Nikmat Tanam Pokok Mulberry
Baru beberapa bulan ini saya hasilkan 4-5 pasu pokok Mulberry, bagusnya tentang pokok ini adalah buahnya sentiasa ada. Mudah dijaga dan tahan hidupnya. Sudah hampir 5-6 tahun saya rasa pokok ini dijaga. Inipun sebenarnya dihadiahkan oleh sahabat saya dari kejiranan yang sama. Alhamdulillah banyak pahala sahabat kerana anak-anak sangat sukakan buah Mulberry ni.
Berbuah lagi, masih muda
Saya bukanlah seorang yang terlalu gemar berkebun, sekadar suka melihat pokok bunga di halaman rumah dan tanam pokok herba yang selalu digunakan sahaja seperti daun sup, daun bawang..
Namun, apabila lihat anak-anak sangat gemar makan buah Mulberry, timbullah rasa untuk jaga dan hasilkan lebih banyak pokok ini
Baru je tanam beberapa bulan lepas, ada 3 pokok baru dalam pasu
Cuba juga dekat tanah, manalah tahu lain macam hasilnya (berangan tak salahkan)
Pokok asalnya, lebat sungguhlah dedaun dekat sini. Kene segera buat prunning, bolehlah makan sayur goreng dari daun Mulberry
Geram juga melihat pokok buah Mulberry yang dikongsikan oleh sahabat-sahabat alam maya ni, buahnya besar dan bulat. Rupanya ada teknik yang saya tidak gunakan
Marilah kita luangkan sedikit masa mengenal pokok Mulberry dan cara penjagaan yang dapat menghasilkan buah yang lebat
CARA TANAM POKOK MULBERRY
Nak tanam pokok mulberry ni sebenarnya mudah aje iaitu dengan menggunakan keratan batang yang telah matang. Sepanjang saya try and error menanam pokok ini, saya ambil batang yang agak tua dan cucukkan sahaja di dalam tanah seperti kalian sudah lihat iaitu di tanah atau di dalam pasu
Saya gunakan tanah campuran baja dengan tanah merah
Cucuk dan siram seperti biasa, biasanya tunas akan muncul dalam 1-2 minggu.
Saya ada jumpa cara yang dikongsikan oleh oleh Siti Saja menerusi Group Kebun Bandar : Jom Tanam Sendiri tentang cara melebatkan buah mulberry yang mesti dicuba
CARA MELEBATKAN BUAH MULBERRY
Geramnya saya lihat buah Mulberry yang banyak dan gemuk ni! Siti Saja ni memang pandai kan alhamdulillah, dapatlah beliau ajarkan kepada kita semua
Tanam dalam pasu menggunakan teknik lenturan. Nah tengok ni…. Memang meremut buahnya keluar
Caranya mudah saja. Jom saya terangkan langkah demi langkah di bawah mengikut cara Siti Saja
1. CARA CANTAS POKOK UNTUK BESARKAN BUAH
Mungkin ramai tak tahu, salah satu cara melebatkan buah mulberry yang paling menjadi ialah dengan meluruhkan semua daun sampai pokok betul-betul togel
Daun tu bolehlah buat teh atau boleh juga buat goreng tepung, tak kisahlah. Yang penting mesti buang semua daun tu untuk ‘memaksa’ pokok berbuah
Lepas tu, cantas juga semua pucuk yang ada. Dalam masa lebih kurang seminggu dua, akan muncul banyak tunas baru beserta putik-putik buah. Setelah buah hampir masak, luruhkan semua daun sekali lagi
Ini untuk memberi peluang buah membesar tanpa perlu bersaing dengan daun
2. CARA BUAT TEKNIK LENTURAN.Carian dari ladang Mulberry Saqdam (begini cara kaedah lenturan dan menogelkan daun-daun di pokok Mulberry!) Menarik kan
Satu lagi cara melebatkan buah mulberry adalah dengan teknik lenturan. Caranya mudah, lenturkan dahan dan ikat di pangkal pokok. Kalau nak cantik, ikat satu-satu di keliling batang utama
Dahan yang lebih halus tu boleh juga selitkan sesama sendiri. Ikat sekiranya tak mahu terlucut. Tanam dalam pasu ke, atas tanah ke sama je kaedahnya
3. BAJAUntuk pembajaan, Siti Saja menggunakan baja kopi. Rajinkan diri tambah tanah hitam di pangkal pokok. Kata beliau lagi, hanya gunakan tanah hitam dari tempat bakaran sampah je. Namun jika saya, memang tiada tanah atau ruang pembakaran di rumah, bolehlah beli di nurseri atau di Shopee pun ada
KHASIAT POKOK MULBERRY DARI BUAH DAN DAUNNYAJika memakan buah-buahan dan daun (ulam) ada khasiat, pasti ramai yang suka kan
Menurut ahli kimia, daun mulberi mengandungi beberapa ekstrak kimia untuk tubuh seperti ecdysterone, inokosterone, lupeol, betasitosterol, rutin, moracetin, isoquersetin, scopoletin, scopolin, alfa, betahexenal, cis beta hexenol, cis lamba hexenol, benzaidehide, eugenol, lanaloolbenzyl alcohol, butylamine, acetone, trigonelline, cholin, adenine, copper, zinc, vitamin A,B1,C dan karotein dan asam amino, clorogenik, fumarate, folat dan asam formyltetrahydrofolik, mioiositol dan phytoestrogen
Daun mulberi adalah ideal untuk membantu mengatasi atau mengurangkan penyakit kencing manis (diabetes) serta mampu mengawal serta mengurangkan kolestrol dalam pembuluh darah dan mengurangkan tekanan darah tinggi. Selain dari itu, ianya juga dikatakan dapat membantu menggelakkan serangan sakit jantung dan kehilangan berat badan
Buah mulberi yang dijadikan jus mampu melambatkan proses penuan dan meremajakan tubuh badan dan mengurangkan risiko kerapuhan tulang kerana kandungan kalsium yang tinggi. Bagi wanita yang mengalami simptom seperti anemia, kepucatan, rasa mual terutamanya selepas bersalin, bolehlah mengambil jus mulberi dengan kerap bagi mengurangkan simptom tersebut. Ianya juga boleh membantu perjalanan haid yang tidak teratur dan juga dapat mengurangi kesakitan ketika kedatangan haid
Daun mulberi pula dikatakan boleh direbus dan digunakan sebagai ubat mencuci mata yang merah dan bengkak. Daun yang telah dikeringkan dikatakan boleh dicampur dengan air mendidih atau direbus untuk diminum bagi tujuan membersihkan tubuh badan, merangsang peluh, ubat batuk, demam panas dan selsema.
Pokok mulberi boleh dibiakkan dengan menggunakan tut atau keratan batang yang cukup tua (berbatang coklat). Selain dari itu, anak benih pokok mulberi boleh didapati di kebanyakan nurseri berdekatan dengan anda. Pokok Mulberi tumbuh dengan begitu cepat walaupun ianya ditanam pada mulanya sebagai anak benih dan akan mengeluarkan buah pada usia 6 - 8 minggu. Untuk mendapatkan buahnya yang lebat, pokok mulberi perlu kerap dicantas dan diberi baja yang secukupnya.
Sumber: FB page Jabatan Pertanian Malaysia
Okay, jom kita menanam dan menjaganya dengan baik! Lumayan hasilnya bukan sahaja rasa yang sedap tetapi berkhasiat untuk tubuh badan juga
Saya nak kongsikan beberapa ayat dari Al-Quran tentang makanan yang baik, mari sama-sama kita tadabbur ayat ini sebagai panduan kita menguruskan pemakanan di rumah sebagai ibu atau ayah
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): "Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri. (Al-Baqarah 2:57)
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). (Ibrahim 14:32)
Terdapat dua ayat yang menceritakan mengenai makanan yang baik untuk dimakan dan buah-buahan sebagai makanan hasil dari hujan yang diturunkan oleh Allah buat manusia
Dari ayat-ayat ini kita jelas bahawa makanan yang baik merupakan nikmat kurniaan dari Allah SWT buat kita, oleh itu janganlah kita bersikap kufur nikmat dengan suka membazir dan mencela makanan.
Kita juga tahu kan bahawa buah-buahan ini kita tidak pernah tahu adakah isinya penuh seperti buah cempedak, durian kan? Jika juga tidak tahu apakah buah ini akan menjadi manis, masam atau tiada rasa. Ianya adalah rezeki yang Allah berikan kepada kita, dan kita wajib menerimanya dengan syukur kerana bukan manusia yang menentukan rasa tersebut manis atau tidak
Saya pasti ramai terkena sebegini, apabila penjual kata, manis buah ni bang, akak, belilah. Dan apabila kita beli dan makan di rumah, Ya Allah tawar! Penipulah si tukang jual dan hikmah kepada kita sebagai hamba-Nya adalah kita seharusnya sedar bahawa bukanlah kita yang dapat menentukan sesuatu dan tiadalah sesuatu itu terjadi tanpa izin Allah.
Jika si penjual menyebut insya Allah, mungkin Allah SWT memakbulkan kata-katanya tadi dengan memberikan kepada kita, sebiji buah yang manis seperti mana terdapat di dalam ayat Al Quran Al Kahfi, 18:24 iaitu;
Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini".
Semoga kita mengambil pengajaran dari ayat tersebut, ucapkanlah insya Allah setiap kali kita tidak pasti hasilnya atau berjanji akan melaksanakan sesuatu.
Emme Marina, suri rumah sepenuh masa (WAHM), memiliki M.Sc. dalam Kimia Industri. Penulis dan usahawan yang aktif, mengikuti pelbagai kursus penulisan dan bisnes. Menghasilkan beberapa buah e-book, seperti "Panduan Bisnes di Shopee." Pengalaman 12 tahun berniaga secara online. Kini aktif sebagai blogger, peniaga jam azan, al Quran digital, emas orodesign serta perunding harta perwarisan Islam. Ingin dapatkan khidmat servis dan produk jualan, bolehlah hubungi saya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.emmemarina.com/2024/09/nikmat-tanam-pokok-mulberry.html