Pahang Warta Lebih 258 000 Hektar Kawasan Tadahan Air Kata Mb
 Bernama  

 Menteri  Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aspek pemuliharaan hutan dan  kawasan tadahan air menjadi keutamaan kerajaan negeri.
KUANTAN: Jumlah kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air  di Pahang setakat ini ialah seluas 258,951.88 hektar, kata Menteri Besar  Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, aspek pemuliharaan hutan dan kawasan tadahan air  menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya dalam memastikan jumlah  hutan di Pahang sebanyak 57% melebihi keluasan tanah di negeri terus  terpeliharan dengan baik.
“Namun, untuk mewartakan sesuatu kawasan ia bukan mengambil  masa yang singkat, sebaliknya memerlukan kajian teliti… tetapi kerajaan  akan mempertingkatkan usaha menambah kawasan hutan simpan di Pahang dan  terbaru ialah kawasan Lubuk Yu, di Maran,” kata Wan Rosdy pada  persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini,  hari ini.
Wan Rosdy menjawab soalan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS-Tahan),  yang ingin tahu jumlah kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tadahan  air di negeri ini.
Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani  dan Bioteknologi negeri Mohd Soffi Abd Razak memaklumkan, mereka yang  memperoleh lesen pendudukan sementara (TOL) sedia maklum bahawa  kelulusan itu boleh ditamatkan pada bila-bila masa.
“Apabila TOL diluluskan, mereka diberitahu bahawa tiada binaan atau  tanaman kekal yang dibenarkan di tanah tersebut kerana kerajaan negeri  berhak menamatkan TOL jika ada keperluan untuk mengambil semula tanah  yang diberikan,” katanya.
Mohd Soffi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chow Yu Hui  (PH-Tras) yang ingin tahu jika pampasan akan diberikan kepada beberapa  pekebun durian Musang King, yang didakwa ditamatkan TOL bagi membina  kilang pemprosesan durian di Tras, Raub kira-kira 170 km dari sini.
Chow juga bertanya jika kilang yang dibangunkan oleh Royal Pahang  Durian Resources-Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (RPDR-PKPP)  melibatkan kawasan seluas 10.52 hektar, memperoleh kelulusan Penilaian  Impak Alam Sekitar (EIA) Jabatan Alam Sekitar (JAS).
   Mohd Soffi berkata, penyediaan laporan EIA tidak diperlukan dalam  pembinaan kilang tersebut kerana kawasannya kurang daripada keluasan  yang diwajibkan penyediaan laporan EIA.
Selain itu katanya, Majlis Daerah Raub meluluskan kebenaran  merancang (KM) pada 7 Ogos lalu selepas pihak terlibat memenuhi aspek  teknikal.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/pahang-warta-lebih-258000-hektar.html