Orang Sombong Ni Kena Ajar Dia Ingat Dia Sapa Baru Padan Muka Ko Akhmal
KERANA SIJIL HALAL, TERESA DAN DR AKMAL AKHIRNYA BERENTAP DI MAHKAMAH
Tidak menunggu lama selepas semalam memberi bayangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh, hari ini Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sudah pun membuktikan kata-katanya itu.
Melalui peguam, Sankara Nair and Partners, Teresa hari ini mengeluarkan surat tuntutan menuntut ganti rugi sebanyak RM25 juta terhadap Dr Akmal.
Dalam notis yang dihantar kepada Dr Akmal, Teresa mendakwa, Ketua Pemuda UMNO itu memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Notis itu menyebut, kata-kata Dr Akmal telah menggambarkan Teresa sebagai seorang yang bersifat perkauman yang tidak menghormati Islam dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai pensijilan halal.
Kata-kata Dr Akmal juga dikatakan menggambarkan Teresa sebagai seorang yang tidak sensitif dan jahil yang menentang dasar kerajaan mengenai amalan dan agama Islam, serta individu yang merosakkan keamanan dan keharmonian negara, dan “musuh negara” yang tidak setia kepada negara.
“Adalah mengecewakan anak guam kami bahawa walaupun dengan penjelasannya yang telah diterbitkan, Dr Akmal telah cuai, melulu, sengaja, berniat jahat dan telah gagal untuk menurunkan dan/atau menarik balik fitnah yang dipertikaikan dan/atau kata-kata fitnah.
“Akibat daripada kegagalan, kecuaian dan niat jahat anda untuk tidak menarik balik kenyataan berunsur fitnah walaupun selepas anak guam kami mengeluarkan dan/atau menerbitkan penjelasan tersebut, kenyataan Dr Akmal telah menyebabkan anak guam kami menerima tekanan yang ketara dan/atau memalukan daripada masyarakat dan telah menyebabkan anak guam kami dikenakan siasatan oleh polis,” kata notis itu lagi.
Oleh itu, tambah peguam terbabit, Teresa tidak mempunyai pilihan selain memulakan tindakan undang-undang terhadap Dr Akmal untuk mempertahankan reputasinya.
Antara lain, Teresa menuntut Akmal untuk segera dan tanpa ragu-ragu menarik balik kenyataannya, menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat dan tidak boleh ditarik balik dalam cara dan medium yang akan diputuskan oleh Kok dan peguamnya, dan membuat akujanji bertulis untuk tidak mengulangi sebarang dakwaan atau komen lanjut seumpamanya.
Semalam, Ahli Parlimen Seputeh itu disoal siasat polis berikutan kenyataannya berkaitan cadangan kerajaan mahu mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan arak di negara ini.
Berikutan kenyataan Naib Pengerusi DAP itu, Dr Akmal menyelar Teresa dengan menggelarnya sebagai “nyonya tua” yang tidak sepatutnya mencampuri urusan Islam, sambil meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi pemimpin DAP itu.
Dalam respon segeranya terhadap tuntutan Teresa, Dr Akmal menjawab, beliau sedia untuk ke mahkamah.
“Ok nyonya, kita jumpa di mahkamah.
“No fear no surrender,” tegas Dr Akmal melalui Facebooknya.
Bermakna, tidak dapat dielakkan lagi pemimpin DAP dan UMNO itu akan bertembung di mahkamah selepas ini.
UMNO dan DAP, dua parti yang sama-sama membentuk kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, tetapi pemimpinnya terlihat begitu kerap berkelahi sesama sendiri dan kini kerana sijil halal, Teresa dan Dr Akmal bakal berentap di mahkamah pula.
Berapa lama lagi hubungan UMNO dan DAP dalam kerajaan perpaduan mampu bertahan? – ShahbudinHusin 11September2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/09/11/kerana-sijil-halal-teresa-dan-dr-akmal-akhirnya-akan-berentap-di-mahkamah.html
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/09/orang-sombong-ni-kena-ajar-dia-ingat.html