Padah Berseronok Sambut Hari Lahir Di Kondominium 11 Ditahan Polis
                                Oleh Ahmad Farhan                                                                                                                                                                                                                                             

Polis  memeriksa individu yang didapati berseronok menganjurkan majlis  sambutan hari lahir i sebuah kondominium di Jalan Lestari, Butterworth,  Pulau Pinang, malam tadi.                   KELEKAAN 11 individu berseronok menganjurkan majlis sambutan hari  lahir dengan muzik yang kuat di sebuah kondominium di Jalan Lestari,  Butterworth, Pulau Pinang mengundang padah apabila kesemua mereka  ditahan polis dalam satu serbuan malam tadi.
   Serbuan kira-kira pukul 11 malam itu dibuat selepas polis menerima  aduan orang awam berhubung bunyi bising dari tingkat 19 unit kondominium  terbabit.
          Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten  Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, sebanyak lapan lelaki tempatan  kesemuanya berumur antara 19 hingga 35 tahun ditahan selain tiga wanita  warga Vietnam.
   Menurutnya, mereka yang ditahan bekerja sebagai sebagai peniaga haiwan, pekerja kilang serta pekerja kedai barangan sejuk beku.
   Beliau berkata, siasatan mendapati rumah tersebut di sewa dua lelaki dan wanita warga Vietnam yang merupakan pasangan kekasih.
   “Ketika serbuan dilakukan difahamkan mereka baru selesai acara  memotong kek serta sedang leka berparti dengan bunyi muzik yang kuat.
   “Pemeriksaan mendapati sambutan hari lahir itu dianjurkan seorang  daripada lelaki yang menyewa di situ untuk menyambut hari jadi teman  wanitanya berusia 22 tahun dan dia kemudiannya mengajak enam lagi rakan  lelakinya bagi meraikan bersama-sama,” katanya hari ini.
   Dalam pada itu, Rahimi berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki  yang menyewa rumah itu mengenali wanita Vietnam berkenaan ketika  mengunjungi pusat hiburan sebelum ini dan tinggal sebumbung.
   Ujar beliau, polis tidak menemui sebarang dadah di rumah tersebut  ketika serbuan namun ujian air kencing mendapati empat lelaki positif  dadah jenis methaphetamin manakala seorang wanita positif ketamin.
   “Dalam serbuan itu, kita turut merampas speaker, belon dan perhiasan  sambutan hari lahir tersebut dan mereka direman bagi membantu siasatan  di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah  Berbahaya 1952,” katanya.
   Sementara itu, Rahimi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi  dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar prosedur operasi standard  (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
   “Kita turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat  berkaitan jenayah agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/padah-berseronok-sambut-hari-lahir-di.html