Pelanggan Bersesak Di Gerai Walau Tiada Bazar Ramadan Di Kelantan
  Siti Hajar Husna Che Hassin   
TINJAUAN | Masuk hari ke-19 pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di  Kelantan dan ketiadaan bazar Ramadan nampaknya tidak memberi jaminan  bahawa masyarakatnya mengambil tanggungjawab yang tegas dalam usaha  mengekang penularan Covid-19.
Usaha kerajaan negeri melarang operasi bazar Ramadan seolah-olah tidak memberi impak besar. 
Ini  selepas peniaga mengambil peluang membuka gerai jualan di tepi-tepi  jalan sekali gus mengajak orang ramai berkerumun dan mewujudkan  kesesakan.
Apatah lagi gerai dibuka secara berderetan di kawasan-kawasan yang terhad dan turut menyebabkan kesesakan lalu-lintas.
Tinjauan Malaysiakini di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu menyaksikan orang ramai tetap  memilih untuk bersesak-sesak bagi membeli juadah berbuka puasa di  gerai-gerai terbabit.

Orang  ramai dilihat masih sukar mengawal diri agar benar-benar mematuhi  prosedur operasi standard (SOP) ketika membeli juadah berbuka puasa di  gerai-gerai tepi jalan.
Berdasarkan pemerhatian, antara lain  menunjukkan keadaan pelanggan tidak beratur dan mengabaikan penjarakan  fizikal ketika mahu membuat pembelian.
Seorang peniaga  makanan panas yang mahu dikenali sebagai Saleha, 36, berkata berdepan  dengan ramai pelanggan adalah satu cabaran yang besar bagi peniaga.
"Peniaga  sudah meletakkan tanda isyarat supaya menjarakkan diri satu meter dan  menyuruh pelanggan membuat penjarakan, tapi, ada sesetengah yang tidak  menghiraukannya. 
"Saya sebagai peniaga, kadang-kadang tak mampu berbuat apa-apa," katanya ketika kepada Malaysiakini di Kota Bharu, semalam.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani  Husin melahirkan rasa kesal kerana mendapati masyarakat di negeri itu  masih memilih untuk ‘bergelewak' (bersesak-sesak) di gerai-gerai juadah berbuka puasa. 
Sebagai  rekod, PKP bermula 16 April sehingga 29 April dan terbaru akan  dilanjutkan sehingga 17 Mei 2021 dalam usaha mengekang penularan wabak  Covid-19.
Sementara itu, tinjauan juga mendapati ada segelintir  orang ramai yang berkunjung ke gerai-gerai untuk membeli makanan tidak  memeriksa suhu walaupun termometer sudah disediakan.

Seorang  peniaga ayam bakar yang mahu dikenali sebagai Husin, 48, berkata dia  sudah menyediakan termometer untuk pelanggan menyukat suhu badan secara  sendiri, tetapi ada segelintir tidak mematuhi SOP yang ditetapkan itu. 
"Ramai  yang memeriksa suhu dan scan MySejahtera sebelum membeli, tapi ada  segelinitir yang terus membeli tanpa berbuat sedemikian.
"Saya  sudah sediakan termometer di atas meja untuk digunakan. Sepatutnya,  pelanggan sudah tahu SOP sekarang, tapi ada juga kadang-kadang yang  ingkar," jelasnya.
Selain itu, masih terdapat gerai-gerai jualan  yang masih tidak menyediakan imbasan QR mySejahtera serta buku tulis  untuk mencatat nama dan nombor telefon pengunjung di kedai mereka.
Dalam  pada itu, penggunaan pelitup mulut dan hidung dilihat dipatuhi peniaga  dan pengunjung namun terdapat juga segelintir yang memakainya di bawah  paras hidung sahaja tanpa mengamalkan pemakaian yang sepatutnya.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Pengarah JKNK Dr Zaini Hussin berkata berdasarkan laporan yang diterima, terdapat pertambahan kes dalam komuniti sekali gus menunjukkan Covid-19 kini sudah berada dalam kalangan masyarakat dan boleh menjangkiti orang lain. 
"Keadaan  ini hanya boleh diatasi sekiranya masyarakat mematuhi prosedur operasi  standard (SOP) yang telah digariskan dan sentiasa peka yang kita  sebenarnya berhadapan dengan pandemik," katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/pelanggan-bersesak-di-gerai-walau-tiada.html