Nama Kurang Dikenali Jadi Taruhan Kenali Pelakon All Of Us Are Dead Yang Kini Jadi Sebutan
Pertaruhan “All Of Us Are Dead” untuk menampilkan ramai pelakon muda nampaknya tidak menghampakan apabila siri Netflix itu terus meraih No 1 di ranking global selepas sehari tayangannya.
ARTIKEL BERKAITAN
Baru Sehari Tayangan, Siri Zombi 'All Of Us Are Dead' Terus Capai No 1 Di Ranking Netflix Global
Ada sebab mengapa kesemua pelakon ini dipilih, kata pengarah Lee Jae-gyu, ianya kerana dia mahukan sinergi hebat di set selain mahukan penonton supaya ‘tenggelam’ dalam kisah ini apabila melihat lakonan pelakon yang kurang dikenali namun berbakat.
Walaupun kurang dikenali, namun setiap daripada mereka mempunyai pengalaman yang hebat. Lihat sahaja!
Jo Yi-hyun
Watak Choi Nam-ra dilakonkan oleh Jo Yi-hyun iaitu seorang presiden kelas yang terus pentingkan pelajaran meskipun diserang zombi. Pun begitu, gadis itu sentiasa memastikan setiap daripada pelajar di sekolah itu selamat dan sanggup meletakkan dirinya di belakang.
Pernah berlakon dalam filem seperti “Metamorphosis”, Jo Yi-hyun yang berusia 23 tahun ini mula dikenali sebagai doktor praktikal bernama Yun-bok di dalam drama “Hospital Playlist”. Malah gadis itu buat pertama kali menjadi watak utama menerusi drama rantaian “School 2021” yang baru sahaja menamatkan tayangan tak lama dulu.
Park Solomon
4 tahun berehat daripada dunia lakonan, Park Solomon kembali menonjolkan bakatnya sebagai Lee Su-hyeok dalam “All Of Us Are Dead”. Berbekalkan badan yang tegap, lelaki itu mengetuai perlawanan antara zombi dek kemahiran berlawannya yang hebat.
Kalau anda perasan, pelakon lelaki berusia 23 tahun ini pernah muncul dalam drama seperti “Bride Of The Century”, “Doctors”, “Shopaholic Louis”, “Sweet Revenge” dan lain-lain.
Park Ji-hoo
Membawa watak Nam On-jo, Park Ji-hoo yang baru berusia 19 tahun mula mencipta nama menerusi filem “Hummingbird” pada tahun 2019. Oleh kerana lakonannya yang hebat, dia menjadi pelakon wanita termuda yang dinobat sebagai ‘Pelakon Baru Terbaik’ di ‘Festival Filem Antarabangsa Tribeca ke-18’.
Dalam “All Of Us Are Dead”, gadis ini mempraktikkan segala ilmu kelangsungan hidup yang diajar ayahnya, seorang bomba dalam menghadapi krisis zombi ini selain membantu rakannya yang lain agar terus selamat.
Yoon Chan-young
Yoon Chan-young yang berusia 21 tahun, bertanggungjawab membawa watak Lee Chung-san. Menyimpan perasaan terhadap Nam On-jo sekian lama, lelaki itu langsung tidak mementingkan dirinya dan memastikan agar dia dan rakan-rakannya sama-sama terselamat dalam serangan zombi itu.
Biasa membawa watak pelajar, Yoon Chan-young memulakan karier sebagai pelakon menerusi drama “When A Man Loves” pada tahun 2013. Dia kemudiannya menerima pelbagai tawaran dan pernah berlakon dalam pelbagai projek seperti “Dr. Romantic”, “Monstar”, “Still 17”, “Dr. John”, “Nobody Knows”, “Do You Like Brahms?” dan banyak lagi.
Lee Yu-mi
Berusia 28 tahun, Lee Yu-mi membawa watak Na-yeon yang sentiasa berada dalam konflik dengan rakan-rakannya kerana sikap mementingkan diri ketika serangan zombi di sekolah itu.
Semakin dikenali ramai sejak membintangi “Squid Game”, Lee Yu-mi sebenarnya merupakan pelakon yang berbakat besar. Malah dia pernah menerima anugerah ‘Pelakon Baru Terbaik’ di ‘Anugerah Filem Buil ke-30’ dan ‘Anugerah Festival Filem Persatuan Penulis ke-8’.
Yoo In-soo
Merupakan antagonis yang menyakitkan hati, Yoon Gwi-nam dilakonkan oleh Yoo In-soo iaitu seorang yang hanya menjaga dirinya sendiri selepas sekolah mereka diserang zombi. Malah dia tidak teragak-agak untuk menggunakan keganasan bagi mendapatkan apa yang dimahunya.
Lelaki berusia 24 tahun ini memulakan kariernya di dalam drama “Strong Woman Do Bong-soon” pada tahun 2017 sebelum berlakon dalam drama lain seperti “While You Were Sleeping”, “School 2017”, “Avengers Social Club”, “My ID Is Gangnam Beauty”, “Chocolate” dan banyak lagi.
Lee Eun-saem
Berusia 23 tahun namun sebenarnya pelakon yang membawa watak Park Mi-jin ini sudah pun berlakon sejak tahun 2007. Pengalaman yang pelbagai itu terbukti apabila dia membawa watak yang ‘cool’ dan kelakar serta hanya memikirkan cara untuk keluar daripada serangan itu dan memasuki kolej setelah semuanya tamat.
Antara drama lain yang pernah dilakonkannya ialah “Sweet Revenge”, “Miracle We Met”, “Bad Papa”, “Black Dog”, “The Red Sleeve” dan lain-lain.
Ha Seung-ri
Watak Jang Ha-ri yang dilakonkan Ha Seung-ri berjaya mencuri perhatian ramai memandangkan wataknya yang dingin dan berimpian memasuki kolej dalam bidang memanah.
Merupakan seorang pelakon kanak-kanak, Ha Seung-ri sudah pun berada dalam industri hiburan sejak tahun 1999. Malah pelakon berusia 27 tahun itu pernah muncul dalam puluhan drama seperti “Glass Slippers”, “Bread, Love And Dreams”, “Take Care Of Us, Cpatain”, “The Producers”, “Good Manager”, “School 2017”, “The King: Eternal Monarch” dan pelbagai lagi.
Bukan sahaja mereka, kesemua pelakon di dalam “All Of Us Are Dead” ternyata meraih perhatian ramai dengan kemampuan lakonan mereka. Antara daripadanya, Kim Bo-yoon (Seo Hyo-ryung), Ahn Seung-kyoon (Oh Joon-young), Jin Ho-eun (Jang Min-jae), Ahn Ji-ho (Kim Cheol-soo), Shin Jae-hwi (Chang-hoon) dan Kim Jin-young (Kim Ji-min).
Hebat kan mereka semua?
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kimchidaily.my/nama-kurang-dikenali-jadi-taruhan-kenali-pelakon-all-of-us-are-dead-yang-kini-jadi-sebutan/