Orang Melayu Harus Berani Bersuara
Mengambil semangat kemerdekaan ke-62 yang bakal diraikan di seluruh negara esok, orang Melayu diseru bangkit menjadi lebih berani bersuara bagi menyatakan dan mempertahankan hak-hak golongan itu seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan.
Perkara itu disuarakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Syed Azizan Syed Mohamed Al Idrus yang berkata, sudah sampai masanya minda orang Melayu berubah dengan memahami secara jelas apa keistimewaan mereka sebagai penduduk asal.
Beliau berkata, tanpa perubahan minda ini, orang Melayu akan terus diperkotak-katikkan oleh kaum lain dan hak-hak mereka akan dipertikaikan.
“Saya melihat orang Melayu ini terlalu baik sehingga hak-hak dan keistimewaan mereka yang jelas tercatat dalam Perlembagaan sering dipersoalkan kebelakangan ini, khususnya di laman sosial.
“Sebagai orang lama, saya berpandangan bahawa orang Melayu perlu berani bersuara tentang hak… Jangan takut dan mereka yang mempersoalkan perkara ini (hak orang Melayu) mesti diambil tindakan tegas. Tidak cukup hanya permohonan maaf,” katanya.
Syed Azizan seterusnya turut meminta orang Melayu memperbetulkan tanggapan bahawa kuota bumiputera diberikan kepada mereka selama ini bukanlah disebabkan kelemahan kaum itu tetapi sebaliknya kerana hak keistimewaan penduduk asal.
Katanya, perkara itu adalah termaktub dalam Perlembagaan dan seharusnya dipertahankan.
“Kuota bumiputera dalam pembelian hartanah bukan kerana orang Melayu tidak mampu tetapi kerana hak mereka sebagai penduduk asal. Begitu juga kuota kemasukan ke universiti, bukanlah kerana orang Melayu tidak pandai,” kata beliau.
Syed Azizan mengambil contoh kebolehan orang Melayu dalam memimpin peperangan sehingga berjaya menumpaskan musuh seperti mana berlaku semasa kejadian Perang Musuh Bisik di Kedah pada tahun 1821.
“Maka sebab itu, panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah orang Melayu kerana kehebatan kaum ini dalam menentang musuh suatu masa dahulu.
“Begitu juga sejarah membuktikan orang Melayu mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi membuat besi pada 2,800 tahun dahulu dengan penemuan relau mencairkan bijih di Jeniang, Kedah. Malah besi ini diniagakan sehingga sampai ke Iran,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/08/30/orang-melayu-harus-berani-bersuara/