Pelawak Dianggap Bodoh Badut Di Pentas Kasihanlah Shahrol Shiro
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
APABILA Shahrol daripada kumpulan, Shiro, menyuarakan pandangannya mengenai mengapa juri pertandingan besar seperti Maharaja Lawak Mega (MLM) tidak terdiri daripada kalangan pelawak, ramai yang berperang dengan pendapat masing-masing.
Tetapi, jika difikirkan secara mendalam, barangkali ada benarnya pandangan yang dilontarkan oleh Shahrol kerana pelawak tentunya lebih tahu selok belok seni komedi itu sendiri berbanding mereka yang bukan tergolong dalam kelompok itu.
Berpeluang berbual dengannya baru-baru ini, Pancaindera cuba merungkaikan apa sebenarnya yang bermain di benak Shahrol sementelah dia juga berani mempertahankan pendiriannya berhubung isu ini.
Bukan mahu mencari hal, tetapi dapat disimpulkan bahawa anak kelahiran Kluang, Johor ini cuma mahukan satu perubahan yang baik untuk industri seni komedi tanah air.
Jika suara kecilnya dapat didengar ramai, maka apa salahnya input yang bagus diketengahkan untuk penambahbaikan sebuah pentas besar seperti MLM. Berikut adalah temu bual bersama Shahrol.
Apa sebenarnya bermain di minda Shahrol ketika melontarkan pandangan bahawa juri sepatutnya terdiri dalam kalangan pelawak tempoh hari?
Saya nak lihat industri komedi kita ini semakin berkembang, bukan menguncup. Kita lahir selepas zaman Senario, jadi kita ini adalah pelapis pelawak di Malaysia. Tak kiralah daripada program Raja Lawak, Maharaja Lawak atau Maharaja Lawak Mega pun. Industri komedi di Indonesia sudah 10 tahun ke depan berbanding kita. Contoh, penggunaan pick up line. Di sana sudah berevolusi dan lebih hebat, tapi kita masih sama saja. Cia Cia Cia saja? Dah basi. Bab penjurian pula, saya rasa sangat teruk. Apabila buat persembahan hambar, juri asyik komen nak tengok cuba lagi pada minggu depan, tapi apa intipati komennya? Macam awak masak nasi goreng dan ia tidak sedap. Tapi awak tak beritahu apakah garamnya yang kurang? Atau gulanyakah kurang? Bagaimana kita nak tahu apa silapnya?
Maksud Shahrol, juri pun kena tahu apa asas dalam bidang komedikah?
Saya rasa, juri sekarang kalau ditanya mengenai ‘The Three Rules’ dalam teknikal komedi pun mereka tak tahu. Punchline yang mana satu, siapa yang bawa cerita dan macam-macam lagilah. Kalau komen diberikan berdasarkan itu, maka peserta tahu apa yang mereka harus ubah. Bila saya tegur, mereka pun ada yang hubungi dan minta saya jangan hentam macam itu. Katanya kita sebagai satu keluarga. Saya tak menghentam tapi bersuara untuk kebaikan. Beginilah, ada yang menyokong membawa rebah, ada yang menyokong bawa kenaikan. Saya tegur untuk lihat perubahan mereka.
Tapi, jikalah golongan pelawak duduk di kerusi juri, tidakkah ia boleh membawa kepada konflik kepentingan?
Tak dinafikan, termasuk isu mengikut format. Saya pun tahu. Tapi, komedi ini mengikut mata dan kehendak zaman ketika itu. Saya faham program MLM pada awalnya satu rancangan baru. Masa itu, nak ambil juri ada berjuta pengikut demi menaikkan rating pun tak apa. Tapi sekarang, program itu sudah gah, ada nama.Hari ini bukan ikut rating. Tapi kita nak satu komuniti komedi yang bermutu dan bernas. Yang boleh mendidik masyarakat. Tolonglah, pelawak bukan bodoh, bukan badut untuk ketawa-ketawa atas pentas saja. Itu yang sampai terjadi lawak double meaning, sebut yang tidak sepatutnyalah. Ingat saya tak kasihankah tengok industri komedi hari ini asyik kena kecam? Semua di pentas itu ialah kawan-kawan. Saya kasihan bila satu Malaysia tengok mereka macam badut. Tugas pelawak, kalau di Indonesia sudah taraf pengkritik sosial. Yang boleh beri mendidik masyarakat, menegur, menasihati sesiapa sahaja tak kiralah kerajaan, ahli politik atau apa.Pemikiran kita kena berubah dan jangan di takuk lama.
Bagaimana jika Shahrol dihentam kerana berpandangan begini? Maklumlah industri ini kecil sahaja.
Kalau nak hentam atau gam saya pun suka hatilah. Saya pun tak ada niat nak muncul di kaca TV semula. Saya bukan nak pertikaikan rezeki orang, tapi satu saya nak tanya, apa tujuan asal Astro Warna ditubuhkan? Itu adalah rumah para pelawak, untuk mereka berkarya, mencurah idea, nak beri persembahan. Tapi hari ini, nampaknya sesiapa sahaja boleh masuk rumah itu atas dasar rating. Pelawak-pelawak yang masuk bertanding dari Raja Lawak 1 sampai 7 itu ke mana akhirnya? Pernah saya tanya dan jawapan yang diberikan, mereka tiada rating, tak ramai pengikut. Kalau macam itu, kenapa Allahyarham Mamat Khalid boleh guna formula meletakkan pelakon watak Kuda dalam filemnya? Itu kerana dia ada bakat dan disokong oleh orang lama dan pengkarya yang tahu macam mana nak letakkan Kuda itu.
Shahrol kecewa tak bila tengok rakan-rakan yang bertanding rata-ratanya sekarang dikatakan tidak kelakar pun. Komen?
Tak perlu kata penonton atau warganet, peranan Sang Bara itu untuk apa? Dalam salah satu komen, saya dengar Sang Bara itu menilai persembahan kumpulan 3Otak, namun ayat yang digunakan tidak patut. ‘Ini 3 Otak atau tiada otak?’Seolah maruah pelawak itu tidak bersungguh nak buat kelakar atas pentas. Walaupun tak kelakar, tahu tak, betapa payahnya nak cari idea untuk tiga minit itu? Mereka ada kekangan masa untuk berjumpa setiap hari, mungkin ada pekerjaan lain, berkumpul perah idea sampai dua tiga pagi tetapi adakala ilham tidak muncul, janganlah komen orang itu tiada otak. Hormat sikit. Setahun sekali kumpulkan pelawak-pelawak, lepas itu awak nak bunuh seorang demi seorang dengan tembakan. Ini macam drama ‘Squid Game’ pula.
Ada berpendapat Shahrol bersuara kerana kecewa tak dapat masuk program MLM tahun ini. Komen?
Bukan tak dapat masuk. Sudah ditawarkan tapi saya yang tak nak masuk. Ada beberapa faktor yang saya rasa tak perlulah masuk. Bertanding dalam keadaan pandemik ketika ini, kita tahu ada had penonton di studio. Kita buat lawak ini, semangatnya dari penonton. Kalau penonton pun ada 10 atau 20 orang, baik buat lawak dalam grup WhatsApp saja. Saya percaya, setiap orang yang berada di pentas, yang menaikkan semangat mereka adalah sambutan daripada penonton di depan. Kalau penonton tak memberi, tak keluarkan aura ketawa mereka, pelawak pun akan jadi lesu dan lemau.
Secara peribadi, menerusi dengan apa yang berlaku ini, ada tak terdetik di hati Shahrol ‘mujur tak masuk bertanding pada tahun ini’?
Bukanlah cakap ‘mujur aku tak masuk’ sebab ramai juga tahu saya sibuk uruskan banyak perkara lain selama ini. Kita lahir dalam program itu jadi memang dah kategori pelawak. Ia juga bagai sebuah rumah lama kita. Cuba bayangkan rumah di mana tempat awak lahir, tempat bermain. Tergamak tengok rumah itu dibakar, dirobohkan, dihina? Itu rumah peninggalan kita. Tak akan kita nak benda tak baik terjadi. Saya sendiri banyak kenangan di situ. Tapi sekarang, di situ saya lihat macam ramai yang nak memusnahkan khazanah komedi.
Andai ada berpendapat, Shahrol ini banyak bunyi kerana teringin nak duduk di kerusi juri macam mana ya?
(Ketawa). Saya ini bukan nak kejar jawatan atau kerusi jurilah! Untuk apa? Ingat seronok sangat jadi juri? Saya bercakap hari ini atas kapasiti seorang penonton. Saya percaya ramai lagi yang sokong. Kalau nak letak juri yang bagus misalnya seperti Sabri Yunus, Saiful Apek atau Habsah Hassan. Tak semestinya pelawak. Maksud saya, biarlah orang itu seorang yang tahu teknikal komedi. Itu yang penting.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/pelawak-dianggap-bodoh-badut-di-pentas.html