Najib Tak Layak Dapat Belas Ihsan C4
Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa reformasi dilakukan terhadap sistem pengampunan di Malaysia bagi memastikan mereka yang layak saja diberi pertimbangan.
Gesaan itu sebagai respons kepada keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International.
C4 berpandangan ada keraguan yang besar sama ada Najib memang patut atau tidak mendapat belas ihsan itu selepas mengambil kira kesalahan yang disabitkan ke atasnya ketika memimpin negara.
"Sebagai pemimpin negara, dia menyalah guna kuasa dan kepercayaan yang diberikan pengundi kepadanya untuk secara salah mengkayakan diri sendiri sehingga menjejaskan semua rakyat Malaysia yang lain.
"Mahkamah Rayuan merujuk kes SRC Internationalnya sebagai 'memalukan negara'. Dia masih ada beberapa perbicaraan jenayah untuk kesalahan berkaitan korupsi yang lain dan penghakiman terus untuk tunggakan cukai RM1.69 bilion terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri," kata C4 dalam kenyataan hari ini.
C4 berkata legasi Najib telah tercemar dengan kehilangan besar wang rakyat dan tindakannya telah menyebabkan negara menanggung hutang yang besar, yang sepatutnya boleh disalurkan untuk manfaat rakyat pada tahun-tahun mendatang.
"Adakah ini orang yang benar-benar layak mendapat belas kasihan?" soal NGO itu.
Beberapa hari lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa ia telah mengurangkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun.
Dalam mesyuarat pada 29 Jan, lembaga itu juga mengurangkan denda yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri itu daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dengan itu, hukuman penjara Najib dijangka berakhir pada 23 Ogos 2028, namun dia boleh dibebaskan seawal Ogos 2026 - selepas menjalani dua pertiga tempoh hukuman - atas dasar "berkelakuan baik".
Mengulas lanjut, C4 juga membangkitkan dalam kes Najib, kuasa pengampunan bergantung kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan badan kehakiman juga menyatakan ia tidak boleh dicabar di mahkamah.
Justeru, NGO itu mencadangkan agar "reformasi sewajarnya" terhadap prses pengampunan, termasuk agar pesalah menjalani tempoh penjara minimum mandatori sebelum permohonan pengampunannya boleh dipertimbangkan.
"Had yang sesuai perlu diperkenalkan bagi menegakkan keadilan dan kesaksamaan untuk semua, seperti tempoh minimum mandatori sebelum boleh memohon pengampunan, dan sekatan pengampunan ketika individu tersebut masih dihadapkan dengan pendakwaan jenayah yang serupa.
"Kita mesti benarkan perbincangan terbuka, jujur dan penuh hormat bagi isu ini demi kebaikan negara," kata C4.
NGO itu juga memberi contoh pengampunan di Kanada, yang menyatakan "tempoh menunggu" minimum sebelum pesalah boleh membuat permohonan selain mereka perlu membuktikan berlaku ketidakadilan dan kesukaran tidak wajar ekoran hukuman yang dikenakan.
IMEJ NEGARA
C4 turut membangkitkan kebimbangan pengurangan hukuman Najib akan memberi kesan kepada imej negara dan persepsi awam terhadap sistem keadilan.
"Keputusan ini datang dengan harga yang mahal: dana awam yang dibelanjakan untuk perbicaraan, permohonan interlokuri dan proses rayuan.
"selain itu, usaha yang telah dilakukan agensi penguatkuasaan, wartawan penyiasatan dan pelbagai kerajaan luar yang terlibat dalam penyiasatan, dan paling penting, pemberi maklumat yang telah berdepan risiko untuk mendedahkan skandal ini, dan sekarang semuanya dilihat sia-sia.
"Keputusan ini juga menjejaskan hukuman yang telah diputuskan dan disahkan tiga peringkat kehakiman, dan paling utama, menjejaskan kewibawaan institusi diraja dengan mengheretnya ke dalam kancah politik dan kuasa," kata C4 lagi - Malaysiakini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2024/02/najib-tak-layak-dapat-belas-ihsan-c4.html