Pandang Pertama Vivo Nex 3 Adakah Ini Peranti Nirbingkai Penuh Sebenar
Vivo NEX adalah peranti konsep daripada Vivo yang memperlihatkan rekaan skrin nirbingkai. Ia langsung tidak mempunyai takuk atau skrin berkubang untuk kamera swafoto, tetapi sebaliknya antara yang pertama menggunakan mekanisma pop-naik. Bermula dari konsep sehingga ia berjaya dipasarkan, Vivo sedar yang mereka kini boleh menjadi sebuah jenama yang hadir dengan ‘inovasi’ baharu sebenar.
Kini sudah tiba masanya untuk NEX 3, iaitu peranti Vivo NEX generasi yang ketiga. Ia baru sahaja dilancarkan tadi dan ia menawarkan spesifikasi yang gempak, skrin yang hebat dan juga rekaan yang seksi. Apa yang menarik dengan Vivo NEX 3 ini adalah, skrinnya mempunyai nisbah skrin-ke-badan menghampiri 100%.
SpesifikasiVivo NEX 3 menggunakan skrin 6.89-inci POLED Waterfall FullView, dwi-lengkung FHD+, HDR10 dan kecerahan sehingga 800 nits. Rekaan skrin ini bukan sahaja mirip dengan Galaxy Note 10, tetapi ia mempunyai lengkungan yang lebih dalam sehinggakan nisbah skrin-ke-badan skrin peranti ini adalah 99.6%. Cip pemprosesan adalah Snapdragon 855+ dengan pilihan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Unit yang kami cuba ini adalah 8/256 GB.
Untuk kamera, Vivo menggunakan kamera dalam modul berbentuk bulat yang menggabungkan tiga lensa 64MP + 13MP sudut ultra-lebar + 13MP teleskopik. Kamera swafoto pula adalah daripada lensa 16MP, sistem kamera pop-naik dan satu lampu LED flash. Bateri Vivo NEX 3 adalah 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas Vivo Super FlashCharge 44W melalui USB-C. Pembesar suara masih lagi mono, tetapi syukur Vivo masih menyertakan port bicu audio 3.5mm.
RekaanDi hadapan peranti adalah skrin yang seksi yang boleh dikatakan langsung tiada bezel. Dahi dan dagu juga amatlah nipis, sedangkan pada bahagian dahi masih ada earpiece. Beralih ke sisi pula, kedua-dua sisi masih mempunyai skrin. Lengkungan skrin ini agak dahsyat dan penghujung skrin di sisi baru kelihatan bingkai.
Sayang sekali, ia tidak bergabung dengan panel belakang dan menggunakan rekaan tiga lapis – panel belakang + bingkai + skrin. Sisi kiri langsung tiada butang, sisi kanan tiada butang fizikal – tetapi ada butang dengan sensor tekanan. Ia seakan HTC U12+, tetapi lebih baik, responsif dan lancar. Untuk membezakan antara butang, butang kuasa mempunyai tekstur yang kasar di tengah antara butang aras suara. Dengan bantuan enjin getaran yang lebih baik, menekan butang ‘maya’ ini seakan menekan butang fizikal.
Pada bahagian atas terdapat mikrofon, sensor infra merah, port bicu audio dan kamera pop-naik. Di bahagian bawah pula adalah slot kad SIM, kekisi pembesar suara dan port USB-C. Panel belakang adalah kaca dengan modul kamera berbentuk bulat pada bahagian atas tengah. Kemudian diteruskan dengan logo NEX pada bahagian bawah tengah.
Pengalaman PenggunaanPeranti ini agak berat jika dibandingkan dengan Galaxy Note 10+. Ia boleh dikatakan seakan Note 9. Kemudian, peranti ini juga mempunyai saiz yang tebal dan tidak mengikuti mana-mana pesaing dengan rekaan nipis. Apabila pegang di tangan, peranti ini jelas adalah sebuah peranti yang premium. Persoalan paling utama adalah, skrin yang begitu melengkung ini, bagaimana dengan isu screen bleeding dan palm rejection?
Dari pandangan hadapan, ia kelihatan agak pelik dan sukar untuk diterima. Kesan lengkungan itu begitu jelas dan cahaya memantul seakan peranti ini mempunyai masalah skrin. Tetapi nasib baik, palm rejection pada peranti ini amat baik dan dalam tempoh penggunana yag singkat ini tiada masalah yang kami hadapi. Kecuali, apabila menonton video. Tidak kita video ditonton dalam mod skrin penuh atau 16:9, pengalaman menonton adalah tidak memuaskan. Kandungan video turut melengkung ke setiap sisi dan ia memberikan kami perasaan yang menjengkelkan.
Kualiti skrin amat baik walaupun ia adalah panel berasaskan POLED. Ia cukup terang, video ujian 4K HDR 60FPS yang dimainkan di YouTube mempunyai butiran yang menyerlah, warna yang tajam dan secara keseluruhan memuaskan. Cuma jika lengkungannya tidak berlebihan, mungkin ia akan memberikan pengalaman yang lebih baik. Untuk sistem operasi, ia masih lagi berasaskan Android 9 Pie dan bukannya Android 10. Versi Funtouch OS yang dijalankan pada peranti ini adalah 9.1. Kebanyakannya masih sama sahaja lagi dengan mana-mana peranti Vivo sebelum ini.
Kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk menguji prestasi peranti ini sepenuhnya. Melalui ujian AnTuTu, peranti ini mempunyai skor yang paling tinggi. OnePlus 7 Pro, Asus ROG Phone 2 dan Galaxy Note 10+ (edisi Snapdragon 855) tewas. Ini baru unit 8/256 GB, belum unit 12GB yang pasti akan menjadi lebih baik. Tatalan ke kiri, kanan, atas atau bawah adalah sangat lancar. Buka/tutup aplikasi juga sangat baik, memuaskan, dan mempunyai peralihan animasi yang baik.
Peranti ini turut mempunyai enjin getaran yang hebat. Ia seakan OnePlus 7 Pro dan iPhone. Menaip atau menekan sesuatu adalah memuaskan. Dalam tempoh penggunaan ini, saya kerap bermain dengan papan kekunci menjadikan peranti ini seakan alat melepaskan kegelisahan. Beralih kepada pembesar suara mono peranti ini. Walaupun mono, ia mempunyai bunyi dengan dentuman yang kuat dan baik. Bass juga agak dalam dan memuaskan, ini kerana peranti ini mempunyai cip AK4377A untuk pengalaman HiFi yang mengasyikkan. Jika tidak puas dengan pembesar suara, guna sahaja set fon telinga.
5GSudah semestinya peranti mercu baharu Vivo, turut akan ada variasi yang menyokong 5G. Beberapa bulan lepas di acara MWC Shanghai 2019, Vivo telah pun memperlihatkan teknologi 5G mereka, dengan iQOO Pro 5G sebagai peranti pertama yang menyokongnya.
Pada NEX 3 ini, rangkaian 5G boleh mencapai melebihi 1Gbps melalui penggunaan dwi-antena dan teknologi latensi rendah.
KameraKamera pada peranti ini masih tidak stabil. Unit yang kami gunakan ini masih lagi menjalankan aplikasi kamera yang masih dalam pembangunan. Jadi beberapa imej tidak mempunyai kualiti yang baik. Kadangkala hasil rakaman mempunyai hasil yang baik, kadangkala tidak. Paling teruk adalah gambar swafoto yang sangat penuh dengan kesan hingar. Ini juga merupakan peranti Vivo pertama dengan lesan 64MP dan lensa sudut ultra lebar.
Selain 64MP, lensa yang digunakan adalah dua lensa 13MP sudut ultra-lebar dan teleskopik. Lensa telefoto turut menyokong untuk rakaman bokeh dan super makro. Gambar mod malam, mengambil masa hanya 3 saat untuk diambil. Tetapan pada kamera juga dilihat masih tidak lengkap. Misalnya fungsi kecerdasan buatan tidak boleh dimatikan dan tiada pilihan resolusi mengambil gambar. Rakamn video pula, ia menyokong sehingga 4K 60FPS.
Click to view slideshow. Click to view slideshow.KesimpulanIni adalah satu percubaan bijak daripada Vivo. Menggunakan teknik skrin dwi-lengkung yang dahsyat bagi meningkatkan nisbah skrin-ke-badan menghampiri 100%. Kualiti skrin juga agak baik dan menakjubkan. Rekaan juga premium, terasa mewah dan sungguh seksi. Masih banyak yang tidak dapat kami uji, seperti masa pengecasan, pengalaman menonton pada Netflix, permua dan lain-lain. Mungkin akan kami ulaskan lebih lanjut dalam artikel atau video ulasan akan datang.
Menurut Vivo Malaysia, peranti ini mungkin akan mula dijual di Malaysia sekitar bulan Oktober. Bagaimana? Adakah anda tergugat dengan peranti ini dan anda akan membelinya?
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2019/09/pandang-pertama-vivo-nex-3-adakah-ini.html