Pandang Pertama Huawei Mate 30 Pro Empat Kamera Utama Pelbagai Kemampuan Fotografi
Tahun lalu kami menobatkan Huawei Mate 20 Pro sebagai telefon pintar terbaik sepanjang 2018. Pengenalan sistem tri-kamera dengan lensa sudut ultra lebar mengubah dunia fotografi pada peranti mudah alih. Awal tahun ini P30 Pro sekali lagi membawakan penambahbaikan yang menakjubkan. Pelancaran Mate 30 Pro sudah lama kami menantikan kerana apa yang diperkenalkan Huawei hari ini akan menjadi ikutan industri.
Seperti yang dapat anda lihat hari ini, kesemua peranti mercu 2019 kini perlu sekurang-kurangnya menyokong lensa sudut ultra lebar. Jadi adalah pisang akan berbuah dua kali bagi Huawei tahun ini. Adakah takhta kamera terbaik telefon pintar akan berubah tangan ke Mate 30 Pro? Ini ialah pandang pertama ringkas kami untuk peranti ini.
SpesifikasiHuawei Mate 30 ProSkrin6.53″ 1176 x 2400 pixels
Flex OLED HDR10PemprosesHiSilicon Kirin 990 (7nm)Cip2.86 X 2 GHz Cortex A76
2.09 X 2 GHz Cortex A76
1.86 X 4 GHz Cortex A55Cip GrafikMali-G76 MP16RAM8 Gigabyte LPDDR4XMuatan Dalaman256GB UFS 3.0
(NM Card sehingga 256GB)Kamera Utama40+40+8+3D Megapixel.
f/1.8+f/1.6+f/2.4, OIS, AIS,HDRKamera Depan32 Megapixel f/2.0Bateri4500 mAh
(Pengecasan pantas 40W + 27W Tanpa wayar)SIM/TelefoniDwi SIM Nano (Talam Hibrid)NFCYaInfra MerahYaKalis AirIP68Sistem ImbasanCap jari terbina dalam skrinHarga Jualan~RM5094*Saiz skrin Mate 30 Pro ialah 6.53″ dari keluarga Flex OLED. Ia melengkung 88 darjah pada bahagian kiri dan kanan bagi membolehkan paparan pada sisi peranti. Huawei menamakan rekaan ini Horizon Display dan adalah peranti kedua selepas Vivo NEX 3 dengan skrin seperti ini. Resolusi yang digunakan juga tidak konvensional iaitu 1176×2400 pixel. Skrin ini juga sedikit lebih besar berbanding 6.39″ yang digunakan pada Mate 20 Pro tahun lalu.
Terdapat takuk pada bahagian atas skrin yang menempatkan kamera swafoto, pemancar infra merah dan sensor tiga dimensi bagi melakukan imbasan wajah. Walaupun menurut Huawei saiz takuk ini lebih kecil berbanding Mate 20 Pro dan iPhone 11, ia masih lagi agak besar kerana pengeluar lain sudah mula mengadaptasi rekaan skrin nirtakuk atau lubang kamera.
Apa yang boleh kami boleh pastikan ialah gagang telinga kali ini berada di bawah skrin sama seperti pada P30 Pro. Keperluan mempunyai dagu dan dahi yang nipis memaksa penggunaan sistem pembesar suara yang dari pengalaman kami tidak memberikan kualiti audio yang terbaik. Namun begitu sistem audio stereo masih boleh dinikmati dengan pembesar suara bawah yang menghasilkan audio yang jauh lebih lantang.
Pengimbas cap jari disertakan dengan penggunaan sensor baharu. Kami tidak dapat memastikan sama ada ia dari jenis optikal atau ultrasonik memandangkan ia tidak diaktifkan di reruai pasca pelancaran semalam.
Peranti dijana cip HiSilicon Kirin 990 yang sekali dihasilkan menggunakan teknologi 7nm yang dipadankan dengan memori sebesar 8GB RAM dan storan 256GB. Tiada pilihan lain ditawarkan buat masa ini. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, anda boleh melakukannya dengan menggunakan kad NM Card sehingga 256GB keluaran Huawei. Adalah aneh melihat hanya satu model dihasilkan kali ini kerana Samsung dan Apple masing-masing sudah mula menawarkan storan sehingga 512GB lengkap dengan sokongan kad mikro SD sehingga 1TB (pada peranti Samsung).
Bintang utama Mate 30 Pro ialah sistem catur-kamera yang menggabungkan sensor 40+40+8+3D TOF yang adalah peningkatan mendadak dari P30 Pro sebelum ini. Sensor SuperSensing RYYB dan Cine Camera RGGB 3:2 yang digunakan bukan sahaja besar dari segi saiz megapixel malahan saiz fizikalnya sendiri. Dengan saiz sensor 1/5.4″ dan 1/1.7″, ia adalah jauh lebih besar berbanding sensor 1/1.25″ yang digunakan Samsung dan Apple. Huawei mengatakan sensor yang besar ini mampu menangkap lebih banyak cahaya sekaligus menghasilkan bukan sahaja gambar tetapi video yang lebih terang.
Dua sensor 40-Megapixel dipadankan dengan lensa sudut lebar f/1.6 dan ultra sudut lebar f/1.8 manakala sensor 8-Megapixel digunakan pada lensa telefoto f/2.4. Seperti biasa lensa keluaran Leica digunakan dengan bukaan lebih besar pada lensa sudut ultra lebar dan zum jika dibandingkan dengan P30 Pro. Satu kekurangan ialah sistem zum digital hanya sehingga 30X berbanding 50X pada P30 Pro. Kemampuan zum optikal dan hibrid masih sama iaitu 3X dan 5X. Ini adalah kerana sistem periskop tidak digunakan kali ini.
Keempat-empat sensor ini disusun dengan konfigurasi 2X2 dalam bonjol Halo berbentuk bulat. Rekaan bulat ini ialah trend yang kembali popular selepas diperkenalkan oleh Lumia 1020 enam tahun lalu. Di hadapan pula sensor 32-Megapixel f/2.0 digunakan untuk swafoto.
Dengan gabungan sensor dan pemproses berkuasa, Mate 30 Pro menjadi peranti pertama Huawei yang mampu melakukan rakaman video 4K 60FPS. Tidak terhenti di situ ia turut mampu melakukan rakaman video gerak perlahan 7680 FPS pada resolusi 720P. Note 10+ yang baru dilancarkan hanya boleh merakam pada kadar 960FPS pada resolusi yang sama. Tumit Achilles Huawei selama ini kualiti rakaman video yang kurang memuaskan. Penambahbaikan yang dilakukan ini amat dialu-alukan kerana kemampuan fotografi yang baik sahaja tidak mencukupi pada tahun 2019.
Bateri pula sebesar 4500 mAh yang merupakan kapasiti kedua terbesar pernah digunakan sejak Mate 20 X (5000 mAh). Ini bersamaan dengan peningkatan 300 mAh berbanding Mate 20 Pro. Pengecasan pantas berwayar 40W disokong lengkap dengan pengecasan nirwayar 27W. Masih terdapat sistem mengecas peranti lain secara nirwayar yang menurut Huawei tiga kali ganda lebih berkuasa berbanding generasi terdahulu.
Spesifikasi lain ialah bluetooth 5.1, NFC, pemancar infra merah dan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac. Kesemua komponen kelas mercu ini dimasukkan ke dalam kerangka yang melepasi piawaian kalis air dan debu IP68. Akhir sekali bicu audio tidak disertakan kerana ia telahpun di buang sejak Mate 20 Pro.
Rekabentuk
Falsafah baharu rekaan Huawei diperkenalkan pada Mate 30 Pro. Rekaan sisi bulat digantikan oleh skrin pada bahagian sisi yang melengkung hampir pada sudut tepat. Ini bagi membolehkan bahagian skrin sisi yang semalam ini hanya wujud sebagai paten menjadi realiti.
Peranti kelihatan hampir tiada bezel apabila dilihat dari hadapan. Tetapi dari bahagian sisi saiz bezel hitam yang digunakan sebenarnya lebih tebal berbanding yang digunakan pada Note 10+. Dari pengamatan kami, separuh permukaan sisi skrin Mate 3 Pro terdiri dari bezel yang tebal ini.
Akibatnya ialah hanya satu butang kuasa fizikal disertakan pada telefon pintar ini. Butang kuasa kini diakses dengan melakukan dwi-tap pada skrin sisi. Kemudian jari digerakkan ke atas atau ke bawah untuk mengubah kelantangan bunyi. Pada awalnya kami agak skeptis dengan sistem ini tetapi ia berfungsi dengan baik. Ia juga mesra pengguna kidal kerana butang kuasa boleh diaktifkan pada kedua-dua sisi peranti. Apabila tahap bunyi diubah, sistem tindak balas haptik bergetar bagi memberitahu pengguna mengesan tatalan yang dilakukan. Harus kami katakan ini ialah sistem yang jauh lebih baik dari yang digunakan pada HTC U12+ yang telah kami ulas sebelum ini.
Satu kekurangan yang wujud ialah untuk melakukan tangkapan skrin, pengguna tidak lagi boleh menggunakan kombinasi butang suara dan kuasa seperti peranti Huawei terdahulu. Ia digantikan dengan mengetuk skrin sebanyak dua kali atau menerusi imbasan pergerakan tangan yang baru diperkenalkan. Dengan hanya beberapa percubaan, kami yakin majoriti pengguna tidak akan mempunyai masalah melakukan tangkapan skrin pada peranti ini.
Sistem palm-rejection yang digunakan juga berfungsi dengan cemerlang. Walaupun dengan tangan menggenggam peranti dengan kemas, peranti masih boleh ditatal tanpa sebarang masalah. Masalah skrin yang terlalu sensitif seperti yang pernah kami lihat pada Galaxy S6 Egde dahulu tidak berlaku pada Mate 30 Pro.
Dengan luasa permukaan kaca yang amat besar, Mate 30 Pro adalah peranti paling licin pernah kami gunakan. Penggunaan kerangka kami rasakan mandatori bagi mengelakkan ia terlepas dari genggaman, Namun begitu kesemua kerangka yang dihasilkan mempunyai bahagian sisi yang terbuka. Akibatnya ialah sisi tidak dapat dilindungi dengan baik jika kerangka digunakan. Ini adalah amat merisaukan bagi individu tangan mentega seperti kami.
Port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah dihimpit oleh talam SIM pada bahagian kiri dan kekisi pembesar suara pada bahagian kanan. Talam SIM yang digunakan adalah dari jenis hibrid menyokong dwi SIM bersaiz nano atau satu NM card. Sebuah pemancar infra merah diletakkan pada bahagian atas. Huawei masih menyertakannya walau pada masa yang sama memasarkan teknologi peranti berhubung mereka.Pujian harus diberikan kerana pengeluar lain telah lama membuang fungsi ini atas alasan ia tidak digunakan oleh kebanyakan pengguna.
Bergerak ke belakang terdapat panel kaca yang juga melengkung pada bahagian sisi. Panel kaca ini memerangkap cap jari seperti periuk kera memerangkap serangga. Bonggol kamera yang digunakan juga agak besar membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Sebuah kaca berbentuk bulat melindungi empat lensa kamera. Tanpa kerangka kami amat yakin kaca ini tercalar selepas digunakan selepas beberapa ketika.
Bagi mereka yang tidak gemar dengan kemasan kaca, model 5G ditawarkan dengan kemasan kulit yang lebih tahan lasak dan mempunyai tekstur kasar yang membuatkannya sukar untuk terlepas dari genggaman. Memandangkan ianya hanya ditawarkan untuk peranti 5G, kemasan kulit ini tidak akan ditawarkan di Malaysia dan ini adalah sedikit mengecewakan.
Kami ingin memuji rekaan Mate 30 Pro kerana ia bukan sahaja kelihatan futuristik tetapi tidak sekadar mengitar semula rekaan peranti tahun lalu. Selepas memulakan trend bonggol kamera berbentuk empat segi yang kini ditiru oleh Apple dan Google, mereka segera berubah kepada rekaan bonggol bulat seperti lensa kamera digital sebenar. Ini adalah selari dengan tujuan mereka menjual Mate 30 Pro sebagai peranti fotografi serta videografi yang terbaik di pasaran.
Huawei sudah mempunyai identiti rekaan mereka sendiri bukan sekadar mengambil inspirasi dari peranti pesaing yang lebih laris di pasaran.
Antaramuka
Peranti yang kami gunakan di reruai adalah yang dihasilkan untuk pasaran China sahaja. Tiada versi global dapat kami gunakan pada ketika artikel ditulis. Ia menggunakan pelancar EMUI 10 yang berasaskan Android 10. Ini ialah pelancar yang sama yang kami gunakan dalam versi beta pada P30 Pro sejak sebulan yang lalu. Seperti yang katakan dalam artikel EMUI 10 sebelum ini, rekaan antaramuka semakin kemas dan minimalis menghampiri Android Asli. Aplikasi dapat dibuka dengan pantas dan operasi adalah amat lancar tanpa sebarang sela masa. Pepijat juga tidak kelihatan selepas penggunaan selama sehari.
Antara fungsi unik yang disertakan pada Mate 30 Pro ialah Air Gesture di mana peranti boleh dikawal dengan hanya pergerakan tangan tanpa sebarang sentuhan skrin. Pengguna boleh berlatih menjadi seorang Jedi. Kami mendapati fungsi merakam skrin dengan Air Gesture mudah digunakan tetapi mengawal tatalan adalah sukar untuk dipelajari. Kedua-duanya bergantung kepada kamera 3D yang diletakkan pada bahagian hadapan.
Berikut ialah beberapa lagi fungsi tambahan menarik yang disertakan oleh Huawei pada Mate 30 Pro menerusi EMUI 10.
Air Gesture – Mengawal tatalan skrin dan menangkap paparan skrin dengan arahan tangan tanpa menyentuh skrin.
App Twin – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.
Dark Theme – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.
Digital Balance – Aplikasi yang menjejak penggunaan peranti. Boleh digunakan untuk mengehadkan masa peranti digunakan sepanjang hari bagi kesihatan digital.
Easy Projection – Mod desktop yang dipaparkan pada skrin lebih besar secara nirwayar. Hanya menyokong peranti Miracast setakat ini. Sokongan Easy Projection secara berwayar masih boleh dilakukan.
Edges – Pilihan menghalang aplikasi dari menggunakan skrin sisi. Amat berguna untuk pelayar web atau pemain video.
Gesture – Pelbagai perkara dapat dilakukan menggunakan gesture seperti merakam skrin dengan mengetuk skrin, melancarkan dua aplikasi serentak dengan melakar garis pada skrin dan menghidupkan skrin dengan dwi-tap.
Melancarkan kamera dengan pantas – Menekan butang mengurangkan suara sebanyak dua kali.
Navigation Bar – Tiga pilihan navigasi iaitu tri-butang, gesture atau Navigation Dock.
Notch – Menyorokkan takuk kamera pada paparan skrin. Peranti kelihatan kembali berdahi menggunakan mod ini.
Nyahkunci Menggunakan Wajah – Menyahkunci skrin peranti dengan menggunakan wajah secara tiga dimensi.
One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menatal dari bucu bawah skrin ke atas atau dari butang home ke mana-mana butang navigasi yang digunakan.
Optimiser – Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus, pengurusan bateri dan nombor yang dihalang.
Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.
Smart Remote – Aplikasi alat kawalan jauh. Ratusan peranti disenaraikan mengikut pengeluar dan model.
KameraBerikut ialah beberapa sampel gambar yang sempat kami ambil menggunakan kamera Mate 30 Pro.
KesimpulanHuawei Mate 30 Pro ialah kemuncak evolusi peranti keluaran mereka setakat ini. Spesifikasi yang tinggi dipadankan dengan konfigurasi kamera yang mantap, rekaan yang inovatif dan kapasiti bateri yang boleh bertahan seharian. Horizon Display yang digunakan memberikannya keunikan berbanding 99% peranti di pasaran dengan paparan yang cukup tajam dan bermaya. Rekaan kamera dalam bonjol bulatnya serta merta kelihatan klasik. Mungkin selepas menghidupkan semula trend lensa sudut ultra lebar, mereka akan mempopularkan semula rekaan telefon pintar dengan bonjol bulat ini.
Tetapi kami dapat melihat beberapa kekurangan pada peranti ini sejurus selepas ia dilancarkan. Pertama sekali ialah skrin sisi yang besar ini terdedah kepada hentakan apabila terjatuh. Kesemua kerangka rasmi yag dihasilkan rongak pada bahagian sisi yang tidak memberikan sebarang perlindungan. Memori yang ditawarkan pula hanya sekadar 8GB RAM dan storan pula hanya 256GB. Samsung kini meletakkan 12GB RAM sebagai standard pada Note 10 dan storan sehingga 512GB. Peranti Mate secara tradisinya adalah pesaing kepada Note. Maka dua kekurangan ini adalah tidak boleh diendahkan kerana ia antara perkara pertama disedari.
Kami tidak boleh membutakan mata kepada gajah di depan mata. Perang perdagangan di antara Amerika dan China kini menghimpit Huawei sehingga masa depan kesemua peranti yang dilancarkan kini seperti telur di hujung tanduk. Adakah kemas kini akan terus diberikan? Tidak ramai pengguna di luar sana akan membelanjakan wang ke atas peranti yang mungkin tidak akan menerima tampalan pepijat da sekuriti dengan kerap.
Peranti yang kami gunakan di Jerman ini adalah untuk pasaran China. Mungkin perubahan pada spesifikasi dan perisian akan berlaku sebelum ia dilancarkan di Malaysia kelak. Berdasarkan apa yang dapat lihat selepas penggunaan selama sehari, Mate 30 Pro mempunyai peluang untuk mengambil alih takhta telefon pintar terbaik untuk 2019 kerana ia cukup impresif.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2019/09/pandang-pertama-huawei-mate-30-pro.html