Nusantara Ibu Kota Baharu Indonesia Berisiko Jadi Bandar Hantu
Nusantara, Ibu Kota Baharu Indonesia Berisiko Jadi ‘Bandar Hantu’
Nusantara, ibu kota baharu Indonesia yang diimpikan menjadi simbol kemajuan dan keseimbangan pembangunan negara itu, kini berdepan risiko menjadi sebuah ‘bandar hantu’.
Tiga tahun selepas projek mega ini dilancarkan oleh bekas Presiden Joko Widodo (Jokowi), bandar yang dibina di tengah hutan Kalimantan itu masih kelihatan sunyi sepi, lapor The Guardian.
Impian besar Jokowi, cabaran berat buat Prabowo
Ketika Jokowi mengumumkan rancangan pemindahan ibu kota dari Jakarta ke Nusantara pada 2019, matlamatnya jelas. Ia untuk mengurangkan kesesakan, pencemaran dan risiko tenggelam di Jakarta.
Namun, selepas Jokowi meninggalkan pentadbiran pada 2024, projek ini mulai kehilangan momentum.
Presiden baharu, Prabowo Subianto, telah mengurangkan peruntukan dana kerajaan bagi projek ini secara besar-besaran. Daripada kira-kira £2 bilion pada 2024 kepada hanya £700 juta pada 2025.
Malah, untuk tahun berikutnya, jumlahnya dijangka bakal dikurangkan lagi kepada £300 juta, iaitu hanya satu pertiga daripada jumlah yang diminta. Pelaburan swasta pula dilaporkan kurang lebih £1 bilion daripada sasaran asal.
Lebih mengejutkan, Prabowo juga menurunkan status Nusantara daripada ‘ibu kota negara’ kepada ‘ibu kota politik’ pada Mei lalu. Keputusan ini pula hanya diumumkan kepada umum beberapa bulan kemudian, lapor The Guardian.
Kehidupan masih perlahan, populasi jauh dari sasaran
Ketika ini, hanya sekitar 2,000 penjawat awam dan 8,000 pekerja pembinaan yang menetap di Nusantara. Ini jauh daripada sasaran 1.2 juta penduduk menjelang tahun 2030.
Bangunan kementerian, hospital, sistem jalan raya dan lapangan terbang memang sudah mula kelihatan, namun banyak kawasan masih dalam fasa pembinaan.
Pensyarah undang-undang dari Universiti Mulawarman, Herdiansyah Hamzah, menyifatkan Nusantara sudahpun menjadi bandar hantu.
Selain itu, penurunan statusnya sebagai ‘ibu kota politik’ tidak mempunyai sebarang makna dalam undang-undang Indonesia.
“Projek ini bukan lagi keutamaan Prabowo. Ia umpama hidup segan, mati tak mahu,” katanya seperti dilapor The Guardian.
Perniagaan merosot, harapan penduduk kian pudar
Bagi penduduk tempatan di sekitar kawasan itu, perubahan suasana amat ketara. Seorang pemilik kedai runcit dan inap desa berkata, pendapatannya merosot separuh selepas bilangan pekerja pembinaan berkurang.
Seorang pengusaha dobi turut berkongsi nasib sama. Manakala, pekerja binaan pula mengakui kerja masih ada, tetapi waktu kerja dan bayaran sudah dikurangkan.
Di Teluk Balikpapan, aktiviti kapal besar yang membawa bahan binaan juga semakin berkurangan. Ia seakan-akan petanda jelas bahawa pembangunan tidak lagi rancak seperti dahulu.
Kesan alam sekitar & nasib komuniti asal
Penduduk asal suku Balik yang tinggal berhampiran Sungai Sepaku turut terkesan.
Seorang petani dan nelayan tempatan mendakwa hasil tanamannya berkurang separuh akibat banjir yang semakin teruk selepas loji rawatan air dibina. Lebih mengecewakan, janji untuk menyalurkan air bersih ke kampungnya didakwa tidak pernah ditunaikan.
Sementara itu, kumpulan alam sekitar seperti Walhi pula memberi amaran bahawa lebih 2,000 hektar hutan paya bakau telah musnah akibat kerja pembinaan lebuh raya dan pelabuhan baharu.
Menurut mereka, Nusantara mungkin hanya menguntungkan golongan elit, manakala masyarakat tempatan kehilangan sumber ekonomi dan alam sekitar.
Respon kerajaan & sesetengah pihak
Namun, kerajaan menafikan dakwaan itu. Ketua Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (OIKN), Basuki Hadimuljono, menegaskan bahawa projek tersebut tetap berkonsepkan ‘bandar hijau’.
Menurutnya, hanya 25 peratus daripada 252,000 hektar tanah dibangunkan manakala selebihnya dikekalkan sebagai kawasan hijau.
“Presiden beritahu saya bahawa beliau komited untuk menyiapkan projek ini dengan lebih cepat. Dana masih ada, komitmen politik juga masih kukuh,” jelas Basuki.
Penganalisis berpendapat tumpuan utama Prabowo kini lebih terarah kepada program lain seperti makanan percuma untuk pelajar. Program itu dijangka menelan belanja sekitar £15 bilion menjelang tahun 2026.
Bagi sesetengah pihak pula, masa depan Nusantara mungkin berubah arah daripada pusat pentadbiran kepada destinasi pelancongan. Bahkan, ada pelawat yang sudah membandingkannya dengan Singapura, tambah The Guardian.
BACA: Trump Umum Ujian Senjata Nuklear Baharu Dilaksanakan Segera
Sumber: The Guardian
The post Nusantara, Ibu Kota Baharu Indonesia Berisiko Jadi ‘Bandar Hantu’ appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/10/30/nusantara-ibu-kota-baharu-indonesia-berisiko-jadi-bandar-hantu/