Pas Gesa Semua Pihak Henti Berpolitik Ketika Darurat Nampak Macam Tak Duduk Di Bumi
KUALA LUMPUR: PAS menggesa semua pihak berhenti daripada berpolitik buat sementara waktu sepanjang tempoh darurat.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyifatkan pihak yang terus berpolitik ketika darurat 'seperti tidak berada di bumi' yang sedang diancam pandemik COVID-19.
Katanya, tindakan ahli politik yang terus berpolitik ketika COVID-19 menular 'sangat mengganggu urusan' yang tidak sepatutnya dilakukan.
Beliau berkata, semua pihak perlu berhenti berpolitik walaupun ada yang tidak mahu mengaku kalah dengan apa saja tindakan di ambil kerajaan.
"Ada kalangan mereka yang menganggapnya (penularan COVID-19) tidak berbahaya, sehingga dianggap masih boleh diatasi dengan teori tanpa praktikal, seolah-olah tidak berada di planet bumi yang diancam wabak.
"Fikiran mereka sudah sampai ke tahap tidak peka dengan bahaya yang mendatang dan tidak mempedulikan nasihat yang diberikan.
"Ada juga yang masih berpolitiking sepanjang masa dengan pelbagai alasan politik yang tidak matang dan sejahtera," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau, hari ini.
Walaupun tidak merujuk kepada mana-mana pihak atau parti, UMNO sebelum ini dilihat mendesak kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan segera atas dakwaan kerajaan memerintah ketika ini tidak memiliki majoriti kukuh.
UMNO memberikan contoh banyak negara lain mengadakan pilihan raya walaupun ketika berdepan penularan COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pada masa ini ada pihak masih berbahas siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, walaupun mereka dalam keadaan berpecah belah dan tidak mampu mengumpulkan jumlah Ahli Parlimen mencukupi.
"Ada juga yang tenggelam bahteranya, tetapi masih berpaut. Kami menganggap mereka lupa kepada sunnah Rasulullah SAW yang mengajar menghadapi darurat wabak dengan kadar dan tempoh tertentu.
"Darurat bagi menyekat penularan wabak COVID-19 wajib dilaksanakan," katanya.
Beliau menjelaskan, sehingga kini beberapa negara mengisytiharkan darurat kesihatan, sama ada dilaksanakan di seluruh negara atau kawasan yang terhad.
Katanya, Perikatan Nasional (PN) turut mengambil langkah sewajarnya bagi membendung penularan COVID-19.
"Namun, ia masih lagi belum mampu mengatasi penularan wabak sepenuhnya. Maka langkah seterusnya wajib diambil secara proaktif. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/01/hadi-berpolitik-ketika-darurat-macam.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)