Panglima Pkr Yang Hebat Gah Masa Pemilihan Parti Pastikan Kamu Semua Bekerja Keras Jika Tidak Mahu Pmx Di Malukan
CABARAN PRN BUAT PMX
Hanya kira-kira dua atau tiga minggu lagi, DUN enam negeri – Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan – akan dibubarkan bagi membolehkan PRN diadakan.
Walaupun tiga negeri ditadbir PH dan tiga negeri lagi dikuasai PN, tetapi kesepakatan telah dicapai antara semua ketua kerajaan negeri berkenaan agar pembubaran Dun dilakukan dalam waktu yang tidak banyak berbeza bagi membolehkan PRN diadakan secara serentak.
Dengan pembubaran dilakukan pada minggu kedua Jun, pengundian dijangka akan berlangsung sama ada penghujung Julai atau awal Ogos.
Apakah cabaran PRN itu nanti kepada kerajaan perpaduan dan kedudukan Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri?
Secara umumnya, PRN nanti tidak memberi apa-apa kesan kepada kedudukan Anwar dan kerajaan perpaduan yang dipimpinnya.
Apa jua perubahan di peringkat Dun dan siapa yang bakal menerajui kerajaan negeri, ia sama sekali tidak menjejaskan status kerajaan Pusat.
Begitu pun, untuk mendepani PRU16 akan datang dan sama ada Anwar mampu bertahan lagi atau sebaliknya, keputusan PRN nanti boleh diambil kira sebagai petunjuk utama dalam hal itu.
Berdasarkan dapatan awal setakat ini, daripada tiga negeri yang ditadbir PN – Kedah, Kelantan dan Terengganu – gabungan itu dilihat tidak ada masalah untuk kekal berkuasa lagi.
Meskipun ada beberapa isu sedang berbangkit ketika ini, pengundi di tiga negeri berkenaan dilihat akan terus memberi sokongan kepada Pas, salah satu komponen PN untuk menerajui ketiga-tiga negeri itu.
Berbeza dengan PH yang kini mentadbir Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, kesemua negeri itu boleh dikira berada dalam keadaan yang tidak selamat buat mereka.
Ada dua aspek yang membuatkan ia tidak selamat:-
Pertama, mungkin ada negeri tertentu yang gagal dipertahankan PH dan bakal jatuh ke tangan PN dengan tumpuan paling berisiko untuk bertukar tangan ialah Selangor.
Jika PH gagal mempertahankan Selangor, maka akan beraya besarlah PN dan ia sekaligus memberi semangat tambahan untuk gabungan itu memenangi PRU16 akan datang.
PN dijangka menggunakan pengaruh beberapa bekas pemimpin UMNO Selangor seperti Noh Omar dan Mohd Zin Mohamad bagi mencapai tujuan itu, di samping sedang menanti jawapan daripada Khairy Jamaluddin atau KJ bagi maksud yang sama.
Kedua, jatuhnya sebahagian besar kerusi-kerusi Melayu di tiga negeri PH itu ke tangan PN.
Apabila kerusi-kerusi Melayu itu jatuh ke tangan PN, ia bukan saja bermakna penolakan pengundi Melayu kepada gabungan PH/BN, bahkan juga menyebabkan calon-calon UMNO kecundang sebahagian besarnya.
Dengan kerusi-kerusi Melayu itu dikuasai PN, meskipun mungkin PH masih mampu berkuasa di tiga negeri berkenaan berikutan sokongan kerusi bandar yang dipegang DAP dan kerusi campuran yang ditandingi PKR, ia adalah isyarat buruk kepada PH untuk PRU16 akan datang.
Keadaan itu selain menyukarkan PH/BN untuk terus meyakinkan pengundi memberi sokongan kepada kerjasama dua gabungan itu di seluruh negara, malah tidak mustahil akan menyebabkan timbul gegaran daripada akar umbi UMNO sendiri yang mahukan parti itu menarik diri daripada kerajaan perpaduan.
Tujuan menarik diri itu adalah agar UMNO bertanding solo pada PRU16, sambil mendesak kepimpinan sedia ada mengundur diri bagi mengelakkan parti ditimpa kekalahan yang lebih buruk lagi.
Yang menjadi kebimbangan akar umbi UMNO, kiranya parti itu kalah teruk pada PRN nanti tetapi terus lagi berada dalam kerajaan perpaduan, sambil Zahid Hamidi kekal menerajui UMNO menghadapi PRU16, ia tidak mungkin mampu memperolehi keputusan yang lebih baik berbanding PRU15 lalu.
Ada kalangan dalam UMNO yang bimbang, berbanding 26 kerusi Parlimen dimenangi pada PRU15 lalu, takut-takut PRU16 nanti hanya tinggal 16 kerusi saja lagi mampu dimenangi jika tiada sesuatu yang drastik dilakukan andainya prestasi buruk dicapai pada PRN enam negeri nanti.
Untuk mengelakkan semua kemungkinan mengerikan itu, PH/BN bukan saja tidak boleh kehilangan mana-mana negeri yang sedang dikuasainya sekarang pada PRN nanti, terutama sekali Selangor yang mesti dipertahankan dengan sesungguh hati, bahkan tidak boleh juga kalah semua atau sebahagian besar kerusi Melayu di ketiga-tiga negeri berkenaan.
Kalau PN menang semua atau sebahagian besar kerusi Melayu di tiga negeri dikuasai PH, selain berjaya kekal di Kedah, Terengganu dan Kelantan, ia juga bererti kekalahan buat PH/BN pada PRN itu serta suatu kekalahan awal yang hanya tunggu untuk disahkan pada PRU16 tahun 2027. – ShahbudinHusin 29/05/2023.
https://shahbudindotcom.net/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2023/05/panglima-pkr-yang-hebat-gah-masa.html