Pandang Pertama Honor 9x Pro Kehidupan Baharu Honor Dengan Hms
Honor X adalah antara siri peranti kelas pertengahan Honor yang boleh dikatakan premium. Antara peranti dalam siri ini adalah Honor 7X, Honor 8X dan yang dilancarkan tahun lepas adalah Honor 9X. Honor 9X dijual di Malaysia pada tanda harga RM999, dijana dengan Kirin 710F, memori 6/128 GB, kamera 48MP + 2MP (depth) + 8MP (ultra-lebar) dan bateri sebesar 4000mAh. Rekaan panel belakang pula adalah unik, dengan waran cerun yang membentuk corak “X”.
Terkini, Honor Malaysia telah memperkenalkan Honor 9X Pro pula. Dari segi rekaan ia kelihatan lebih kurang sama, tetapi dari segi dalaman ia lebih “Pro”. Ini bermakna, peranti ini dipadatkan dengan spesifikasi baharu yang berkuasa dan mempunyai rekaan yang akan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih imersif. Kami dapat menggunakan peranti ini seketika, ini adalah artikel pendapat kami.
Spesifikasi
Honor 9X Pro menggunakan skrin bersaiz 6.59” HONOR FullView Display dengan resolusi FHD+, rekaan bebas takuk, panel jenis IPS-LCD dan nisbah skrin-ke-badan 91%. Ya, tiada beza pun dengan Honor 9X. Saiz yang sama, rekaan yang lebih kurang sama – tetapi nisbah skrin-ke-badan adalah lebih luas dan akan memberikan pengalaman yang lebih imersif. Warna skrin adalah cantik sahaja, ia sama seperti apa yang anda lihat pada Honor 9X.
Peranti ini dijana dengan cip baharu, Kirin 810 yang dilancarkan pada bulan Jun tahun lepas. Ia dibina berasaskan rekaan 7nm dan dilihat bersaing dengan cip Snapdragon 730. Honor 9X Pro ini dipadankan pula dengan memori RAM 6GB dan storan dalaman 256GB. Dari segi prestasi awal, peranti ini dilihat berjalan dengan amat lancar. Ia seakan menggunakan peranti Samsung Galaxy A71, yang mana akan terasa sedikit microlag. Lengah masanya ada, tetapi tidak begitu jelas. Membuka dan menutup aplikasi juga pantas dan menarik. Animasi dilihat sedikit tersemput, mungkin kerana terlalu banyak aplikasi gendut dari China terbina. Unit yang kami uji ini adalah set import dan bukannya set rasmi Malaysia.
Untuk kamera utama, ia menggunakan tetapan tri-kamera daripada gabungan lensa 48MP (utama) + 8MP (lensa sudut ultra lebar) + 2MP (lensa kedalaman) dan untuk kamera swafoto, Honor menggunakan sistem kamera pop-naik 16MP. Sistem kamera peranti ini akan kekal menggunakan fungsi-fungsi dan ciri-ciri kecerdasan buatan seperti AIS Super Night Mode, 3D Portrait Lighting dan penstabilan rakaman video pintar berasaskan EIS. Kamera Honor 9X Pro ini dilihat lebih kurang sahaja hasilnya dengan Honor 9X. Jelas disini, Honor lebih fokus kepada prestasi sahaja. Disebabkan ini adalah peranti versi China, aplikasi kameranya turut mempunyai aplikasi TikTok terbina.
Untuk bateri, kapasiti 4000mAh digunakan dengan sistem pengecasan biasa 10W melalui port USB-C. Selain itu, fungsi seperti GPU Turbo 3.0 dikekalkan bersama-sama dengan sistem penyejukan cecair untuk bermain permua tanpa masalah peranti memanas dan juga AI Signal Enhancer untuk sambungan Internet yang lebih stabil. Amat mengecewakan yang peranti ini tidak menyokong pengecasan pantas. Untuk bateri dengan kapasiti 4K ini, ia pasti akan mengambil masa pengecasan sekitar 2 jam. Syukur ia menyertakan port USB-C.
Rekaan
Jujur saya katakan, rekaan langsung tiada beza. Ia hanyalah sebuah Honor 9X dengan perubahan dari segi dalaman sahaja. Ya, skrin sedikit lebih luas. Tetapi ia tidak begitu jelas bukan? Paling menarik pada peranti ini adalah panel belakangnya yang mempunyai corak “X” yang terhasil dari gabungan pelbagai warna cerun. Di bahagian belakang juga terletaknya modul tri-kamera, di atas dan di bahagian sisi. Ia tersusun secara menegak dan tidak mempunyai bonjol yang serius. Sedikit ke bawah, akan kelihatan logo Honor menyerlah terpapar.
Di bahagian bawah, terapat mikrofon, kekisi pembesar suara, port UBS-C dan juga port bicu audio 3.5mm. Syukur, tahun 2020 masih terdapat jenama menggunakan port ini. Bergerak ke bahagian atas, terdapat slot kad SIM, mikrofon dan juga lokasi kamera pop-naik. Kamera pop-naiknya mempunyai sedikit corak yang menarik dan kelihatan hebat. Di sisi kiri tiada apa-apa, tetapi di sisi kanan terdapat butang aras suara dan pengimbas cap jari fizikal sisi yang turut berfungsi sebagai butang kuasa.
Di bahagian hadapan adalah seksi, dengan sedikit bezel kelihatan di sekeliling. Earpiece terdiam di bahagian atas berdekatan dengan dahi. Bercakap mengenai dahi, ia hampir tiada dahi begitu juga dagunya yang amat nipis. Skrin adalah jenis rata dan tidak melengkung. Warna peranti ini adalah Phantom Purple, yang mana adalah satu-satunya warna yang akan dijual di Malaysia kelak.
Sampel GambarKawasan saya menguji peranti ini tidak begitu menarik untuk mengambil gambar. Kami berada di dalam pejabat Honor Malaysia untuk menguji peranti ini. Tetapi dalam ujian awal, seperti saya katakan tadi – hasil imej adalah seperti Honor 9X sahaja. Saya akan mulakan dengan kamera swafoto terlebih dahulu. Kamera swafotonya menggunakan sistem kamera pop-naik 16MP dan mempunyai hasil imej yang amat lembut. Saya sudah pun mematikan mod kecantikan, tetapi hasilnya seakan saya menggunakan alat solek. Cukup menarik adalah, hasil mod potretnya kemas dan memuaskan.
Sampel seterusnya adalah kamera utama di belakang. Ia mempunyai hasil gambar yang agak baik. Sedikit kecewa kerana, untuk mendapatkan hasil HDR yang baik – ia perlu menggunakan mod kamera lain dan tidak disertakan dalam AI mereka. Hasil gambar tanpa menggunakan HDR ini dilihat sedikit pudar. Berikut adalah beberapa sampel.
HMS: Honor Atau Huawei Mobile Services?Honor 9X Pro juga adalah peranti pertama Honor yang langsung tidak mempunyai Google Play Services ataupun Google Mobile Services (GMS). Peranti ini menggunakan HMS, iaitu Huawei Mobile Services. Walaupun Honor adalah jenama asing – ia masih mempunyai ikatan dengan Huawei. Oleh yang demikian, peranti ini menggunakan HMS dari Huawei dan tidak membangunkan versi mereka tersendiri. Adakah akan menjadi masalah menggunakan HMS pada peranti ini?
Pada saya, ya! Ini kerana aplikasi seperti GMail, Google Photos, Google Drive adalah wajib bagi saya. HMS ada menawarkan storan awan, tetapi mereka tidak menawarkan pemindahan data-data yang sudah saya simpan dari pelayan Google ke perkhidmatan mereka – jadi GMS masih wajib. Bukan itu sahaja, banyak aplikasi saya gunakan tiada di dalam HMS. Contohnya klien emel Spark, Netflix, YouTube, Gboard, Yoodo dan banyak lagi. Adakah ini pilihan baik? Sebenarnya tidak. Tetapi Honor dan Huawei mempunyai nasib yang sama, mereka tiada pilihan lain. Syukur, wakil Honor katakan mereka akan membuat tutorial untuk pemasangan GMS kelak.
Adakah Ianya Berbaloi?Saya hanya dapat gunakan peranti ini buat seketika sahaja. Banyak lagi yang tidak dapat saya uji. Seperti kamera, hanya beberapa sampel sahaja dapat saya ambil. Prestasi permua juga tidak dapat saya uji, untuk ketahui sejauh manakah Kirin 810 boleh pergi? Mampukah ia tapau Snapdragon 730? Jika benar GMS boleh pasang, ia mungkin adalah sebuah peranti yang baik. Penggunaan awal, ia memberikan satu impak positif yang jauh lebih baik dari menggunakan Honor 9X yang dijana Kirin 710f yang tidak begitu berkuasa.
Untuk benar-benar ketahui adakah ianya berbaloi ataupun tidak? Kita perlu nantikan tarikh pelancaran Honor 9X Pro ini terlebih dahulu. Kerana pada tarikh tersebut, harga rasmi akan diberitahu. Di China, peranti ini dijual dengan tanda harga 2199 Yuan. Ia adalah sekitar RM1340. Jika Honor boleh menjual pada harga yang lebih rendah, ia adalah sebuah peranti yang berbaloi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2020/02/pandang-pertama-honor-9x-pro-kehidupan.html