Nelayan Asing Lumur Minyak Di Bot Elak Ditahan Maritim
Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Nelayan asing cuba menghalang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang mahu menahan bot mereka dengan melumur minyak di atas dek bot.
Selain itu mereka juga melemparkan tali ke dalam air bagi menyukarkan anggota Maritim menaiki bot mereka.
Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, besi tersebut sepanjang 25 meter diikat di sisi bot mereka.
“Sebelum itu anggota Maritim terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk memintas dan memburu dua bot nelayan Vietnam sebelum menahan mereka kerana cuba menangguk gamat di perairan negara semalam.
“Kedua-dua bot berkenaan bersama sembilan nelayan masing-masing berumur 24 hingga 53 tahun ditahan secara berasingan di lokasi 54 dan 56 batu nautika dari perairan Kelantan jam 5.07 dan 5.35 petang semalam ,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Tok Bali di sini hari ini.
Menurutnya juga kedua-dua bot berkenaan cuba melarikan diri ke perairan Vietnam, namun berjaya dihalang Kapal Amanah yang diketuai Leftenan Komander Maritim, Abdul Hamid Abdullah.
Katanya anggota Maritim mengesan kedua-dua bot itu jam 3.29 petang semasa rondaan Op Kuda Laut di perairan Kelantan.
Syed Nor Adli juga berkata, turut dirampas kira-kira 10,000 liter minyak diesel, peralatan menangkap gamat dan dua bot kesemuanya bernilai RM600,000.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
Selain itu menurutnya disiasat di bawah Seksyen 16 (3) akta yang sama.
Kata beliau jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM6 juta terhadap tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Sekyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.
Kesemua sembilan tahanan terbabit ditempatkan di bilik tahanan sementara setelah disahkan negatif Covid-19 menerusi ujian calitan dilakukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia. – HARAKAHDAILY
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/nelayan-asing-lumur-minyak-di-bot-elak.html