Parti Melayu Berpecah Dap Jadi King Maker

PERKEMBANGAN politik mutakhir ini agak membimbangkan. Saya melihat ramai siber trooper PAS  dan Umno mula serang menyerang antara satu sama lain. Saya tidak mahu  mengulas panjang mengenai apa yang patut dan tidak patut berlaku antara  parti politik Melayu tanah air mutakhir ini, tetapi apa yang saya ingin  seru kepada semua siber trooper PAS dan Umno supaya meletakkan ‘senjata keyboard’ masing-masing. Banyak perkara ‘untold story’ yang  kita tidak tahu di sebalik isu yang sedang hangat sekarang. Di  kesempatan ini, saya ingin redakan sikit tohmahan terhadap Umno apabila  ada yang mula menuduh ‘Umno dah lupa diri apabila ada kuasa sedangkan  sewaktu mula-mula hilang kuasa hari itu, mereka menyondol kepada PAS  untuk minta talian hayat.’ 
Tohmahan ini hakikatnya ‘salah’  kerana Umno telah mula bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS dalam  isu-isu umat Islam sejak sebelum Pakatan Rakyat (PR) menang di Selangor  dan Penang pada tahun 2008 lagi apabila masing-masing mula menyedari  ancaman DAP terhadap umat Islam. Pimpinan kedua-dua parti menyedari  hakikat ancaman DAP sebelum rakyat dan jentera parti menyedarinya.  Akhirnya hari ini, semua kita juga dapat melihat ancaman DAP itu  terutama setelah 22 bulan PH memerintah Malaysia. Rakyat menyedarinya  lebih 10 tahun lewat berbanding kepimpinan-kepimpinan parti-parti Melayu  yang ada. Pada waktu usaha ini berlaku, saya pernah membantu Al-Marhum  Dr Haron Din dalam usaha ke arah penyatuan umat Islam (bukan PAS dan  Umno sahaja) pada waktu itu. 
   Ringkasnya, Umno menyambut baik usaha mengekang ancaman DAP ini pada  waktu mereka masih di puncak kuasa, bukan pada waktu mereka hilang kuasa  selepas PRU14 sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan siber trooper. 
   Semua perlu beringat! Apabila PAS dan Umno bertelagah, maka PAS rugi,  Umno rugi, semua Melayu juga turut rugi, tetapi yang paling untung  ialah DAP kerana pada waktu itu, mereka mula menjadi King Maker apabila  umat Islam pecah tiga parti dengan masing-masing memegang komposisi 35  peratus. Serahkan kepada kebijaksanaan pimpinan kita menyelesaikan isu  ini. Selama mana tiada keputusan rasmi bertulis, kita perlu berpegang  pada piagam yang ditandatangani dengan disaksikan dengan linangan air  mata ribuan penyokong kedua-dua parti. 
   Mungkin wajar kita merenung kembali Hadis nabi S.A.W mengenai  penyatuan 2 kumpulan umat Islam oleh Saidina Hasan. Baginda bersabda: 
   “Sesungguhnya cucuku ini  (Saidina Hasan bin Ali R.A) bakal menjadi sayyid (ketua) yang dengan  jawatan itu dengan izin Allah dia akan mendamaikan dua puak kaum  Muslimin!” 
   Pertembungan antara tentera Saidina Hasan yang mendapat dukungan  tentera daripada penduduk Iraq dan tentera Muawiyah yang mendapat  dukungan tentera daripada penduduk Syam apabila tercetus dalam fikiran  mereka kesan jika peperangan ini berlaku. Ketika Amru bin Ash melaporkan  kepada Muawiyah bahawa kedua-dua pihak mempunyai kekuatan tentera yang  sama banyak. Muawiyah berkata:
   “Sekiranya mereka (penduduk Sham) membunuh mereka (penduduk  Iraq), maka siapakah bagi pihak aku yang akan menjalankan urusan  kehidupan kaum Muslimin? Siapakah yang akan membantu golongan-golongan  lemah di kalangan kaum wanita mereka?”
   Akhirnya Muawiyah menghantar 2 wakil daripada Quraish iaitu Abdul  Rahman ibn Samurrah dan Abdullah ibn Umayr kepada Saidina Hasan.  Muawiyah berpesan kepada keduanya: 
   “Pergilah kamu berdua kepada Saidina Hasan. Ceritakanlah masalah ini kepadanya dan mintalah sesuatu daripadanya!”. 
   Sewaktu rundingan Saidina Hasan dengan 2 wakil Muawiyah, Saidina Hasan menyebut: 
   “Aku telah mendengar Abu Bukrah bercerita “Aku melihat Rasulullah  S.A.W berada di atas mimbar sedangkan al-Hasan bin Ali berada di  sisinya. Dia memandang orang ramai dan kemudian ke arahnya. Baginda pun  bersabda “Sesungguhnya anakku (cucuku) ini bakal menjadi ketua  atau sayyid. Semoga Allah S.W.T menjadikannya pendamai antara dua puak  yang besar daripada orang-orang Islam!” “
   Akhirnya dengan beberapa perjanjian supaya dilaksanakan oleh Muawiyah  (yang tidak sempat nak coretkan terperinci), Saidina Hasan menarik diri  daripada jawatan Khalifah dan memberikan baiah kepada Saidina Muawiyah.  Walaupun pada peringkat awal tindakan Saidina Hasan tidak dipersetujui  oleh tentera dan penduduk Iraq, tetapi akhirnya mereka terpaksa akur  apabila Saidina Hasan sendiri bertegas untuk berbuat demikian. Ini  sejarah penting perdamaian umat Islam. 
   Kesimpulannya, tindakan Umno kebelakangan ini tidak boleh dilihat  secara negatif kerana persepsi ini adalah pemula kepada keretakan.  Mungkin tindakan mereka akibat rasa ‘terancam’. Hakikatnya, bukan sahaja  Umno, bukan sahaja parti politik dan manusia, bahkan semua makhluk  bertindak agresif apabila mereka mula rasa terancam. Justeru itu,  perdamaian dan penyatuan memerlukan formula ‘berikan rasa keamanan’  sebagaimana dalam kisah Saidina Hasan dan Muawiyah. Pertamanya, letakkan  nasib dan masa depan umat Islam terutamanya golongan yang lemah di  hadapan. Keduanya, amankan semua pihak daripada perasaan ‘rasa  terancam’; yang kuat perlu diraikan dan yang lemah perlu dibela. Perlu  terapkan, mereka kuat kita pasti akan kuat, kita kuat mereka juga pasti  akan kuat. 
   Nota: Saya suka gambar terkini di bawah. 2 pemimpin muda PAS dan Umno, bersarapan bersama. Semoga ukhuwah seperti ini berkekalan untuk membentuk negara yang kuat.
   ZAHARUDIN MUHAMMAD
YDP PAS Kawasan Sungai Buloh    
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
  
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/10/parti-melayu-berpecah-dap-jadi-king.html