansuhkan kelak.
Pada 4 Disember lalu, beliau membawa ke Dewan Rakyat Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti untuk bacaan kali pertama manakala bacaan kali kedua dan ketiga dijangka pada minggu hadapan.
Langkah untuk memansuhkan peruntukan itu turut akan melibatkan pemansuhan Seksyen 47(2)(c) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(c) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang terpakai kepada semua Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan Politeknik, Kolej Komuniti serta Institut Perguruan.
Sambil menyifatkan pindaan itu sebagai satu ‘sejarah’ , Maszlee berkata, pemansuhan Seksyen 15(2)(c) selari dengan transformasi politik yang dibawa oleh Kerajaan dalam mengukuhkan institusi demokrasi.
Jelas beliau, ini akan memberi lebih ruang kepada pelajar universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik mengikut sistem demokrasi serta berupaya dalam menyuarakan pendapat mengenai isu semasa diperingkat kebangsaan malah antarabangsa.
“Ini adalah sejarah. Pengalaman ini akan dirakamkan dalam lipatan sejarah kerana pindaan ini sudah lama diharapkan oleh banyak pihak, khususnya mahasiswa yang begitu dahagakan kebebasan,” ujarnya.
Sebelum ini wujud persepsi bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak berpegang kepada janji apabila hanya sekdar melakukan pindaan terhadap tiga akta bagi membolehkan pelajar universiti mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti politik selepas ini.
Pindaan rang undang-undang itu tidak akan mengenakan sebarang tindakan displin atau dihukum kerana berpolitik.
AUKU 1971 merupakan satu akta yang digubal oleh kerajaan Malaysia yang diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agong pada 27 April 1971 kemudian dipinda pada tahun 1975 dan 1995 menjadi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1995. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/12/pemansuhan-auku-bukan-retorik-maszlee.html