Pemandu Van Jenazah Mayat Itu Bangun Duduk Di Belakang Saya
Sebaik memberhentikan kenderaan, saya terkejut apabila melihat keranda di dalam sudah terjatuh dari kedudukan asal. Penutupnya terbuka dan menampakkan sebahagian jenazah.
Ketika sedang menyiapkan tugasan di pejabat, saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari kerani di jabatan pentadbiran. Menurut beliau, seorang pekerja syarikat kami Razif, yang terlantar sakit di hospital kerana mengidap kanser usus, telah meninggal dunia.
Mengikut kata kerani tersebut saya ditugaskan menghantar jenazah tersebut ke kampung halamannya di utara tanah air. Setelah mengambil alamat lengkap saya, meredah kesesakan menuju ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Biasanya jika urusan bedah siasat selesai, jenazah juga sudah dimandi dan dikapankan saya akan bertanggungjawab untuk membawa jenazah pulang ke rumah keluarga tempat dikebumikan. Begitulah rutin saya selama memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Khairat dan Kematian di syarikat tempat saya bertugas ini.
Kebiasaannya selepas menghantar jenazah, saya akan terus pulang. Tak pernah sekali pun saya bermalam walaupun destinasinya jauh kerana keesokannya saya akan diberi cuti oleh majikan. Waktu itu bolehlah saya berehat dengan secukupnya.
Sambil memandu, fikiran saya mengelamun terkenangkan arwah. Kalau nak ikutkan saya tidaklah begitu rapat dan mesra dengannya, tambah pula kami berlainan jabatan. Kalau berjumpa atau bertembung pun hanya sesekali, itu pun jika di kantin.
Berdasarkan pengamatan saya, arwah berusia lingkungan awal 50-an. Statusnya pula tidak saya ketahui kerana saya tidak pernah melihatnya bersama isteri atau pun anak-anak.
Hampir setengah jam memandu akhirnya saya sampai ke perkarangan rumah mayat HKL. Rakan-rakan pejabat dan saudara mara arwah sudah ramai membanjiri perkarangan Bilik Mayat HKL. Sekitar pukul 4.00 petang, barulah jenazah dibawa keluar dari Bilik Mayat dan seterusnya diusung ke dalam van.
Sebungkus plastik yang berisi pakaian serta kelengkapan arwah ketika berada di hospital diserahkan kepada saya untuk diberikan kepada keluarganya apabila sampai nanti.
Dari situ saya mula memandu meninggalkan ibu kota dan menyusuri lebuh raya. Seperti biasa saya memasang cakera padat bacaan ayat-ayat Al-quran dan mula mencongak perjalanan yang pastinya mengambil masa tujuh hingga ke lapan jam.
Malam itu saya memandu seorang diri membawa jenazah berkenaan ke utara semenanjung. Hari itu saya berseorangan kerana tiada seorang pun waris arwah yang mahu menemani. Mereka lebih senang memandu kereta sendiri kerana ada yang ingin bermalam di sana.
Haris, rakan sepejabat yang biasanya menjadi kelindan saya juga bercuti kerana terpaksa menguruskan anaknya yang baru bertukar sekolah. Namun itu bukanlah menjadi masalah kerana sebelum ini pun saya sudah biasa memandu seorang diri walaupun destinasinya jauh beratus kilometer.
Saya tidak kisah membawa jenazah seorang diri. Cuma apa yang saya risaukan ialah jika terjadi perkara yang tidak diingini seperti van rosak ataupun kesulitan untuk mencari rumah si mati.
Ramai beranggapan tugas saya ini agak mencabar dan perlukan keberanian, namun hakikatnya tidak sedetik pun timbul perasaan cuak atau takut. Sepanjang lima tahun pengalaman membawa jenazah tidak pernah sekalipun saya mengalami perkara-perkara pelik mahupun menakutkan.
Bagi saya si mati juga makhluk Allah seperti kita. Cuma bezanya dia pergi lebih awal menghadap Ilahi berbanding kita. Nescaya satu hari nanti kita juga akan mengikut jejak langkah sepertinya.
PERJALANAN YANG MULANYA lancar bagaimanapun terkandas hampir dua jam akibat kesesakan teruk di susur keluar menuju Bukit Beruntung kerana terdapat kemalangan di situ. Nampaknya saya kena cari perhentian yang terdekat kerana waktu sudah menghampiri Maghrib.
Sesekali saya mencuri pandang menoleh keadaan jenazah di belakang yang hanya dipisahkan oleh dinding serta jaring besi. Tapi… tidak tahu kenapa tiba-tiba saya berasa berdebar dan tidak sedap hati. Saya beristighfar dan cuba menenteramkan hati dengan mengalihkan fikiran ke perkara lain, namun tetap tidak berjaya.
Selesai menunaikan solat Maghrib di hentian Tanjung Malim, saya kembali meneruskan perjalanan. Hari semakin gelap. Sekali lagi saya menelefon isteri dan anak-anak untuk menghilangkan rasa bosan.
Hujan lebat mula turun ketika saya melepasi susur keluar ke Sungkai. Dengan berhati-hati saya memperlahankan kenderaan kerana sukar untuk melihat keadaan jalan. Petir dan kilat di luar saling sabung menyabung menyebabkan suasana malam ketika itu amat tidak selesa.
Tiba-tiba… ‘PRANGGG!!!’ terdengar dentuman kuat di dalam kenderaan.
Bunyi itu amat mengejutkan. Lantas saya berhentikan van di tepi jalan dan memeriksa keranda. Saya beristighfar sambil mengurut dada. Cepat-cepat saya pasang lampu kecemasan dan berhenti di bahu jalan. Nak keluar dari kenderaan memang agak berisiko kerana hujan masih lebat, lagipun takut jika ada pemandu yang memandu laju merempuh saya nanti.
Lantas saya menjengah ke belakang memerhatikan keadaan jenazah. Saya lihat tidak ada apa-apa perubahan. Keranda masih dalam keadaan elok.
“Habis tu, bunyi apa tadi?” persoalan itu bermain-main dalam kepala. Fikiran saya mula merewang jauh memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Saya mengambil keputusan meneruskan perjalanan. Saya cuba menenangkan perasaan sendiri.
Hujan yang menggila membuatkan penglihatan saya terbatas. Saya meneruskan pemanduan dengan berhati-hati sambil telinga khusyuk mendengar alunan bacaan ayat suci Al-Quran di radio.
Saya kemudian memasuki hentian rehat Sungai Perak untuk solat Isyak. Sebaik memberhentikan kenderaan, saya terkejut apabila melihat keranda di dalam kenderaan sudah terjatuh dari kedudukan asal. Penutupnya terbuka dan menampakkan sebahagian jenazah.
Darah saya berderau. Puas saya mencongak bagaimana ianya boleh terjadi. Adakah dentuman kuat tadi berpunca dari keranda yang terjatuh ini? Tapi seingat saya selepas bunyi itu saya sempat meninjau ke belakang dan lihat keadaan jenazah masih elok seperti sediakala.
Sekarang, keranda sudah terbalik. Soalnya, bila ia terbalik sebab saya tidak dengar pun bunyi benda jatuh. Satu lagi, tidak ada lubang atau benda besar yang saya langgar hingga menyebabkan van jenazah yang saya bawa ini melantun dan keranda tersebut terbalik.
Entahlah, bingung saya memikirkannya. Dengan pantas saya membuka pintu belakang van dan membetulkan keadaan keranda serta jenazah seperti sediakala.
Soalnya, macam mana keranda itu boleh terbalik? Saya tak dengar pun ia jatuh ke lantai van. JAM MENUNJUKKAN angka 1.00 pagi ketika saya melalui susur keluar Alor Setar. Ketika berhenti membayar tol sekali lagi saya berhadapan dengan perkara pelik. Kali ini gadis yang bertugas di pondok tol itu saya lihat tiba-tiba menjadi panik.
Saya lihat mukanya pucat sambil matanya liar meninjau ke arah van yang saya pandu. Waktu menghulurkan wang baki, dia sempat menunjukkan isyarat seperti ada sesuatu yang tidak kena di belakang saya.
Saya tergamam, tidak mampu membalas apa yang dimaksudkan. Namun hati kecil pantas mengatakan pastinya ada sesuatu perkara yang tak baik sedang berlaku.
Saya ambil duit baki dan terus memecut van yang dipandu. Sampai saja ke destinasi lebih kurang sejam kemudian, saya lihat ramai saudara mara arwah yang sedang menunggu. Setelah barang-barang arwah dan jenazah dibawa masuk ke dalam rumah, saya lantas meminta diri untuk pulang walaupun ada di antara mereka yang menyuruh saya bermalam di situ kerana berasa kasihan melihat saya yang keletihan selepas menempuh perjalanan yang jauh.
Apabila menghampiri pondok tol untuk keluar ke lebuh raya, saya berhentikan kenderaan van di tepi jalan. Sejak tadi fikiran saya hanya tertumpu ke arah juruwang yang bertugas di tol. Saya benar-benar inginkan kepastian.
Saya ingin bertanya apa yang menyebabkan dia tiba-tiba menjadi pucat lesi dan tak selesa ketika saya membayar tol tadi. Saya melangkah menuju ke pondok tol. Nasib saya baik kerana keadaan di situ agak lengang memandangkan tiada sebuah pun kenderaan yang lalu.
“Assalamualaikum…” sapa saya ketika menghampirinya.
“Errr… wa’alaikum alam…” balasnya dengan suara terkejut sambil beralih memandang saya. Sekali imbas saya perasan raut ketakutan masih lagi terpancar jelas di wajahnya. Saya memperkenalkan diri dan menenangkannya. Setelah keadaan kembali normal saya mula menyusun ayat bertanya tentang perkara yang berlaku sebentar tadi.
“Maaf encik… sebenarnya tadi saya memang takut sangat sampai tak mampu nak berkata apa-apa. Errrr… saya… saya… saya nampak jenazah yang encik bawa tadi tu duduk betul-betul di belakang encik…” jawabnya dengan suara yang terketar-ketar penuh ketakutan.
Jenazah itu duduk betul-betul di belakang saya. Saya terkedu. Tak semena-mena bulu roma di tengkuk saya tegak meremang. Lidah kelu dan tak mampu membalas kata-kata gadis tersebut. Saya tahu tidak mungkin dia berbohong atau sengaja mengada-adakan cerita.
Nasib baik saya tak melihat apa yang dia saksikan, kalau tidak entahlah. Saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan. Sebaliknya saya menumpang rehat di masjid berdekatan. Bagaimanapun, saya langsung tidak dapat melelapkan mata hingga ke pagi. Hanya selepas solat Subuh barulah saya berangkat pulang.
Pencerita: Roazman Zainol Abideen
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://hantudunia.blogspot.com/2021/08/pemandu-van-jenazah-mayat-itu-bangun.html