Pemaju Fail Semakan Keputusan Menteri Tuntut Ganti Rugi Rm139b
MALAYSIAKINI    
Pemaju projek bersepadu pelabuhan laut dalam, Melaka Gateway hari ini  memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Menteri Pengangkutan  Anthony Loke yang membatalkan lesen operasi pelabuhan yang diberikan  kepada syarikat itu.
Lesen itu sebelum ini diberikan kepada KAJ  Development Bhd oleh kerajaan persekutuan pada bulan Mac 2018, iaitu dua  bulan sebelum pilihan raya umum ke-14, yang menyaksikan perubahan  kerajaan.
Pemaju itu juga memohon perintah certiorari untuk  melupuskan pembatalan lesen dan perintah mandamus untuk memaksa Loke  menjawap rayuan mereka dalam tempoh 14 hari dari perintah mahkamah.
Menurut theedgemarkets.com, KAJ Development memohon ganti rugi am berdasarkan nilaian mahkamah, dan ganti rugi khas sebanyak RM139 bilion.
Pemaju itu menamakan Lembaga Pelabuhan Melaka, Loke dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Menurut  permohonan itu, syarikat berkenaan berkata ia menerima surat bertarikh 5  Okt tahun lalu memaklumkannya mengenai pembatalan tersebut.
Rayuan telah difailkan melalui surat kepada Loke pada 14 November, tetapi KAJ Development tidak menerima sebarang jawapan.
KAJ  Development, yang mengemukakan permohonannya untuk mengendalikan projek  Gateway Melaka sejak Januari 2014, berkata projek itu akan menarik  pelancong, membangunkan industri maritim dan menyumbang kepada ekonomi  negara.
Syarikat itu juga mendakwa bahawa ia berjaya menarik minat  daripada Royal Caribbean Cruises Ltd serta tiga syarikat yang  berpangkalan di China.
Berdasarkan alasan-alasan ini, laporan  tersebut menyatakan bahawa KAJ Development sedang memohon kebenaran  untuk merit penuh permohonan dibicarakan.
Syarikat itu juga  memohon perintah bahawa keputusan Loke menolak rayuan mereka dalam  membatalkan lesen dengan tidak membalas surat rayuan pada 15 Disember,  tidak mengikut undang-undang.
Ia  mendakwa bahawa tindakan tersebut juga bertentangan dengan kewajipan  statutori menteri dan oleh itu pembatalan lesen adalah terbatal dan  tidak sah.
Kes itu disebut di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nordin Hassan hari ini.
Hakim  kemudian menetapkan 24 April untuk keputusannya. KAJ Development  diwakili oleh Mohd Haniff Khatri Abdulla, yang juga pernah mewakili  Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/pemaju-fail-semakan-keputusan-menteri.html