Occ Seru Kebertanggungjawaban Penuh Penyedia Perkhidmatan Bagi Menjamin Keselamatan Kanak Kanak Dalam Talian
OCC Seru Kebertanggungjawaban Penuh Penyedia Perkhidmatan Bagi Menjamin Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Talian
KUALA LUMPUR (16 DISEMBER 2025) – Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) dibawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik dan menyokong inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang memperuntukkan bahawa penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar disifatkan sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan aplikasi, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Inisiatif ini adalah selaras dengan seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming) dan OCC memuji langkah ini sebagai satu langkah penting dalam penguatkuasaan Akta Keselamatan dalam Talian 2025 di Malaysia.
OCC berpandangan bahawa langkah pengawalseliaan ini adalah satu perkembangan penting ke arah memperkukuh akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia, khususnya dalam aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kanak-kanak berhak untuk dilindungi daripada semua bentuk kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan, termasuk dalam ruang digital.
Perlindungan ini termaktub di bawah Artikel 3, 19, 34 dan 36 CRC, yang mewajibkan Kerajaan sebagai Negara Pihak untuk mengambil langkah proaktif dan pencegahan bagi menangani potensi risiko terhadap kanak-kanak.
Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan tanggungjawab kesemua pihak untuk melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, pengabaian, penderaan serta eksploitasi.
Dalam landskap digital masa kini, tanggungjawab ini turut merangkumi persekitaran dalam talian di mana kanak-kanak semakin banyak belajar, berkomunikasi dan bersosial.
Oleh itu, platform digital yang memudahcara interaksi dalam talian berskala besar memikul tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan mereka direka bentuk, ditadbir dan dikuatkuasakan dengan cara yang tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya atau menjejaskan kesejahteraan mereka.
OCC menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan mempunyai kewajipan untuk memastikan platform mereka, dalam aspek reka bentuk dan tetapan secara automatiknya adalah selamat untuk kanak-kanak.
Ini termasuk pelaksanaan perlindungan bersesuaian mengikut umur, pencegahan akses kepada kandungan berbahaya, menangani risiko eksploitasi seksual dalam talian dan penderaan, memastikan perantaraan kandungan yang kukuh, serta menyediakan mekanisme pelaporan dan remedi yang mudah diakses.
Kepentingan terbaik kanak-kanak, sepertimana yang termaktub di bawah Artikel 3 CRC perlu menjadi panduan kepada dasarplatform, reka bentuk sistem dan penguatkuasaan.
Peruntukan Deeming yang diperkenalkan oleh MCMC mengukuhkan prinsip bahawa platform yang memperoleh manfaat daripada jumlah pengguna yang besar di Malaysia perlu memikul tanggungjawab yang setara di bawah rangka kerja kawal selia negara.
OCC menyokong usaha MCMC untuk memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi dalam sistem kawal selia yang
jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan, serta menjunjung hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan mereka.
OCC sedia untuk mengukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan yang berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi memajukan ekosistem digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
Melindungi kanak-kanak dalam talian bukanlah suatu pilihan, ia adalah kewajipanundang-undang dan moral di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja perlindungan kanak-kanak domestik Malaysia.
BACA: Isu Dokumentasi: IIC Dedah Kesalahan Setiausaha Agung, FAM Disaran Ambil Tindakan
BACA: Dewan Negara Lulus RUU Antibuli 2025
The post OCC Seru Kebertanggungjawaban Penuh Penyedia Perkhidmatan Bagi Menjamin Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Talian appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/16/occ-seru-kebertanggungjawaban-penuh-penyedia-perkhidmatan-bagi-menjamin-keselamatan-kanak-kanak-dalam-talian/