Neuralink Memperlihatkan Link Antaramuka Otak Dan Komputer Pada Seekor Khinzir Amanz
Sejak 2017, Neuralink cuba menghasilkan antaramuka antara otak dan komputer. Dengan sokongan dari Elon Musk, syarikat ini mendapat perhatian ramai dengan pelbagai kemungkinan yang boleh dilakukan di masa hadapan. Pagi ini Neuralink akhirnya memperlihatkan rekaan serta penggunaan implan Link V0.9 mereka pada seekor khinzir.
Menurut Elon Musk implan berbentuk bulat ini boleh dipasang pada permukaan tengkorak dengan sensor pula dipasang terus pada permukaan otak. Terdapat pelbagai sensor seperti gyrometer, suhu, tekanan udara dan banyak lagi dimasukkan ke dalam alat sebesar 23×8 mm ini.
Pemasangan implan Link V0.9 pada kepala manusia
Rekaan yang digunakan sekarang adalah lebih kecil berbanding prototaip awal dan akan menggantikan sebahagian tulang tengkorak di kepala. Walaupun terpasang terus pada kepala, Link masih memerlukan bateri yang perlu dicas secara nirwayar setiap hari.
Neuralink boleh digunakan untuk memberikan amaran sebelum berlakunya serangan jantung dan memantau kesihatan pemakai. Oleh sebab itu Musk berkata peranti ini bolehlah dilihat sebagai Fitbit untuk otak.
Link V0.9
Di masa hadapan ia mungkin boleh digunakan untuk mengembalikan pergerakan pada anggota yang lumpuh, mengembalikan ingatan pada pesakit strok, mendengar muzik terus ke kepala dan melakukan perhubungan seakan telepati antara manusia.
Kerana saiznya yang kecil, proses memasang implan pada otak dianggarkan memakan masa hanya sejam menggunakan robot. Bius pada bahagian yang ingin dibedah sahaja diperlukan untuk pemasangan.
Pengecas nirwayar Link V0.9
Di dalam acara yang distrim secara langsung pagi ini, demonstrasi Link V0.9 yang dipasang pada seekor khinzir telah dilakukan. Implan tersebut memantau kawasan otak yang berhubung dengan bahagian hidung khizir. Apabila khinzir menggunakan deria bau dan sentuh pada hidung, data akan dihantar ke komputer untuk dipantau.
Pada waktu ini implan Link masih lagi di peringkat awal dan hanya dipasang pada permukaan otak. Untuk melakukan kawalan dan pemantauan yang lebih menyeluruh wayar perlu dimasukkan ke dalam otak. Neuralink ingin mendapatkan kebenaran dari FDA untuk melalukan ujian ke atas manusia seawal tahun ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mediaterjah.com/2020/08/neuralink-memperlihatkan-link-antaramuka-otak-dan-komputer-pada-seekor-khinzir-amanz/