Pandang Pertama Jabra Elite 75t Tws Yang Padat Ketat Selesa
Jabra Elite 75t baru sahaja dilancarkan di Malaysia semalam. Ia adalah TWS terbaru dari Jabra, bagi menggantikan Elite 65t. Pada Elite 75t ini, Jabra menawarkan saiz yang lebih kecil, padat dan lebih ketat di dalam telinga. Kemudian, melalui Jabra Elite 75t ini ia masih mengekalkan sokongan kawalan dari aplikasi Jabra Sound+ dan akhirnya menyokong USB-C.
Set fon telinga nirwayar sebenar ini turut tiba di Makmal Amanz semalam, dan ini adalah pandang pertama kami. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan dalam masa singkat. Juga, melalui artikel ini ia akan membantu anda untuk membuat keputusan TWS yang mana satu sesuai dan berbaloi untuk anda habiskan wang.
SpesifikasiJabra Elite 75t tidak mengikut trend TWS yang lain, yang hadir dengan pembatalan hingar aktif. Sebaliknya mereka hanya menggunakan pembatalan hingar pasif. Kemudian terdapat empat mikrofon terbina, untuk panggilan audio yang lebih jelas dan juga fungsi HearThrough untuk kekal sedar dengan dunia sekeliling pengguna. Ia juga boleh membatalkan bunyi angin dan menggunakan codec SBC & AAC untuk kualiti audio. Pemacu audio pula adalah 6mm dan dimuatkan dalam fon telinga yang begitu kecil dan kompak.
Bateri pada pod pengecasan adalah 500mAh dengan masa poengecasan penuh 2 jam 20 minit. Namun dengan sokongan USB-C dan pengecasan pantas, hanya 15 minit cas sudah boleh bertahan selama hampir 1 jam. Penggunaan secara berterusan pula mampu bertahan sehingga 7.5 jam dan dengan pod pengecasan ia boleh bertahan selama 28 jam. Ia juga mempunyai mod penjimatan bateri yang boleh ditetapkan pengguna dalam aplikasi Jabra Sound+, yang mana Elite 75t akan mati dengan sendiri jika selama 15 minit tiada tambatan pada peranti atau 60 jam jika tidak digunakan.
Untuk sambungan, Jabra menggunakan teknologi Bluetooth 5.0 dan untuk kawalan – kedua-dua fon telinga mempunyai butang fizikal dengan fungsi tersendiri. Untuk perlindungan, Jabra Elite 75t menyokong perlindungan kalis air dan debu IP55.
Pengalaman PenggunaanSebelum saya ceritakan pengalaman audio, adakah ianya sedap atau mengasyikkan – akan saya kongsi tahap keselesaan TWS ini terlebih dahulu. Jabra memfokuskan saiz yang lebih kompak, rekaan yang akan memastikan ianya ketat di dalam telinga dan memberikan cengkaman dan lebih selesa. Saya boleh sahkan dakwaan Jabra yang Elite 75t memang ketat dan memberikan cengkaman yang baik di dalam telinga. Saiznya juga adalah cukup terbaik bagi saya dan selesa. Akan tetapi, hanya selesa untuk penggunaan yang sekejap.
Jika terlampau lama berada dalam telinga, ia terasa sakit sedikit dan kurang selesa. Kemudian, ia tidak sesuai digunakan dalam keadaan baring dan hanya sesuai jika berdiri atau duduk sahaja. Jika tidak, fon telinga akan mudah tertanggal. Kenapa sakit? Ini kerana muncung fon telinga adalah sedikit tajam, dan selepas lebih satu jam penggunaan dan anda ingin tanggalkannya – ia akan membuatkan anda rasa tidak ingin pakai dan ingin rehat sebentar.
Kualiti AudioDisebabkan harganya yang mahal, saya akan bandingkan dengan Sony WF-1000XM3. TWS Sony terkenal dan menjadi pilihan ramai, kerana teknologi pembatalan hingar aktif yang hebat dan memuaskan. Pada Elite 75t, Jabra hanya menyertakan pembatalan hingar pasif yang mana atas kertas kedengaran seperti tidak hebat. Namun selepas menggunakannya, ia mempunyai pengasingan bunyi yang berada di luar jangkaan. Dengan empat mikrofon terbina, ia menambah sokongan HearThrough untuk saya masih kekal mengambil perhatian apa yang berlaku di sekeliling. Mikrofon-mikrofon ini juga membantu untuk kualiti panggilan telefon yang amat jelas.
Berbanding dengan Sony, beberapa aspek Elite 75t ini ia adalah lebih baik. Paling jelas bezanya adalah bass yang lebih enak, dalam dan kuat. Setiap muzik yang mempunyai nilai bass yang tinggi, mendengar muzik tersebut adalah lebih puas. Dentuman bass amat kencang dan puas. Elite 75t ini juga mempunyai sound stage yang terbuka, yang mana memberikan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Jika anda minat dengan muzik-muzik instrumental, bunyi setiap instrumen akan lebih mudah untuk dengar dan jitu. Kekuatan Jabra Elite 75t adalah pada muzik yang dinyanyikan oleh lelaki, ini kerana vokal lelaki adalah lebih enak didengar berbanding dengan wanita.
Dengan kata lain, high pada TWS ini adalah baik-baik sahaja. Kemudian mid pula lebih natural dan sedap sahaja mendengar. Akhir sekali low adalah kuat, puas dan cukup dalam. Tidak dinafikan yang Jabra Elite 75t adalah antara yang terbaik pernah kami uji pada tahun 2020 ini.
KonklusiJadi bagi mengakhiri pandang pertama ini, tidak menafikan yang Jabra Elite 75t adalah TWS yang hebat, puas dan menarik. Ianya ringan, kecil, padat dan ketat – tetapi walaupun tidak selesa selepas menggunakannya dalam jangka masa sekitar 1 jam. Itu boleh dimaafkan kerana, Elite 75t mempunyai kualiti audio yang menarik, sedap, bass yang dalam dan hampir setaraf dengan Sony WG-1000XM3.
Harga jualan di Malaysia adalah RM949. Yang mana pada saya sedikit mahal, sedangkan jika nada bertuah TWS Sony sudah anda boleh miliki dengan harga bawah RM800. Jika anda beli Elite 75t di Amerika Syarikat, harganya hanya sekitar RM750 – yang mana harga itu adalah lebih masuk akal dan lebih berbaloi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2020/01/pandang-pertama-jabra-elite-75t-tws.html