Pekerja Kedai 4d Di Kedah Menghitung Hari
Predeep Nambiar dan Dineskumar Ragu
Sebuah kedai 4D di Kedah.ALOR SETAR: Cuti hujung minggu di Kedah bermula semalam dan kedai-kedai 4D di Jalan Stesen, iaitu jalan utama di sini, terus dibuka, mengambil pertaruhan untuk cabutan hari ini dan esok.
Namun, tiada suasana cuti kerana para pekerja kedai 4D sekadar menghitung hari setelah kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen operasi cawangan mereka.
Para pekerja di kebanyakan kedai-kedai ini terdiri daripada warga emas.
Apabila ditanya pendapat mengenai penutupan yang bakal berlaku, salah seorangnya, Ah Tiang, 60, berkata: “Apa yang boleh kami buat? Ini ‘negara Islam’. Kami tak boleh kata apa-apa, kan?”
Beliau sudah bekerja selama lima tahun dengan gaji minimum, meraih RM1,200 sebulan. Katanya, para pekerja akan dimajukan ke barisan pengurusan jika prestasi mereka baik, dan ini membolehkan mereka meraih dua kali ganda jumlah itu sebagai kerani kanan.
Ah Tiang, yang tidak berkahwin, menunggang motosikal kapcai ke tempat kerja dari rumahnya di Taman Berjaya. Katanya, separuh daripada gajinya dibelanjakan untuk sewa. Baru-baru ini, beliau terpaksa berbelanja membeli perabot bagi menggantikan barangan yang rosak akibat banjir kilat.
“Saya hanya belajar hingga Tingkatan Tiga,” katanya.
“Saya tak tahu di mana lagi saya boleh bekerja. Saya ada bertanya sama ada saya boleh buat kerja kayu di kedai keranda, tetapi kata mereka, keranda dibuat oleh kilang sekarang.”
Seorang pekerja kedai 4D di Kulim berkata, kedai itu tidak pernah membenarkan orang Islam berjudi. Selama bertahun-tahun, katanya, mereka menolak orang Islam yang hendak berjudi.
“Kalau kami nampak orang Melayu datang ke kedai, kami akan tunjuk papan tanda ‘Orang Islam Dilarang Masuk ke Premis’ dan mereka akan pergi. Kami pun tak benarkan budak bawah umur masuk berjudi, malah kami periksa kad pengenalan mereka.”
“Aplikasi kami pun akan tolak nama Islam secara automatik. Ini menunjukkan betapa tegasnya kami mengikut undang-undang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
Menurut beliau, diketahui “bookie” haram di Kulim mengunjungi kedai-kedai kopi menawarkan nombor 4D “gelap”.
Menurut seorang individu yang mendakwa pernah membuat taruhan melalui sistem gelap itu, seseorang perlu menghantar nombor 4D pilihan kepada ahli sindiket menerusi SMS, dan bayaran dibuat dalam talian.
Nombor-nombor yang menang dipilih oleh syarikat 4D yang sah, tetapi habuannya lebih besar.
“Jika melalui kedai 4D boleh menang RM1,000, (melalui sistem ini), boleh menang RM1,200,” katanya.
“Wang habuan dibayar menerusi pindahan bank bagi jumlah kecil, dan cek bagi jumlah besar.”
Seorang lelaki yang mengendalikan operasi kedai 4D di Kedah berkata, keadaan menjadi kacau bilau apabila Menteri Besar mengumumkan bahawa lesen tidak akan diperbaharui.
Bagaimanapun, katanya, sebuah kedai bergegas memperbaharui permit dan berjaya mendapatkannya bagi tempoh setahun lagi. Biasanya, ia memakan kos RM884 di Alor Setar.
Pada masa ini, terdapat 45 kedai beroperasi bawah francais DaMaCai, SportsToto, dan Magnum di Alor Setar. Pengendali 4D itu berkata, beliau menjangkakan sekurang-kurangnya 10 akan tutup kedai menjelang Januari.
Satu-satunya kedai di Langkawi akan ditutup Oktober depan, katanya.
Beliau berkata, pada 1970-an dan 1980-an, ramai orang Melayu memegang jawatan kerani kanan di kedai-kedai ini dan tiada siapa yang peduli.
Seorang penjudi di Kulim mendakwa ramai individu yang berjudi dengan jumlah wang yang besar dalam kalangan orang Islam gemar berjudi di kasino di Genting. Beliau turut mendakwa kenal ramai belia Melayu yang berjudi dalam talian.
Apabila ditanya sama ada beliau akan pergi ke pekan berhampiran, iaitu Bukit Mertajam di Pulau Pinang, untuk membeli nombor 4D selepas kedai-kedai ditutup di Kulim, beliau berkata, ia menyusahkan.
“Saya akan terus berhenti beli nombor,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/pekerja-kedai-4d-di-kedah-menghitung.html