Nasi Lemak Sambal Strawberi Di Cameron Highland Beginikah Rasanya
Nasi Lemak Sambal Strawberi di Cameron Highland.Beginikah Rasanya?
TANAH RATA: Sebut sahaja Cameron Highlands di Pahang, selain cuacanya yang sejuk, apa yang terlintas di fikiran adalah keenakan buah strawberi yang cukup sinonim dengan pusat pelancongan di kawasan tanah tinggi itu.
Jika resipi Nasi Goreng Strawberi ciptaan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands itu kedengaran pelik, bagaimana pula rasanya Nasi Lemak Sambal Strawberi?
Tentu sekali, sebilangan besar daripada kita berasa pelik dan janggal apabila pertama kali mendengar ‘sambal strawberi’?
Ya, pelik benar kedengarannnya, tapi realitinya hidangan berkenaan sangat sedap!
Itu rumusan yang dibuat oleh krew Astro AWANI ketika berkunjung ke 200 Seeds Café by Abang Strawberry yang terletak di Tanah Rata pada Ahad.
Kunjungan kami disambut baik oleh Ketua Pegawai Operasi Syarikat YBS Agro Premiere Sdn Bhd, Muhammad Munzir Lokman.
Soalan pertama yang kami tanya pada Muhammad Munzir ialah bagaimana idea untuk menghasilkan sambal dengan menggunakan strawberi itu tercetus?
Menurut beliau, idea menghasilkan Nasi Lemak Straberi tercetus di Cameron Highlands sebagai memberi kelainan kepada para pengunjung ke pusat peranginan popular itu.
"Kita menggelar resipi Nasi lemak Sambal Strawberi ini sebagai resipi asli tanah tinggi Cameron Highlands.
“Cameron Highlands memang sinonim dengan strawberi. Oleh itu, kita membuat produk sambal strawberi iaitu sambal nasi lemak yang berasaskan strawberi,” kata Muhammad Munzir.
Dalam temubual dengan Astro AWANI, usahawan muda berkenaan berkata, selain buah strawberi, ramuan rahsia yang menjadikan juadah berkenaan lain daripada lain ialah penggunaan ikan masin kurau.
“Kita mempunyai ladang strawberi dan semua strawberi yang digunakan adalah daripada ladang kita sendiri. Kita turut mencampurkan ikan masin kurau yang premium ke dalam sambal strawberi ini.
“Bagi nasinya yang berwarna merah jambu pula, kita mencampurkan kordial strawberi yang diproses dengan strawberi kita sendiri.
“Keunikannya adalah selepas merasa sambal ini, anda akan merasa masam manis daripada strawberi itu dan kemudian rasa masin dan pedas,” kata Muhammad Munzir berkongsi rahsia.
Nasi lemak sambal strawberi didatangkan dengan dua jenis sambal iaitu sambal cili biasa dan sambal strawberi serta ayam goreng berempah
Kelainan Nasi Lemak Strawberi itu turut menarik perhatian beberapa pelanggan yang mengakui, juadah berkenaan dimasak cukup rasa dan sangat unik.
Bagi Rabiatul Afiqah Ismail, rasa masam dan manis daripada buah strawberi yang digabungkan dengan rasa pedas sambal ikan masin itu sangat menyelerakan.
“Perbezaannya adalah dengan sambal strawberinya. Memang dapat rasa sambal itu dimasak dengan strawberi yang segar. Sambalnya juga manis dan masam, memang berbeza daripada nasi lemak biasa," kata Rabiatul lagi.
Bagi Nurul Izzah Yusof, dari Kedah pula, sekalipun warna merah jambu pada nasi berkenaan kelihatan pelik, namun itulah kelainan juadah berkenaan berbanding nasi lemak yang lazimnya dimakan.
"Warna nasi merah jambu itu pelik tetapi rasa lemak dan masam manis daripada buah berwarna merah itu. Keunikannya sebab warna nasinya ‘pink’, nampak macam menarik. Dan sambal strawberinya memang sedap. Ada rasa pedas, manis dan masin, memang cukup rasa,” kata Nurul Izzah yaang berkunjung ke Cameron Highlands bersama keluarga.
Berbaki lagi lima hari ke PRK Cameron Highlands dan kepada mereka yang pulang mengundi khususnya yang kaki makan, kenapa tidak cuba sendiri Nasi Lemak Sambal Strawberi!
sumber:astroawani
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://makanapaaje.blogspot.com/2019/01/nasi-lemak-sambal-strawberi-di-cameron.html