Pas Tetap Kekal Bersama Pn Tapi Buka Pintu Mn Ketua Penerangan
agendaily.com22/09/2022
Ketua Penerangan PAS Senator Ir Khairil Nizam Khirudin.
PAS kekal berpendirian tetap bersama Perikatan Nasional (PN), namun membuka seluas-luasnya pintu Muafakat Nasional (MN) kepada semua parti yang tidak mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) serta agenda ‘Khemah Besar’ mereka.
Ketua Penerangan PAS Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata malah PAS membuka pintu kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGI) yang sedia bekerjasama berdasarkan teras keadilan Islam, untuk memelihara institusi raja-raja serta hak rakyat.
Menurutnya perkara tersebut adalah selari dengan peruntukan yang sedia wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan dan PAS akan terus mengusahakan agenda tersebut untuk memastikan berlakunya penyatuan dihasratkan tersebut.
“Maksudnya, kita masih lagi terbuka dan kita pun tidak tahu bila tarikh pilihan raya. Jadi selagi mana kita tidak dapat lagi ketentuan yang sampai ke dinding kita katakan paling mudah, selagi itu PAS akan terus berusaha untuk menyatukan ummah ini untuk memastikan satu lawan satu dengan PH dalam PRU ke 15,” katanya menurut Harakah.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung rancangan Bual Bicara di Bernama TV bersama hos, Sherkawi Jirim membicarakan tajuk “PAS berakidah bukan berideologi?” di stesen media itu, semalam.
Khairil Nizam berkata jika kerjasama dihasratkan itu tidak menjadi kenyataan, maka pertembungan tiga penjuru bakal berlaku dan boleh mengulangi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dimenangi PH, apatah lagi tiada parti boleh mendabik dada menguasai tujuh juta pengundi baharu.
“Jadi apa yang perlu dilaksanakan ialah kita mesti berusaha untuk menyatukan antara PAS, UMNO dan Bersatu serta parti-parti Melayu lain yang mahu bersama dengan kita yang menolak PH, DAP dan juga ‘Khemah Besar’.
“Dan kita harapkan perkara itu boleh menjadi kenyataan dan kita menjemput juga rakan-rakan daripada NGO dan NGI untuk bersama dengan kita. Insya-Allah banyak kerusi yang boleh barangkali kita boleh berbincang.
“Pada saya isu asasnya bagaimana kita nak menerima kesamaan di antara kita. Menolak perbezaan kerana kita tahu kemudaratan yang lebih besar, mimpi ngeri yang lebih besar sekiranya PH sekali lagi memerintah negara,” katanya lagi.
Menurutnya, Undi18 adalah cabaran kepada semua parti politik dengan variasi latar belakang serta geografi kependudukan pengundi golongan tersebut di mana perlu didekati, selain peranan di media sosial.
“Di peringkat PAS kita berusaha untuk mengambil semua strategi yang sedia ada sama ada anak muda yang berada di bandar, semi bandar mahupun di kawasan luar bandar.
“Kita cuba untuk engage dengan mereka dengan pendekatan-pendekatan yang saya yakin pendekatan yang sama juga diamalkan oleh parti-parti lain. Bezanya kita tak boleh berteraskan kepada politik kotor, politik fitnah, politik tohmah.
“Kerana kalau itu yang kita ajar kepada generasi muda ini, bayangkan mereka akan menjadi pemimpin akan datang. Inilah kerosakan yang akan kita laksanakan sekiranya kita mengambil pendekatan politik tanpa agama,” kata Khairil Nizam sambil berharap perpecahan undi tidak berlaku
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/09/pas-tetap-kekal-bersama-pn-tapi-buka.html