Peluang Dapat Kerja Sempena Hari Malaysia Di Johor Bahru
Mohd Zaini Samsu Hadi                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  Azlinda menunjukkan poster program Jom Semarakkan Srikandi Untuk Malaysia Prihatin pada 16 September ini.             KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang untuk mengikuti sesi  temuduga bagi mengisi kekosongan pekerjaan sempena Hari Malaysia yang  akan disambut pada 16 September ini.
Sesi tersebut akan diadakan di Taman Suria, Johor Bahru bermula pukul 10 pagi.
Antara syarikat korporat yang bakal mengadakan temuduga terbuka  itu adalah Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), AEON dan syarikat e-hailing  Best Ride.
Program itu adalah antara pengisian Program Jom Semarakkan Srikandi  Untuk Malaysia Prihatin anjuran Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia  (PPBM) Johor Bahru.
Ketua Srikandi Johor Bahru, Azlinda Abdul Latif berkata, pelbagai  program sehari itu diadakan di Pusat Kesihatan Komuniti Azlinda (Azlinda  Unity Wellness Center) yang terletak di balairaya Taman Suria sempena  sambutan Hari Malaysia.
“Bermula dari pukul 8 pagi, kami adakan pasar pagi dengan kerjasama  Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) dan ini membuka peluang orang ramai  untuk berbelanja sambil berjimat.
“Sesi khidmat nasihat bagi usahawan juga akan berlangsung dari pukul 9  pagi melibatkan Bank Simpanan Nasional (BSN), Suruhanjaya Syarikat  Malaysia (SSM), Tekun Nasional dan Majlis Bandaraya Johor Bahru,”  katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata,  usahawan berpeluang mendapatkan khidmat nasihat mengenai pembiayaan  perniagaan, pendaftaran perniagaan serta mendapatkan lesen perniagaan.
Penganjur katanya, akan turut menyampaikan biasiswa berjumlah  RM168,000 bagi 30 pelajar mendalami pendidikan Perubatan Senaman yang  disalurkan oleh sebuah institusi terkemuka, MS New Symphony Exercise  Clinic melalui satu sesi pada pukul 3 petang.
Menurutnya, orang ramai juga dipelawa untuk menghadiri sesi khidmat  nasihat kekeluargaan yang bakal disampaikan oleh Pakar Fisiologi dan  Pemakanan Sihat, Dr Adibah Alawiyah dan Pakar Kekeluargaan dari Kemajuan  Masyarakat (Kemas), Rohana Mustafa.
“Kami juga akan menyampaikan pelbagai bantuan khusus untuk golongan  memerlukan pada sebelah tengahari selain sesi pendidikan yang  dikendalikan oleh pakar akademik dan pakar bidang kemahiran,” ujarnya.
Katanya lagi, penganjuran program dapat membuka peluang pekerjaan  penduduk setempat selain ruang penyenaraian produk Industri Kecil dan  Sederhana (IKS) seperti barang makanan dan jahitan dihasilkan golongan  B40.
Selain itu, ia juga bagi memperkenalkan kepada orang awam tentang  Pusat Kesihatan Komuniti berkenaan yang menyediakan khidmat percuma  melibatkan sesi perundingan dan senaman dengan peralatan gimnasium  kepada golongan masyarakat yang mengalami empat penyakit iaitu darah  tinggi, diabetes, jantung dan obesiti.
Beliau berkata, program akan berlangsung dalam suasana normal baharu  untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan  wabak Covid-19.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi  wakil penganjur di talian 017-7222945 atau 012-7072982. –  MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/peluang-dapat-kerja-sempena-hari.html