Pelihara Kesucian Agama Jom Bangkit Bersama Mufti Presiden Pas
Saman: G25 ugut Presiden PAS, tidak para Mufti?
DALAM tulisan beliau bertajuk “G25: Membahayakan Akidah Umat Islam” pada 17 Januari 2020, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menyatakan:
“Sebenarnya kumpulan (G25) dan segala gerombolannya lebih berbahaya daripada kumpulan Al-Maunah kerana ancamannya terhadap akal apabila akalnya tidak berpandukan syariat Kitab Allah dan membahayakan akidah umat Islam yang terbawa akibatnya sehingga selepas meninggal dunia.”
Ekoran tulisan beliau ini, G25 pada 31 Januari 2020 menuntut permohonan maaf secara terbuka di atas alasan bahawa:
“Gelaran G25 lebih bahaya daripada al-Maunah adalah fitnah dan perbuatan jenayah kerana ia boleh menghasut atau mencetuskan kebencian atau rasa tidak puas hati terhadap G25 yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 503 dan 505 (c) Kanun Keseksaan.”
G25 juga berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
Pertama-tamanya, adalah satu perkara yang sangat malang malah melucukan sekali bila sebuah kumpulan liberal yang memperjuangkan segala bentuk kebebasan memilih untuk tidak menjawab kritikan ke atas mereka tetapi mahu menggunakan tindakan undang-undang bagi menutup mulut sekali gus menyekat kebebasan bersuara pengkritik mereka.
Keduanya, adalah satu perkara yang sangat pelik dan menghairankan sekali bila G25 memilih untuk menggunakan tindakan undang-undang ke atas Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tetapi tidak membuat tindakan sama ke atas tokoh-tokoh lain yang membuat kritikan lebih teruk ke atasnya seolah-olah beliau lebih berpengaruh dari tokoh-tokoh lain.
Dalam kenyataan rasmi beliau pada 14 Januari 2020, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, menyebut:
“G25 keliru dalam memahami konsep kebebasan. Mereka lupa bahawa tiada kebebasan yang mutlak di dunia ini. Setiap kebebasan mesti diimbangi dengan tanggungjawab. Kebebasan mesti dibatasi dengan undang-undang, hukum agama dan nilai akhlak. Manusia bukan seperti haiwan yang tidak terikat dengan peraturan-peraturan tersebut.”
“Memang Islam menjamin kebebasan beragama, kebebasan berfikir dan menyatakan fikiran. Malah kedatangan Islam ke dunia ini pun adalah untuk membebaskan manusia daripada pengabdian kepada sesama manusia dan hanya mengabdi kepada Allah semata-mata. Namun ini tidak bererti seseorang bebas menceroboh hak-hak orang lain, bebas membuat maksiat atau melanggar hukum agama dan nilai-nilai akhlak yang diperlukan untuk kesejahteraan hidup bermasyarakat.”
“Seseorang tidak bebas melanggar peraturan jalan raya sesuka hati, tidak bebas merampas harta benda orang atau mencabul kehormatan anak dan isteri orang. Manusia sentiasa dikehendaki mematuhi undang-undang, hukum agama dan nilai moral. Jika kesemua ini tidak dipedulikan maka kehidupan ini akan menjadi huru hara dan porak-peranda. Kebebasan yang kita kehendaki ialah kebebasan kemanusiaan, bukan kebebasan kebinatangan.”
Dalam kenyataan rasmi beliau pada 14 Januari 2020, Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, menyebut:
“Sangat menyedihkan kumpulan (G25) menganggap murtad iaitu keluar dari Islam merupakan kesalahan atau dosa peribadi antara individu dengan Tuhan sahaja dan kerajaan hendaklah memberi kebebasan kepada umat Islam untuk murtad. Pandangan ini adalah sesat dan menyesatkan kerana terpengaruh dengan slogan kebebasan yang dicanang oleh golongan liberal di dunia Barat.”
“Maka dengan ini saya ingin menegaskan bahawa pandangan golongan Liberalis seperti G25 adalah bercanggah dengan pendapat Jumhur Ulama’ dan Perlembagaan Persekutuan.”
Dalam kenyataan beliau pada 14 Januari 2020 juga, Mufti Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, menyebut:
“Kenyataan G25 yang membidas undang-undang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama dengan alasan ‘antara dia dengan Tuhan’ boleh jatuh syirik.”
“G25 telah menafikan perkara-perkara yang jelas dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis.”
Semua kenyataan Mufti-mufti ini adalah reaksi mereka ke atas kandungan laporan ‘Administration of Matters Pertaining to Islam’ yang G25 keluarkan pada 10 Januari 2020 yang menyebut perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya, termasuk murtad, adalah antara individu itu dengan Tuhan.
Mana yang lebih teruk antara kritikan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menyebut G25 lebih berbahaya daripada kumpulan Al-Maunah kerana membahayakan akidah umat Islam dengan:
(i) Kritikan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, bahawa kebebasan yang diperjuangkan oleh G25 adalah kebebasan kebinatangan, bukan kebebasan kemanusiaan?(ii) Kritikan Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa pandangan G25 adalah sesat dan menyesatkan serta bercanggah dengan pendapat Jumhur Ulama’ dan Perlembagaan Persekutuan?(iii) Kritikan Mufti Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, bahawa kenyataan G25 boleh jatuh syirik kerana G25 telah menafikan perkara-perkara yang jelas dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis?Mengapa G25 langsung tidak berani menyanggah kritikan Mufti-mufti ini kepadanya, dan apakah ini bermakna kritikan Mufti-mufti ini adalah benar?
Apakah G25 mempunyai agenda politik bila memilih Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai sasaran untuk diambil tindakan undang-undang?
Saya menyeru seluruh umat Islam bangkit bersama-sama Mufti-Mufti dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam memelihara kesucian Islam dari serangan G25.
Sekian.
“Islam Memimpin Perpaduan”
DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 2/1/2020
Lihat sebelum ini..Landak 1: Peluang Jana Ekonomi, Ternaknya, Semuda...Landak 2: Khasiat..'lembek tertidur boleh bangun m...Landak 3: Ini Geliga Landak, Apa Rahsianya Pula?
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ibnuhasyim.com/2020/02/pelihara-kesucian-agama-jom-bangkit.html