Pas Umno Perkukuhkan Muafakat Nasional Pahang Untuk Persiapan Menangi Pru 15
KUANTAN - PAS-UMNO Negeri Pahang bersetuju memperkemaskan lagi penyusunan gerak-atur kerja bersepadu Muafakat Nasional (MN) Pahang sebagai persiapan menghadapi PRU15 akan datang.
Sehubungan itu satu pertemuan mahabah melibatkan kepimpinan daripada kedua-dua parti yang bertujuan memperkukuhkan MN Pahang telah dilangsungkan di Swiss Bay Hotel, di sini semalam.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, kedua-dua pihak saling memuhasabahkan kembali agenda penyatuan ummah dan sejarah awal hubungan termeterai itu.
Menurutnya, mereka juga mengimbas kembali menjadi negeri pertama yang mengadakan Himpunan Mega Penyatuan Ummah pada Karnival Perpaduan Ummah, 28 dan 29 September 2019 di Padang MPK, di sini.
“Setiap detik sejarah gemilang himpunan tersebut masih menjadi ingatan kami. Alhamdulillah hubungan baik dan mesra antara kami terus terjalin hingga kini,” ujar beliau.
Maklum beliau yang juga ADUN Tanjung Lumpur, beberapa program dan solusi telah dibincangkan dengan teliti dan tersusun terutama bagi memperkemaskan lagi jentera MN dalam menghadapi PRU15.
Pengerusi UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya konsisten bahawa MN merupakan persepakatan terbaik demi kesinambungan dan kestabilan kerajaan kini dan pasca PRU15 kelak.
Tegas beliau, persepakatan sebegini yang dituntut bukan sahaja oleh ahli-ahli kedua-dua parti UMNO dan PAS, malah turut diterima baik serta dituntut juga oleh rakyat negeri Pahang.
“Sejarah membuktikan, di sebalik kejatuhan Kerajaan Pusat pimpinan BN pada PRU14 lepas, namun Pahang (selain Perlis), BN yang ditunjangi UMNO terus menerus mendapat mandat rakyat untuk memerintah tanpa henti selama lebih 60 tahun.
“Dengan kekuatan yang ada pada BN Negeri ditunjangi UMNO dan diperkukuhkan lagi dengan penyertaan PAS dalam MN, saya yakin in sya-Allah perjuangan bersama kita hadapi PRU15 akan membuahkan hasil lebih daripada disasarkan.
“Saya berharap, kita sama-sama perkukuhkan kesepakatan kita ini yang tentunya bersandarkan atas faktor kejujuran dan setiakawan sejati, demi bangsa, agama dan bumi Pahang terus terpelihara,” ujarnya yang juga Menteri Besar Pahang.
Pimpinan PAS Pahang yang bersama dalam pertemuan tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya, Andansura Rabu dan Setiausaha, Hasanuddin Salleh serta Pengarah Pilihan Raya, Hamdan Abdullah dan Ketua Penerangan, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.
Pimpinan Umno Pahang pula dihadiri Timbalan Pengerusi, Dato’ Sri Hassan Ariffin dan Bendahari, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak serta Ketua Penerangan, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha, Dato’ Sri Abdul Hamid Nazahar. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/03/pas-umno-perkukuhkan-muafakat-nasional.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)