Nurul Izzah Kongsi Sebab Patah Hati
MALAYSIAKINI    
Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mengaku "patah hati" dengan perkembangan politik kebelakangan ini.
Dalam wawancara Straits Times, Nurul Izzah juga memberi gambaran bahawa penggal ini akan menjadi yang terakhir baginya sebagai wakil rakyat.
Memberi  gambaran tentang perkembangan politik dalam tempoh setahun lalu, anak  perempuan Presiden PKR Anwar Ibrahim itu berkata: "Sangat mencabar dan  huru-hara. Saya belajar banyak perkara, tapi saya juga rasa saya sudah  seperti patah hati."
Wawancara itu menggambarkan Nurul Izzah  sebagai keberatan menyatakan secara spesifik sebab patah hati kerana  mahu terus memberi "hormat" dan tidak ingin mengeruhkan lagi keadaan.
Bagaimanapun, Nurul Izzah menyebutkan beberapa perkara yang mengecewakannya.
Salah  satunya, Nurul Izzah mengakui penyertaan bekas ahli parlimen Umno dalam  parti komponen PH merupakan perkara yang mengecewakannya.
"Ia situasi sukar yang sangat buruk, bukan hanya untuk PKR, tapi juga untuk pengundi dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
"Ia situasi yang sangat menyedihkan kerana saya percaya sistem dua gabungan penting untuk masa depan Malaysia," katanya.
Nurul Izzah juga menegaskan perlunya naratif jelas untuk menguatkan golongan yang dianggap moderat.
"Kita  tidak begitu tumpu untuk menguatkan yang di tengah-tengah. Kita tidak  cukup berusaha untuk ketengahkan golongan yang dianggap moderat,"  tambahnya.
Selain itu, bekas naib presiden PKR itu turut mengakui  cabaran bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang satu  ketika dulu merupakan seteru ayahnya.
"Bekerja dengan bekas  diktator yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja pada kehidupan  keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara). Ia bukan sesuatu  yang mudah," katanya.
Dua hari lalu, Nurul Izzah dilapor meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Perkembangan  itu hadir selepas Dr Mahathir mengarahkan agar Ronald Kiandee terus  memegang jawatan pengerusi PAC, meskipun bekas ahli parlimen BN itu  sudah menyertai PH.
Keputusan Dr Mahathir itu dilihat bercanggah dengan manifesto PH yang berjanji agar pengerusi PAC diketuai pemimpin pembangkang.
Disember  tahun lalu, Nurul Izzah membuat keputusan yang mengejutkan apabila  meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau  Pinang.
Nurul Izzah juga sudah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan menumpukan untuk menjadi ahli parlimen. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/nurul-izzah-kongsi-sebab-patah-hati.html