Niat Nak Tolong Bukan Untung Bos Mydin Ingatkan Peniaga Menu Rahmah
Kerajaan memperkenalkan program Menu Rahmah yang menjual set makanan lengkap bernilai RM5. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Taikun pasar raya borong, Ameer Ali Mydin meminta penjual Menu Rahmah terus bertahan, walaupun kini berlaku kenaikan kos bahan mentah termasuk beras putih import.
“Niat nak tolong, bukan nak untung,” kata pemilik rangkaian pasar raya Mydin itu kepada peniaga terbabit dalam program Menu Rahmah.
Ameer Ali Mydin.Mydin antara penggerak utama yang menyokong inisiatif diperkenalkan kerajaan awal tahun ini sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.
FMT sebelum ini melaporkan keluhan peniaga yang tidak lagi mampu menjual set makanan lengkap bernilai RM5 apabila terpaksa membeli beras putih import akibat kekurangan beras tempatan.
Pada 1 Sept lalu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) mengumumkan kenaikan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan, sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Susulan kenaikan harga beras import itu, permintaan terhadap beras tempatan turut meningkat menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.
Ameer berkata peniaga perlu kembali kepada tujuan asal inisiatif Menu Rahmah, iaitu membantu golongan B40 di saat mereka memerlukan walaupun sedar kenaikan yang perlu ditanggung mereka.
“Harga satu pinggan kos naik 14 sen sekarang. Kita anggap ini satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk B40 kerana hanya 10 hingga 15% sahaja menu terbabit untuk program ini.
“Saya harap kawan-kawan lain pun yang besar-besar yang sudah buat Menu Rahmah itu marilah kita teruskan,” katanya.
Jawahar Ali Taib Khan.Sementara itu, pemilik rangkaian Restoran Ali Maju, Jawahar Ali Taib Khan berkata semua 20 restorannya akan meneruskan program Menu Rahmah pada harga sedia ada.
Ini kerana, katanya, permintaan terhadap Menu Rahmah diperkenalkan pada Februari lalu itu terus meningkat saban hari.
“Saya buat ia sebagai amal jariah,” katanya yang berharap kerajaan terus agresif membantu peniaga lain untuk kekal menyediakan Menu Rahmah. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/09/niat-nak-tolong-bukan-untung-bos-mydin.html