Panduan Asas Search Engine Optimization Untuk Blog


Idea asal untuk menulis artikel tentang Panduan Asas SEO untuk blog ini sebenarnya datang dari salah seorang pelanggan yang pernah beli beberapa ebook yang saya hasilkan.
 
Kebetulan pada waktu tu dia sedang mencari panduan SEO untuk halaman blog.
 
Sebenarnya dia nak tahu teknik dan strategi, macam mana nak hasilkan artikel ataupun blogpost yang mampu untuk mendapat kedudukan yang bagus di search engine popular seperti Google, Yahoo ataupun Bing.

Bila saya kata nak dapatkan kedudukan yang bagus di search engine, maknanya kita nak pastikan artikel yang kita siarkan tu nanti berjaya tersenarai di muka surat pertama halaman enjin carian Google (Search Engine Result Page atau SERP).
 
Kalau sebelum ini, kedudukan yang paling baik adalah dikedudukan pertama muka surat pertama Google.
 
Akan tetapi, pada hari ini kita ada sedikit plot twist.
Walaupun artikel kita berjaya masuk ke page pertama Google, namun ia belum cukup baik.
 
Kita akan bincangkan dengan lebih mendalam apa sebabnya dalam posting ini.
Sila teruskan pembacaan ya.

 
Apa tujuan anda menulis blog? Ini persoalan yang kita perlu tahu jawapannya dengan jelas terlebih dahulu.
 
Kalau tujuan anda menulis blog adalah untuk tujuan personal, atau sekadar suka-suka, mungkin kalau anda tak faham atau tak pernah ambil tahu tentang konsep SEO pun tak ada masalah.
 
Walaubagaimanapun, jika anda menulis sebab
1. Anda menerima job berbayar untuk mempromosikan produk atau perniagaan klien anda
2. Anda mempromosikan produk affiliate
3. Anda menjual produk sendiri
4. Anda nak buat duit dengan program pengiklanan
 
Maka, memahami beberapa perkara yang asas hinggalah kepada yang advance berkaitan dengan topik Search Engine Optimization ini adalah satu keperluan.
 
Sasaran kita? Tak lain dan tak bukan.
Matlamat kita hanya ada satu.

Page pertama google! Kita telahpun bersusah payah memerah idea dan melakukan kajian untuk menulis artikel.
Sudah tentu, kita mahukan artikel yang kita siapkan tu nanti, akhirnya sampai kepada audiens yang kita sasarkan, dan ianya dibaca.
 
Jadi, untuk meningkatkan kebarangkalian artikel yang ditulis itu dibaca oleh audiens, kita perlu pastikan artikel tersebut berjaya tersenarai di muka surat pertama enjin carian google.
 
Walaubagaimanapun, tahun 2025 ini kita ada cabaran baru.
Apa dia cabaran yang berkaitan dengan strategi SEO untuk blog yang saya maksudkan?
Ini dia.
 
1. Search Generative Experience (SGE) Ini merupakan ciri baru yang diperkenalkan oleh enjin carian Google yang menggunakan teknologi AI untuk memberikan jawapan secara ringkas dan pantas, bagi persoalan yang anda tanyakan di halaman hasil carian atau Search Engine Result Page (SERP).
 
Sistem ini akan mengambil maklumat dari pelbagai laman web dan kemudiannya, ia akan memberikan jawapan yang ringkas dan padat terus kepada pengguna.
 
Pengguna tidak lagi perlu klik pada mana-mana link, atau baca artikel yang panjang-panjang, sekiranya mereka sudah berpuas hati dengan jawapan ringkas yang diberikan.
 
Sebagai contoh adalah seperti dibawah.
 
Saya bertanya kepada Google, siapakah Sabree Hussin dan ini adalah jawapan yang diberikan.

Sekarang ini pengguna dah tak perlu susah payah untuk buka blog, atau mana-mana laman web, semata-mata untuk tahu latar belakang mana-mana individu yang mereka minat nak tahu.
 
Ringkasan yang diberikan oleh AI Overview sudah cukup memadai dan dapat menjawab soalan-soalan asas yang berkaitan dengan topik yang dicari.
 
2. Artikel anda mungkin dilihat tapi tiada yang klik Berjaya masuk ke halaman pertama Google, masih belum cukup baik.
 
Kalau dulu, kita boleh menarik nafas lega, bila artikel kita berjaya tersenarai di halaman pertama hasil carian Google, walaupun mungkin bukan di kedudukan yang pertama.
 
Tapi hari ini, keadaannya telah berubah.
 
Walaupun artikel kita itu nanti berjaya masuk ke halaman pertama Google, ia masih belum tentu akan menerima sebarang klik, jika maklumat yang diberikan oleh Goole AI Overview sudah cukup memuaskan hati pengguna.
 
Serius, saya cukup rindu zaman dimana teknologi AI ini masih belum ada.
Waktu tu, kalau artikel kita berjaya masuk ke halaman pertama Google, itu pun dah cukup baik.
 
Tapi sekarang?
Tidak lagi.
 
Nampak gayanya, kita perlu ubah strategi dan pendekatan kita dalam bidang penulisan.
 
Kita perlu cari alternatif bagi memastikan konten penulisan kita dapat sampai kepada audiens yang kita sasarkan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada search engine semata-mata.
 
3. Platform Chatbot Berikan Persaingan kepada Enjin Carian Tak cukup dengan isu Search Engine Experience (SGE), pengamal kaedah pemasaran Search Engine Optimization juga turut ditekan dengan kemunculan teknologi chatbot AI seperti
a. ChatGPT
b. Claude
c. Perplexity AI
d. Copilot (Bing)
e. Gemini (Google)
f. Grok (x)
g. Deepseek
 
Kesemua chatbot ini berupaya untuk memberikan maklumat yang dapat memenuhi keperluan dan citarasa penggunanya.
 
Pengguna pada hari ini, tak perlu lagi bergantung kepada enjin carian seperti Google untuk mendapatkan maklumat.

Sebaliknya, mereka boleh terus bertanya kepada chatbot dan menerima jawapan yang straight to the point, tanpa perlu klik mana-mana link blog.
 
Sudah tentu, ini memberikan banyak kelebihan dan manfaat kepada pengguna, namun pada masa yang sama memberikan cabaran baru kepada blogger, dan kesannya
(i) Trafik organik akan berkurang 
Trafik yang disumbangkan dari search engine akan menyaksikan kejatuhan yang mendadak. Maklumlah, pengguna search engine sudah ramai yang beralih kepada chatbot untuk mendapatkan maklumat.
 
(ii) Penulis perlu upgrade kualiti penulisan 
Setiap kandungan yang dihasilkan perlu ditulis dengan input yang lebih mendalam.
Tak boleh lagi tulis ala kadar.
Kalau nak menulis sekadar untuk cukupkan syarat sebab nak update blog, cara ini sudah tidak lagi beri kesan positif kepada trafik blog.
 
Kalau sekadar nak tulis ringkas-ringkas, lebih baik tulis dekat platform media sosial.
Tapi untuk penulisan blog, sebaiknya ditulis dengan lebih terperinci supaya chatbot AI tak boleh dengan mudah meringkaskan apa yang kita tulis.
 
Selain itu, kita juga mahukan supaya chatbot ini mencadangkan penulisan yang kita siarkan dalam blog kita, kepada pengguna yang menggunakan chatbot itu untuk mencari maklumat.
 
Sebagai contoh, adalah seperti dalam screenshot berikut.

Bila kita bercakap mengenai kaedah Search Engine Optimization pada hari ini, bermakna kita akan lebih fokuskan kepada membangunkan kandungan blog yang memenuhi ciri berikut, iaitu
i. Lengkap dengan maklumat.
ii. Ada fakta, perkongsian pengalaman dan ada sudut pandang penulis itu sendiri
iii. Artikel mesti disusun dengan jelas, ada struktur dan mudah dirujuk oleh AI
iv. Artikel anda dioptimumkan supaya ada peluang untuk AI mencadangkan penggunanya untuk baca artikel anda
 
SEO belum mati sepenuhnya Bila bercakap mengenai topik ini, kita juga sebenarnya nak tahu, adakah kaedah search engine optimization ini masih relevan?
 
Kebetulan, topik ini membuatkan saya teringat pula dengan persoalan yang ada sedikit perkaitan.
 
“Adakah blog masih relevan?”
Saya berpandangan, apa yang menjadikan blogging sangat relevan sebelum ini adalah disebabkan kewujudan platform search engine yang menyumbangkan trafik yang begitu banyak ke halaman blog.
 
Tapi hari ini, cara pengguna mencari maklumat sudah banyak berubah.
 
Mereka sudah tidak bergantung sepenuhnya kepada halaman search engine. Mereka boleh dapatkan maklumat yang berkualiti menerusi platform Chatbot.
 
Kalau search engine pun dah mula kehilangan trafik, bagaimana mereka nak salurkan trafik ke laman blog kita?
Betul tak?
 
Kalau search engine sudah tidak lagi mampu menyumbangkan sebarang trafik, bermakna kita perlu cari sumber trafik baru.
 
Jangan hanya bergantung kepada trafik yang datangnya dari platform search engine.
 
Walaupun ekosistem SEO dah semakin banyak berubah, namun ada beberapa perkara yang asas, yang masih kita boleh praktikkan.
Itulah sebenarnya yang kita nak bincangkan dalam posting kali ini.
Sila teruskan pembacaan.
 
(1) Dapatkan nama domain & hosting Lupakan platform percuma seperti blogger.com dan juga wordpress.com
 
Platform percuma seperti blogger.com ada kelebihan dan peranannya yang tersendiri.
Namun, jika anda ingin jadikan blog ini sebagai blog UTAMA, jangan bergantung pada platform percuma.
 
Enjin carian google gemarkan laman web yang kerap dikemaskini dan yang pemiliknya benar-benar serius dalam menghasilkan konten dan menulis blog. Salah satu indikator yang dilihat adalah sama ada pemilik laman blog itu menggunakan nama domain sendiri atau sekadar menumpang nama domain percuma blogspot.
 
Tak percaya?
 
Anda boleh uji sendiri dengan menaip sebarang kata kunci yang mempunyai persaingan yang tinggi di laman carian google. Anda akan dapati, hasil carian di page pertama keutamaan diberikan kepada laman web yang menggunakan nama domain sendiri.
 
Begitu juga hosting. Dapatkan hosting sendiri, dan jika anda tak tau nak dapatkan hosting dari syarikat mana, saya sarankan anda dapatkan servis hosting dari syarikat NetKL.

Kebanyakkan blog-blog saya juga di host kan di NetKL.
Sebelum anda beli domain dan hosting, tanyakan soalan ini pada diri anda terlebih dahulu.
 
Siapakah dan di manakan lokasi pembaca anda?
Siapakah sebenarnya kelompok pembaca yang anda sasarkan?
 
Adakah anda menyasarkan audiens di Malaysia atau di luar negara?
 
Jika anda sasarkan pembaca dari Malaysia, saya syorkan anda dapatkan servis domain dan hosting dari Malaysia atau Singapore. Tetapi, kalau anda sasarkan pembaca dari luar negara seperti US, atau UK, anda dapatkan servis hosting juga dari negara berhampiran.
 
Ini bagi memastikan laman blog anda boleh dilayari dengan pantas.
 
Pada asasnya, lebih dekat lokasi server dengan pembaca utama blog anda, maka lebih cepat laman blog anda akan dimuatkan untuk mereka, memandangkan data tak perlu mengembara terlalu jauh merentasi rangkaian internet global.
 
Jika server anda berada di Malaysia (misalnya anda pilih NetKL), dan pelawat juga berada di Malaysia, maka loading akan jadi lebih laju.
 
Tapi kalau server anda berada di luar negara, misalnya di US, dan pembaca utama blog anda adalah di Malaysia, akan ada sedikit kelewatan (latency) walaupun mungkin tak begitu ketara.
 
Soalan: Bagaimana kalau anda dah melanggan servis hosting dari syarikat di Malaysia dan kemudian anda dapati, ada pelawat dan pembaca blog anda yang datang dari luar negara, seperti dari US atau UK?
Tak ada masalah.
 
Sekarang ini kita boleh langgan perkhidmatan yang dikenali sebagai CDN atau Content Delivery Network.
Antara contoh yang popular adalah seperti Cloudflare, BunnyCDN, KeyCDN dan sebagainya.
 
Perkhidmatan CDN ini membolehkan kandungan blog anda nanti disalin (cached) dan disebarkan ke pelayan di banyak lokasi seluruh dunia.
 
Justeru, walaupun hosting asal anda adalah di US, jika anda gunakan CDN, pelawat dari Malaysia masih boleh akses salinan laman web anda dari server CDN terdekat, contohnya di Singapore atau KL.
 
Ini secara tak langsung dapat meningkatkan kelajuan loading dan meningkatkan keselamatan laman web anda juga.
 
Pada asasnya, jika anda mensasarkan audiens dari Malaysia, pilihlah hosting di Malaysia atau Singapura.
Jika sasaran pembaca anda adalah luar negara, pilih lokasi server yang terdekat dengan sasaran anda.
Namun, untuk prestasi global yang konsisten, gunakan juga perkhidmatan CDN supaya blog anda boleh dilayari dengan pantas dari mana-mana sahaja.
 
(2) Guna sistem blog wordpress Self Hosted Untuk blog utama, anda gunalah blog dari platform wordpress.org
 
Tak tau macam mana nak pasang?
Senang je, anda baca artikel saya sebelum ni bertajuk Panduan Pemasangan Blog WordPress Self Hosted
 
Ada pengecualian.
Kalau anda nak berblog sekadar hobi untuk mengisi masa lapang, anda boleh mulakan dengan platform percuma seperti blogger.com ataupun wordpress.com
 
Nanti bila anda dah dapat rentak, dan ingin berblog dengan lebih serius, masa tu anda boleh tukar kepada platform wordpress self hosted.
 
Istilahnya ialah, kita export kandungan blog yang kita siarkan menerusi platform percuma ke platform hosting berbayar kita.
 
Secara ringkas, fungsi export ini membolehkan kita untuk download salinan kandungan blog kita dalam satu fail.
 
Fail ini pula mengandungi data-data seperti
a. Entri atau posting blog kita
b. Halaman yang kita pernah cipta
c. Maklumat meta data
 
Ada sesetengah platform yang tak membenarkan kita download komen dari pelawat terdahulu dan juga imej yang kita gunakan dalam post.
 
Oleh itu kita perlu semak satu per satu, setiap post yang kita pernah hasilkan sebelum ini, untuk memastikan ada imej yang bersesuaian turut dimuatkan dalam posting tersebut.
 
Pada saya, kerja-kerja export blog ini agak leceh.
Saya lebih suka kalau boleh terus buat benda yang betul dari mula.
Oleh sebab tu, saya amat mengesyorkan anda terus mula menggunakan platform wordpress self hosted dari awal.
 
Sebenarnya cara nak pasang blog menggunakan platform wordpress self hosted sangatlah mudah. Anda boleh pasang (install) secara automatik menggunakan perisian yang dinamakan Softaculous.

Hanya dengan beberapa klik sahaja, blog anda akan siap dipasang.
 
(3) Ubah setting permalinks blog anda Pilih struktur permalinks yang lebih mesra SEO.
 
Tapi sebelum tu, anda mungkin nak tahu, apa benda sebenarnya permalinks ini?
Permalinks ini sebenarnya merujuk kepada pautan tetap atau permanent link bagi setiap halaman atau entri blog anda.
 
Saya berikan contoh.
Link utama blog saya ialah https://www.sabreehussin.com
Link artikel saya pula ada banyak, dan artikel yang berlainan akan ada link unik mereka sendiri.
 
Contohnya,
Artikel tentang Adakah blogging masih relevan?
Link tetap untuk artikel tersebut adalah https://www.sabreehussin.com/adakah-blog-masih-relevan/
 
Dalam sistem wordpress, anda boleh tentukan apakah struktur permalink yang anda ingin gunakan untuk blog anda.
 
Pergi ke bahagian settings dan seterusnya pilih opsyen permalinks.
Paparan seperti dibawah akan kelihatan.

Seperti yang anda boleh lihat, ada beberapa pilihan yang tersedia, iaitu
1. Plain
2. Day and name
3. Month and name
4. Numeric
5. Post name
6. Custom Structure
 
Dalam banyak-banyak struktur permalinks, saya cadangkan anda pilih format Post name atau /%postname%/
Format ini adalah format yang paling kemas, ringkas dan mudah untuk dibaca.
 
(4) Gunakan theme yang SEO Optimized Kalau theme percuma, saya tak pasti theme apa yang SEO optimized.
Itu anda kena tanya sendiri dengan mereka (developer) yang hasilkan theme blog tersebut.
 
Lazimnya, dalam mana-mana laman web yang memberi akses kepada theme percuma, anda boleh hubungi pihak yang menghasilkan theme tersebut dan tanyakan sendiri pada mereka sama ada theme tersebut SEO Optimized ataupun tidak.
 
Kebiasaannya, theme wordpress yang SEO Optimized ini adalah theme berbayar.
 
Antara premium theme yang anda boleh pertimbangkan adalah seperti
a. Astra Pro
b. GeneratePress Premium
c. Kadence Theme Pro
d. Divi by Elegant Themes
e. Avada
 
Premium theme ini biasanya dijual dengan harga yang agak mahal di laman web rasmi mereka.
 
Sebagai alternatif, andai kata anda nak gunakan premium wordpress theme, dengan harga yang lebih murah, caranya ialah kita dapatkan khidmat pemasangan premium theme dari freelancer, yang menawarkan khidmat installation tersebut di platform Fiverr.
 
Ini contoh servis pemasangan premium theme yang saya temui di fiverr.

Boleh dapatkan dari mana-mana penyedia perkhidmatan yang anda yakin dengan servis yang mereka berikan.
 
Selain kita pilih freelancer yang boleh tawarkan harga paling murah, kita juga perlu beri perhatian kepada feedback pelanggan terdahulu dan juga jaminan yang diberikan oleh freelancer tersebut.
 
(5) Gunakan plugin SEO Khas Ada beberapa plugin yang disarankan dan mendapat recommendation yang sangat baik.
1. WordPress SEO by Yoast
2. All in one SEO Pack
3. SEOPress
4. Rank Math
 
Anda tak perlu install kesemua plugin ini.
Guna salah satu sahaja dah memadai.
 
Plugin pilihan saya ialah WordPress SEO by Yoast.
Dengan menggunakan plugin ini, anda boleh tahu apa yang perlu dilakukan, perkataan apa yang perlu ditambah dalam artikel yang dihasilkan agar ianya lebih mesra SEO.
 
Ingat lagi kan, saya ada sebutkan sebelum ini, jangan guna platform blogging yang percuma seperti blogspot.com dan wordpress.com?
 
Salah satu sebabnya adalah, dalam platform percuma, kita tak boleh install plugin untuk tingkatkan lagi prestasi dan kemampuan blog kita.
 
(6) Gunakan ejaan penuh Ejaan yang kita gunakan dalam penulisan artikel juga memberi impak kepada kedudukan artikel kita di halaman search engine.
 
Majoriti pengguna yang melakukan carian menggunakan perkhidmatan search engine lebih cenderung untuk menggunakan kata kunci dengan ejaan yang betul dan lengkap.
 
Agak jarang bagi pelawat untuk menggunakan singkatan atau bahasa tidak formal ketika mencari maklumat.
 
Dengan menggunakan ejaan penuh yang tepat, anda dapat memastikan artikel anda mudah difahami oleh algorithma enjin carian dan ia juga akan lebih mudah ditemui.
 
Ini sebenarnya dapat meningkatkan kebarangkalian untuk artikel anda muncul dalam hasil carian dan secara tak langsung dapat menarik lebih ramai pengunjung ke blog anda.
 
Oleh itu, usahakan untuk semak ejaan.
Pastikan tiada kesalahan ejaan.
Elakkan penggunaan singkatan yang tak formal.
 
(7) Tulis artikel yang menyelesaikan MASALAH orang Fikir dulu sebelum nak mula menulis.
 
Artikel aku ni sebenarnya cuba nak bantu selesaikan masalah apa?

Pengguna menggunakan enjin carian seperti Google, Yahoo ataupun Bing kerana mereka sedang mencari jawapan atau penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi.
 
Tiada siapa yang mencari maklumat tanpa sebarang tujuan.
Setiap carian maklumat bermula daripada satu persoalan atau masalah yang memerlukan jawapan.
 
Oleh yang demikian, fokus utama penulisan anda mestilah untuk menyediakan suatu maklumat yang berguna, dan relevan dengan keadaan dan situasi audiens yang anda sasarkan.
 
Apabila anda menulis dengan fokus untuk menyelesaikan masalah, artikel anda akan jadi lebih bernilai dan bermanfaat kepada pembaca.
 
(8) Kandungan artikel ORIGINAL Hasilkan kandungan artikel yang original dan berkualiti.
Ini adalah peraturan yang cukup penting dalam penulisan blog dan dunia SEO.
 
Elakkan menggunakan kaedah “copy paste” sebabnya Google sangat tegas mengenai perkara ini.
 
Jika anda menyalin atau meniru artikel orang lain bulat-bulat, blog anda berisiko untuk dihukum oleh enjin carian, yang mana boleh menyebabkan rangking anda jatuh atau lebih teruk lagi akan terus disisihkan terus dari hasil carian.
 
Begitu juga kalau anda menggunakan perisian AI untuk membantu anda mencipta kandungan blog.
Jangan terus copy dan paste.
 
Pastikan anda edit artikel tersebut supaya ia mempunyai sentuhan manusia, dan bukannya seratus peratus ditulis oleh robot.
 
Sebenarnya ada banyak penulis diluar sana yang menggunakan kaedah ini.
 
Mereka mula menulis artikel baru, setelah mendapat idea dan inspirasi daripada penulisan orang lain, atau selepas “berbincang” dengan perisian AI.
 
Walaupun AI boleh berikan sebuah artikel yang lengkap, tapi saya tak galakkan anda terus gunakan artikel tersebut untuk blog anda. Sebaik-baiknya anda ubah beberapa perkataan yang digunakan, susun semula idea yang dicadangkan dan olah artikel tersebut mengikut gaya dan suara penulisan anda.
 
Sekurang-kurangnya artikel tersebut mempunyai personaliti dan perspektif anda.
 
Konten yang unik dan berkualiti bukan sahaja disukai oleh Google, malahan ia juga membina kepercayaan dengan pembaca anda.
 
(9) Fokus pada keyword Fokus pada keyword semasa anda menulis artikel.
 
Kalau dulu, bila kita sebut mengenai fokus pada keyword, kita akan cuba masukkan kata kunci yang kita sasarkan seberapa banyak yang boleh dalam artikel yang ingin kita tulis. Seboleh-bolehnya dalam setiap perenggan kita akan cuba selitkan dengan keyword yang kita sasarkan.
 
Kaedah ini dikenali dengan istilah keyword stuffing.
 
Walaubagaimanapun, teknik keyword stuffing ini sudah tidak relevan lagi.
Sebaliknya bila kita sebut tentang fokus pada keyword, kita perlu fokus kepada keyword yang mempunyai user intent.
 
Fahami konsep User Intent Konsep user intent, atau niat sebenar pengguna, adalah satu konsep yang mana kita cuba memahami apakah sebenarnya yang pengguna mahukan, ketika mereka membuat carian di internet.
 
Bayangkan situasi ini.
 
Katakanlah, ada pengguna yang membuat carian menggunakan kata kunci “Namkoong Min”.
 
Bagi yang tak layan KDrama, mungkin anda tak tahu yang keyword ini sebenarnya adalah merupakan nama pelakon dari Korea Selatan.
 
Apabila ada pengguna yang membuat carian berdasarkan keyword tersebut, apakah sebenarnya yang pengguna ini berminat nak tahu?
Perkara sebenar yang pengguna ini minat nak tahu itulah sebenarnya konsep user intent disebalik keyword.
 
Dalam contoh ini, berikut adalah lain-lain perkara, yang sebenarnya pengguna ini minat nak tahu, tapi dia tak nyatakan secara terbuka memandangkan dia hanya memasukkan satu kata kunci sahaja (Namkoong Min).
 
Tetapi secara tak langsung, pengguna tersebut sebenarnya akan berminat dan turut berniat nak tahu maklumat-maklumat tambahan seperti berikut
a. Umur / Tarikh lahir
b. Asal kelahiran
c. Senarai drama dan filem yang dilakonkan mengikut tahun
d. Senarai anugerah yang pernah dimenangi
e. Projek akan datang
f. Rating dan ranking dalam kalangan selebriti Korea
g. Bayaran untuk setiap lakonan
h. Maklumat Pasangan
i. Status perkahwinan
j. Latar belakang pendidikan
k. Maklumat fizikal seperti ketinggian, berat badan
 
Semua ini merupakan bentuk user intent tambahan yang biasanya timbul secara automatik di minda pengguna, walaupun mereka hanya taip satu nama sahaja.
 
Kalau anda perasan, hasil carian untuk kata kunci berkaitan artis di halaman pertama google akan turut memuatkan maklumat tambahan seperti
a. Panel sisi yang mengandungi biodata artis
b. Senarai drama (TV Shows)
c. Akaun media sosial
d. Artikel berita atau gossip berkaitan
 

Diatas ini adalah screenshot yang anda boleh lihat apabila buat carian menggunakan nama artis tersebut.
 
Bagi seorang penulis blog atau pencipta kandungan, pengetahuan ini sangat berguna terutama sekali apabila kita ingin hasilkan kandungan yang lengkap yang berupaya untuk menjawab banyak persoalan pengguna hanya dengan menggunakan satu artikel sahaja.
 
Menariknya ialah, pengguna masih belum terfikir nak tanyakan persoalan tersebut, tapi kita dah siap bersedia dengan jawapannya.
 
Ini secara tak langsung akan dapat buatkan audiens atau pengguna itu tadi akan luangkan lebih banyak masa berada di laman web kita.
 
(10) Bina backlink Membina backlink adalah langkah yang penting dalam strategi SEO untuk meningkatkan kedudukan laman web anda.
 
Backlink ini adalah pautan yang membawa audiens dari laman web lain masuk ke blog anda.
Sebagai contoh, anda mungkin pernah meletakkan link blog anda di platform seperti media sosial, forum atau laman web milik orang lain.
 
Jika ada pengguna yang klik pada pautan yang anda tinggalkan itu tadi, mereka akan dibawa ke laman web anda pula.
 
Kalau anda nak tinggalkan pautan, janganlah sekadar letakkan link URL artikel anda semata-mata. Sebaliknya, hasilkan juga cerita ringkas sebagai pengenalan.
 
Cerita ini fungsinya adalah sebagai pembuka atau penarik untuk menarik perhatian audiens. Ia akan memberikan gambaran ringkas tentang kandungan artikel anda dan dapat memujuk mereka untuk klik pautan tersebut bagi mendapatkan cerita penuh di blog anda.
 
Pendekatan ini bukan semata-mata untuk meningkatkan jumlah klik, tapi kita juga mensasarkan untuk bina interaksi yang lebih bermakna dengan audiens yang kita sasarkan.
 
Kalau sekadar letak link tanpa ada sebarang cerita, ia akan kelihatan seperti spam.
 
(11) Blog commenting Cara paling SENANG nak bina backlink adalah dengan memberikan komen pada artikel yang ditulis oleh penulis blog lain.
 
Apabila anda membaca artikel dari penulis lain, ambil peluang untuk tinggalkan jejak siber, dalam bentuk komen.
Bukan sekadar berikan komen yang tak bernilai, seperti
a.Hadir support
b. Follow me back
c. Terbaik
 
Sebaik-baiknya anda tinggalkan komen yang relevan dengan topik artikel dan ada nilai tambah.
 
Kebanyakkan blog yang dibina menggunakan platform wordpress mempunyai ruang komen yang membolehkan anda memasukkan pautan ke blog anda.
 
Sebaliknya, untuk blog yang yang dibina menerusi platform blogspot, pastikan ada pilihan untuk meninggalkan pautan. Kalau pemilik blog tak membenarkan anda meninggalkan link blog, saya sarankan anda abaikan sahaja blog tersebut.
 
Memandangkan sekarang ini anda dah tahu strategi untuk meninggalkan link dan bina backlink menerusi kaedah blog commenting, apa kata anda tinggalkan juga komen anda pada artikel ini.
 
(12) Cipta profile di media sosial Bina profil atau fanpage yang mewakili diri anda atau blog anda di media sosial.
 
Tujuannya adalah untuk memudahkan audiens anda mengikuti perkembangan terbaru anda dan mendapat pemberitahuan apabila anda mengemaskini blog anda dengan posting yang baru.

Walaupun orang mungkin tak mengenali siapa anda pada mulanya, namun jika anda konsisten mencipta konten di media sosial, lama-kelamaan orang akan mula sedar kewujudan anda.
 
Satu hari nanti, akan ada orang yang mula mengikuti anda.
Bukan sebab anda lebih baik berbanding penulis lain.
Tapi sebab anda menawarkan sesuatu yang unik, yang hanya anda seorang sahaja yang boleh tawarkan.
 
Belajar dari kejayaan orang lain.
Tapi tak perlulah kita nak tiru apa yang orang lain lakukan.
Cukup sekadar kita jadi diri kita yang sebenar.
 
(13) Gunakan AI sebagai pembantu Perisian AI boleh bantu kita dalam banyak cara.
Ia boleh bantu kita untuk bina kerangka (outline) artikel dan juga menulis draf.
 
Kalau kebetulan kita memang tak ada idea sangat nak tulis berkenaan topik apa, tak tahu macam mana nak mulakan ayat, maka penyelesaiannya adalah deengan sistem chatbot AI.
 
Tapi kalau sesebuah artikel dihasilkan sepenuhnya oleh perisian AI, lazimnya ianya kurang sentuhan manusia.
 
Anda masih perlu edit artikel tersebut supaya artikel itu nanti mempunyai suara dan personaliti anda.
 
(14) Tunjukkan E-E-A-T Dalam Kandungan Akronim E-E-A-T ini merujuk kepada isitilah
E – Experience (Pengalaman)
E – Expertise (Kepakaran)
A – Authoritativeness (Memiliki Autoriti)
T – Trustworthiness (Boleh Dipercayai)
 
Konsep ini digunakan oleh Google untuk membuat penilaian kualiti sesuatu kandungan yang disiarkan di internet, terutama sekali apabila ia melibatkan topik yang penting, seperti kesihatan, kewangan, keselamatan atau apa-apa keputusan yang besar dalam kehidupan seseorang.
 
Tujuannya adalah supaya kandungan yang dipaparkan kepada pengguna adalah berkualiti tinggi, boleh dipercayai dan memang ditulis oleh individu yang berkelayakan.
 
Saya percaya, yang anda juga perasan dekat luar sana terdapat terlalu banyak kandungan yang dihasilkan, sama ada dalam bentuk artikel, info-grafik mahupun dalam bentuk video.
 
Kita boleh lihat, prinsip E-E-A-T adalah sebagai satu kaedah untuk Google menapis kualiti maklumat di internet.
 
Hari ini cukup mudah untuk menghasilkan kandungan.
Kalau kandungan dalam bentuk artikel, ada artikel yang dihasilkan oleh perisian AI dan ada juga yang ditulis oleh penulis manusia.
 
Google nak memastikan, hanya kandungan yang benar-benar berkualiti sahaja yang diberi keutamaan untuk dilihat oleh pengguna.
 
Selebihnya, iaitu konten yang kita boleh labelkan sebagai konten AI, konten SPAM, konten yang tak cukup maklumat, konten yang tidak tepat (fake news) akan ditapis dan akan dibenamkan terus dalam lautan search engine.
 
Kenapa Google memperkenalkan prinsip E-E-A-T? Pada pandangan saya, ada beberapa sebab kenapa Google berbuat demikian.
 
a. Menangani lambakan konten berkualiti rendah
Setiap hari, ada terlalu banyak konten yang dihasilkan dan diterbitkan.
 
Ada banyak penulis atau pencipta konten, yang menghasilkan kandungan semata-mata untuk mendapatkan ranking, bukan untuk memberi nilai kepada pembaca.
 
Jadi, Google nak pastikan hanya kandungan yang benar-benar bermanfaat dan boleh dipercayai yang akan diberi keutamaan dalam hasil carian.
 
b. Melindungi pengguna dari maklumat yang salah
Bayangkan situasi yang selalu kita perlu hadapi di media sosial.
 
Satu hari, kita terbaca posting yang dikongsikan oleh pengguna media sosial dan posting tersebut ada banyak likes, komen dan share. Kita baca dan percaya dengan apa yang ditulis.
 
Rupa-rupanya posting tersebut langsung tak tepat.
 
Maklumat yang salah, kalau melibatkan bidang yang agak sensitif seperti kesihatan, kewangan, undang-undang, keselamatan dan sebagainya, ia boleh memberikan kesan yang buruk dan terdedah untuk menanggung kerugian.
 
c. Meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap Search Engine Google
Google perlu menjaga reputasi dan kredibiliti mereka sebagai platform search engine yang dapat membekalkan maklumat yang relevan, bermanfaat dan boleh dipercayai.
 
Bayangkan, kalau kita sebagai pengguna buat carian maklumat menggunakan Google dan selalu dapat hasil carian yang tak tepat dan tak berkualiti.
 
Lama kelamaan kita akan berhenti percaya kepada Google dan tidak lagi menggunakan perkhidmatan mereka.
 
d. Mengutamakan pengalaman sebenar
Pada Disember 2022, Google mula memperkenalkan elemen tambahan, iaitu “Experience” menjadikan akronim tersebut dari E-A-T kepada E-E-A-T.
 
Google nak tahu, sama ada pencipta kandungan pernah alami sendiri pengalaman sama seperti yang ditulis.
 
Bila seseorang itu buat review mengenai produk tertentu, adakah dia pernah guna produk tersebut?
Bila dia review mengenai tempat percutian, hotel, atau homestay, adakah dia pernah pergi ke tempat tersebut?
Kalau bercakap pasal bisnes, adakah individu tersebut pernah ada pengalaman buat bisnes tersebut?
 
Ibarat macam saya sendiri.
Saya menulis tentang panduan melakukan pemasaran digital menggunakan pendekatan Search Engine Optimization (SEO).
 
Kalau saya sendiri tak pernah gunakan kaedah ini, sudah tentu kebanyakkan perkara yang saya kongsikan ini kurang kredibiliti dan boleh jadi saya hanya ambil dan ceduk pengalaman orang lain semata-mata.
 
Kita huraikan satu per satu.
 
i. Experience – Pengalaman Adakah penulis benar-benar pernah mengalami sendiri perkara yang ditulis?
 
Kalau ya, bermakna penulisan anda itu layak dijadikan sumber rujukan, jika ada orang lain yang mungkin mengalami situasi yang lebih kurang sama.
 
Google nak tahu sama ada, anda pernah alami perkara tersebut atau anda sekadar meniru cerita orang lain.
 
Lebih buruk lagi, kalau artikel anda sekadar artikel yang dihasilkan oleh AI.
AI tu kan robot.
Robot ni, mana ada pengalaman.
 
ii. Expertise (Kepakaran) Adakah penulis memiliki kepakaran dalam topik yang dibincangkan?
 
Kita ambil contoh, kalau artikel berkaitan dengan bidang kesihatan.
Ada beberapa persoalan kita perlu tanya, bagi mengetahui sama ada penulis tersebut ada kepakaran dalam bidang tersebut ataupun tidak.
 
Adakah penulis tersebut merupakan seorang doktor atau pengamal perubatan?
 
Atau adakah penulis sekadar menyalin semula maklumat yang dia baca dari majalah, atau mana-mana sumber yang belum pasti kebenarannya.
 
Dalam keadaan ini, penulis yang mana satu yang sebenarnya mempunyai kepakaran dalam bidang yang ditulis?
Adakah penulis pertama yang merupakan seorang doktor, atau penulis kedua, yang sekadar menulis semula maklumat yang dia baca dari majalah ataupun buku.
 
Jawapannya dah tentu penulis yang pertama.
 
Kalau penulis bukanlah orang yang ada kepakaran, kita masih boleh baca apa yang ditulis, namun kita perlu ambil pendekatan berhati-hati.
 
Semak apa yang ditulis.
Jangan terus terima bulat-bulat.
Buat semakan silang dari sumber lain yang lebih dipercayai.
 
Halaman search engine akan beri keutamaan kepada laman web yang ditulis oleh penulis yang ada kepakaran dalam topik yang ditulis, berbanding dengan penulis lain yang kurang pakar.
 
iii. Authoritativeness (kewibawaan) Adakah anda sebagai penulis atau laman blog anda sudah cukup dikenali dalam bidang anda dan boleh dianggap sebagai satu sumber yang mempunyai kewibawaan atau authoriti.
 
Bagaimana cara untuk kita tahu, sama ada kita ini memenuhi kriteria authoriti?
 
Ada beberapa poin yang boleh diperhatikan.
a. Nama anda atau laman web anda sering disebut atau dijadikan rujukan oleh orang lain dalam bidang yang sama.
b. Laman web anda mempunyai banyak backlink dari sumber lain yang berkualiti.
c. Anda pernah mendapat pengiktirafan dari organisasi profesional atau komuniti.
 
Senang kata, anda bukan sekadar seorang individu yang ada pengetahuan tentang sesuatu topik, malahan anda juga turut diiktiraf oleh orang lain yang mengakui kepakaran anda dan menjadikan anda sebagai rujukan.
 
Untuk laman blog yang masih baru, atau penulis baru, biasanya agak sukar untuk anda dikenali dan dianggap sebagai mempunyai authoriti dalam bidang yang anda tulis.
 
Tapi selepas satu tempoh masa, apabila anda mula dikenali, dan kepakaran anda mula diperakui, anda juga akan dianggap sebagai seorang yang mempunyai authoriti dalam bidang anda.
 
iv. Trustworthiness (Boleh Dipercayai) Adakah kandungan yang anda terbitkan selamat, betul dari segi faktanya dan telus?
 
Kebiasaanya ada beberapa parameter yang kita boleh jadikan sebagai penanda.
 
a. Laman web anda ada SSL
Sambungan SSL ini menunjukkan bahawa laman web anda mempunyai ciri keselamatan yang baik.
 
b. Anda nyatakan sumber maklumat
Jika anda petik maklumat dari sumber tertentu, anda sertakan bahan rujukan.
Ini bagi memastikan ketepatan dan kesahihan sesuatu maklumat yang disiarkan.
 
Anda siarkan identiti penulis, maklumat hubungi dan notis privasi.
Penulis tidak bersembunyi disebalik identiti palsu. Dia juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan yang disiarkan.
 
c. Review produk adalah jujur dan tidak mempunyai niat jahat
Jika penulis bercakap mengenai sesuatu produk atau perkhidmatan, ianya ditulis dengan jujur, dan bukannya ada niat jahat atau semata-mata untuk hasilkan duit sahaja.
 
(15) Gunakan pelbagai platform Pengetahuan mengenai kaedah Search Engine Optimization ini bukan lagi eksklusif hanya untuk penulisan blog semata-mata.
 
Pada hari ini, kita boleh katakan hampir setiap orang adalah content creator, sama ada mereka sedar ataupun tidak.
Status update yang kita kongsikan di media sosial.
Gambar yang kita upload.
Video yang kita rakam dan kongsikan di media sosial.
Semua itu adalah konten.
 
Hampir semua platform mempunyai sistem dan algorithma tersendiri yang berfungsi seperti SEO.
 
Youtube, Tiktok, Instagram, Threads, Twitter (X), Facebook dan lain-lain platform yang saya tak sebutkan disini.
 
Pada setiap platform yang berbeza, mereka mempunyai algorithma mereka yang akan memaparkan konten yang dirasakan paling relevan dengan minat pengguna mereka.
 
Kalau pengguna mencari maklumat yang spesifik, dia boleh membuat carian berrdasarkan kata kunci yang berkaitan dengan maklumat yang dia inginkan.
 
Sebagai contoh, jika seseorang itu mencari tips senaman menggunakan dumbbell di Youtube, hasil carian akan mengutamakan video yang mempunyai tajuk, deskripsi dan kandungan yang paling relevan dengan kata kunci tersebut.
 
Sesetengah platform pula lebih mengutamakan penggunaan caption, hashtag dan juga audio latar yang sesuai bagi membantu audiens yang mencari topik tertentu.
 
Kadang-kadang Google juga akan memaparkan konten dari platform seperti Facebook, Threads dan X dalam hasil carian mereka.
 
Ini menunjukkan yang Google turut memberi perhatian kepada kandungan yang diterbitkan selain dari laman web atau blog.
 
Blog bukan lagi anak emas Google!
Apa yang penting, kandungan tersebut relevan dan aktif mendapat perhatian audiens.
 
Keadaan ini sebenarnya memberi kita satu signal penting, yang kita tak boleh bergantung hanya pada satu platform semata-mata.
Ya, kita perlu pelbagaikan konten dan platform kita.
 
Bunyinya macam ada pertambahan dari segi kerja.
Tapi memang itulah hakikat yang kita perlu terima untuk hari ini dan hari-hari yang mendatang.
 
Sesiapa yang mampu menyesuaikan kontennya mengikut konteks dan kelebihan setiap platform, maka dialah yang akan mendapat lebih banyak peluang dan perhatian.
 
SEO Masih relevan tapi perlu update strategi Bunyinya macam sekadar untuk menyedapkan hati, tapi sebenarnya saya memang betul-betul maksudkannya.
 
Bila kita betul-betul faham, apa itu kaedah search engine optimization dan kenapa algorithma sentiasa berubah, kita akan mula nampak sebenarnya semua itu adalah perlu bagi memastikan hanya laman web atau blog yang betul-betul relevan dengan keperluan audiens sahaja yang patut menduduki tempat pertama.
 
Kalau dulu, SEO ini tak lebih sekadar satu strategi dimana kita menyusun keyword dalam sebuah artikel dan ping artikel tersebut.
 
Tapi pada hari ini, SEO sudah berubah menjadi lebih kompleks.
 
Andai kata kita masih nak gunakan kaedah SEO, kita perlu pastikan beberapa perkara,
1. Gunakan AI dengan bijak. 
Pada saya, AI kini dah jadi satu keperluan.
 
Kalau kita gunakan dengan betul, AI dapat meningkatkan produktiviti kita dan dapat membantu kita menulis dalam bidang yang selama ini kita rasa sukar untuk hasilkan karya penulisan.
 
Sama ada AI ini akan bunuh kerjaya kita sebagai penulis, atau akan meningkatkan lagi kualiti penulisan kita, semua ini bergantung kepada cara kita menggunakannya.
Baca juga: Adakah AI akan membunuh kerja penulisan?
 
2. Bina kandungan berkualiti
Bagaimana kita nak tentukan sama ada kandungan itu berkualiti atau tidak?
Saya berpendapat, kita boleh ikuti guideline yang diberikan oleh Google.
Artikel yang berkualiti itu adalah artikel yang menepati elemen Experience, Expertise, Authority dan juga Trustworthiness.
 
3. Aktifkan diri di pelbagai platform sosial 
Tak cukup sekadar bergantung harap pada satu platform blog semata-mata.
Sekarang ini audiens kita aktif di pelbagai platform, dan kita juga perlu aktif di platform yang sama, dimana audiens kita berada.
 
4. Sentiasa kemaskini blog dengan topik yang dicari ramai 
Walaupun kita merasakan trafik blog kita sudah makin berkurang, dan search engine sudah tidak begitu menyumbangkan trafik, namun itu bukanlah alasan untuk kita berhenti kemaskini blog kita dengan artikel baru.
 
Jika anda dapat ikuti beberapa panduan asas berkaitan dengan kaedah search engine optimization ini, anda bukan sekadar akan mendapatkan trafik, malahan anda juga akan dapat bina reputasi dan kedudukan yang kukuh dalam bidang penulisan blog.
 
Selamat menulis!
Atau mungkin saya patut kata, selamat kembali ke bidang penulisan blog… bagi blogger lama yang dah lama tak menulis tu.
 
 
 
The post Panduan ASAS Search Engine Optimization (SEO) Untuk Blog appeared first on Blog Sabree Hussin.


Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

https://www.sabreehussin.com/panduan-asas-seo-untuk-blog/

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Meriah Teka Bilangan Biji Mangga Manila Di Blog Amie S Little Kitchen

Meriah Teka Bilangan Biji Mangga Manila Di Blog Amie S Little Kitchen

papar berkaitan - pada 12/9/2025 - jumlah : 2195 hits
Malam ini sebaik berfungsi elektrik yang putus talian dari jam 9 00 pagi hingga jam 7 00 malam selesai makan malam minum dan solat Etuza ambil peluang on laptop hendak melayari internet dan pasti MEDSOS blogspot menjadi kegemaran Etuza untu...
Apa Khabar Korang Dari Blogger Lama Yang Masih Berfikir Perlu Tak Tutup Je Blog Ni

Apa Khabar Korang Dari Blogger Lama Yang Masih Berfikir Perlu Tak Tutup Je Blog Ni

papar berkaitan - pada 22/9/2025 - jumlah : 439 hits
Hahah kemain panjang tajuk blog aku kali ni Lantak kau disitu Lamanya tak menulis kat sini eh aku macam tak tahu dah nak taip apa tekan keyboard pun dah makin slow haha satu satu cari huruf keyboard weh mungkin kena cari keyboard baru oh ak...
Widget Top Komentar Perlu Ada Di Dalam Paparan Blog Anda

Widget Top Komentar Perlu Ada Di Dalam Paparan Blog Anda

papar berkaitan - pada 22/9/2025 - jumlah : 382 hits
Puas membuat kajian dan belajar ikut tutorial pasang widget TOP KOMENTAR Hari ini Ahad 21 09 2025 terdetik hati hendak memasang widget top komentar Ini ilham apabila melihat agak ramai teman blogger yang drop komen di blog Etuza Itu menunju...
Beyond The Engine Why Quality Truck Parts Matter For All Automotive Enthusiasts

Beyond The Engine Why Quality Truck Parts Matter For All Automotive Enthusiasts

papar berkaitan - pada 13/9/2025 - jumlah : 2684 hits
Have you ever noticed that most discussions about in cars focus on horsepower and torque numbers as well as zero to sixty times Sure engines get all the glory But here s the thing while everyone is getting excited about what s beneath the h...
Pageviews Blog Cecah 60 Juta Lebih Perjalanan Panjang Seorang Blogger

Pageviews Blog Cecah 60 Juta Lebih Perjalanan Panjang Seorang Blogger

papar berkaitan - pada 11/9/2025 - jumlah : 4999 hits
Lama eh tak update pageviews blog ni Dulu agak rajinlah juga update pencapaian seorang blogger Tapi lepas pageviews menjunam sejak berubah ubah algorithm hujung tahun 2023 sampailah sekarang terus malas dah nak ambil peduli Kenapa entah dia...
Bila Buka Reading List Blog Rupanya

Bila Buka Reading List Blog Rupanya

papar berkaitan - pada 10/9/2025 - jumlah : 1208 hits
BILA BUKA READING LIST BLOG RUPANYA Bila blog kau dah lama jadi sarang labah labah banyak benda nak kena buat balik selepas terminate domain berbayar amp kembali ke pangkal blogspot Template pun dah tukar sebab dah tak nak guna tema wartawa...
Masih Relevankah Blog Pada 2025

Masih Relevankah Blog Pada 2025

papar berkaitan - pada 8/9/2025 - jumlah : 1397 hits
Masih Relevankah Blog Pada 2025 MONOLOG JIWA Masih Relevankah Blog Pada 2025 Ada yang kata blog sudah mati ditelan laju arus media sosial Ada yang percaya orang sudah tidak punya masa untuk membaca panjang panjang Namun benarkah begitu Blog...
Menyusuri Dapur Hati Catatan Tentang Blog Sajian Hati

Menyusuri Dapur Hati Catatan Tentang Blog Sajian Hati

papar berkaitan - pada 9/9/2025 - jumlah : 2451 hits
Menyusuri Dapur Hati Catatan Tentang Blog Sajian Hati MONOLOG JIWA Catatan Ringkas Menyusuri Dapur Hati Catatan Tentang Blog Sajian Hati Ada ruang di mana setiap resepi disimpan seperti nota kecil dari hati Blog bukan sekadar koleksi arahan...
Cabaran Masa Menyiapkan Artikal Berkualiti Di Blog

Cabaran Masa Menyiapkan Artikal Berkualiti Di Blog

papar berkaitan - pada 10/9/2025 - jumlah : 1441 hits
Kenangan kami semasa sukan peringkat sekolah sesekai bergambar dengan kawan kawansekampung Gambar bersama suri hati 2023 Cabaran Masa Menyiapkan Artikal Berkualiti Di Blog Rabu bersamaan 01 09 2025 masih di hadapan laptop setelah tertidur a...
Nasi Ambeng Di Selangor

Bunuh Diri Atau Dibunuh

Barang Branded Vs Barang Fake Mana Lagi Sesuai

Yummy Healthy Chicken Recipes You Can Freeze

Majlis Khawin Lagi Idlan Nurul

Nasi Goreng Cina Dan Doa Buat Anak Saudara Saya

Smooth Morning Traffic Nationwide As School Holidays End

After Timah Whiskey Malaysia Faces Another Alcohol Name Controversy In Santubong Beer


echo '';
Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Dendam Seorang Madu Slot Tiara Astro Prima

10 Fakta Biodata Amira Othman Yang Digosip Dengan Fattah Amin Penyanyi Lagu Bila Nak Kahwin

5 Tips Macam Mana Nak Ajak Orang Kita Suka Dating Dengan Kita

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Keluarga Itu Slot Lestary TV3

Bolehkah Manusia Transgender Mencapai Klimaks Selepas Bertukar


Filem Killmaster Lulus Lpf Tanpa Cut Diklasifasikan Sebagai P16 Meskipun Ada Adegan Intim

Seorang Lelaki Tergamak Bunuh Ibu Kerana Putuskan Sambungan Internet

Empat Pensyarah Uum Tersenarai Antara 2 Saintis Terbaik Dunia

Ketahui Tanda Awal Cara Elak Masalah Bateri Kereta

Panduan Asas Search Engine Optimization Untuk Blog

Man Climbs Warehouse Roof In Bintulu Firefighters Talk Him Down Safely