Pas Bakal Tersungkur Pas For All
Demikian ramai pendukung PAS melihat dengan penuh kekecewaan akan wajah PAS masa kini. Ada yang sangat bimbang, malah marah.
Wajah parti Islam yang sudah berumur 61 tahun itu kelihatannya, tidak ceria, kusut masai, murung bagaikan pesakit kronik yang sukar sembuh dan penuh masalah yang tidak terselesaikan,
Sepatutnya parti itu dilihat teguh, meyakinkan kerana sudah begitu berpengalaman serta menempuh pelbagai cabaran yang hebat sepanjang sejarahnya.
Pendukung PAS berhak merasakan bimbang, kecewa, malah marah atas apa yang berlaku di dalam PAS yang akan bermuktamar ke-61 awal tahun depan. Mereka selama ini menggantungkan harapan tinggi kepada PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang boleh membela ummah.
Malah golongan bukan Islam banyak memberi sokongan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 dan 13 kerana konsep “PAS For All” yang didukung oleh PAS.
Tetapi kini, semua harapan mereka terhempas, justeru PAS dilanda krisis berat yang hingga kini belum ada sebarang usaha untuk memulihkannya. Konsep “PAS For All’ entah ke mana.
Dari jurang krisis itu tercetuslah label melabel, kata-kata seperti barua, Islam sekular, munafik haraki, malah syaitan serta umpat keji dan kata-kata kesat yang dahsyat
Ada pula tuduhan kononnya wujud golongan di dalam PAS yang berusaha untuk menyelewengkan dasar Islam, lari dari perjuangan asal PAS, konon hendak menjadikan PAS sebagai parti sekular dan pelbagai lagi tuduhan, malah fitnah yang tidak pernah kita fikirkan boleh tercetus di dalam jemaah PAS di mana pendukungnya melalui tarbiah – usrah, tamrin, mukhayyam, pelbagai kuliah mengenai pembentukan akhlak sejak puluhan tahun.
Ramai yang bertanya di mana menghilangnya nilai ukhuwah, persaudaraan Islam yang dibina sekian lama di dalam jemaah PAS yang selama ini menjadi nilai paling mulia di dalam warga PAS. Kini semuanya musnah. Ada ahli yang jujur menitiskan air mata mengenangkan hal ini.
Ada pihak yang mengumpamakan krisis di dalam PAS ini seperti kapal raksasa “Titanic British”, yang musnah di lautan Atlantik kerana terlanggar batu salji yang sangat besar ketika belayar di lautan itu.
Pembuat kapal itu dengan angkuhnya memberitahu, kononnya tidak ada satu pun makhluk di bumi ini yang boleh memusnahkan kapal hebat itu kerana ia dibina sedemikian rupa.
Kapten kapal itu pula, ketika dalam pelayaran, dengan angkuh tidak mahu mendengar nasihat beberapa pakar lautan di dalam kapal Titanic itu sendiri yang menasihatinya supaya mengubah laluan disebabkan laluan yang hendak ditempuh banyak batu besar salji yang sangat merbahaya, yang boleh memusnahkan kapal itu jika melanggarnya.
Akhirnya Titanic itu melanggar batu besar itu dan tenggelam, semuanya tidak dapat diselamatkan, termasuk ahli orkestra yang menghiburkan penumpang kapal itu.
Kini kapal Titanic yang hebat itu hanya menjadi sejarah. Tenggelam bersama keangkuhan manusia, kaptennya tidak mendengar nasihat dan menentang kehendak alam.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kedahpost.blogspot.com/2015/05/pas-bakal-tersungkur-pas-for-all.html