Najib Dedah Kit Siang Cadangkan Penubuhan Bersatu
   Executive Editor      MINDA RAKYAT 

PENDANG – Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan mengenai asal usul  penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah hasil cadangan  Penasihat DAP, Lim Kit Siang. 
Bekas Perdana Menteri itu  mendedahkan perkara tersebut semasa berucap merasmikan Persidangan  Perwakilan UMNO Bahagian Pendang di sini malam tadi sekali gus sebagai  reaksinya terhadap pelawaan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini yang  mempelawa parti-parti politik Melayu menyertai BERSATU. 
  Dakwanya, cadangan Kit Siang itu dilontarkan dalam satu mesyuarat  bersama Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin lain sebelum tertubuhnya  Bersatu yang kemudian menyertai Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi  pilihan raya. 
“Saya hendak dedahkan asal usul parti bunga ini  (BERSATU) ditubuhkan. Saya belum pernah cerita lagi, malam ini, saya  hendak cerita siapa agaknya yang mencadangkan penubuhan BERSATU ini. 
“Saya  sudah jumpa orang yang hadir pada mesyuarat berkenaan, orang itu hari  ini sudah bersama kita. Banyak kali dia datang jumpa saya dan  memaklumkan yang mencadangkan BERSATU ditubuhkan adalah Lim Kit Siang. 
“Ayat  Lim Kit Siang “Tun apa kata anda tubuhkan satu parti Melayu baharu”.  Maknanya dalam kepala DAP, Kit Siang hendak jatuhkan kerajaan UMNO dan  Barisan Nasional (BN), pecah belahkan orang Melayu, peralatkan orang  Melayu sendiri dan gunakan orang Melayu sebagai alat untuk menjatuhkan  orang Melayu sendiri. 
“Saya boleh sahkan, ini bukanlah andaian,  ini telah berlaku dan akibatnya bila 10 peratus undi UMNO berkurangan  (tidak mengundi BN), sudah cukup untuk kita tumbang dalam pilihan raya  lalu,” katanya. 
Yang turut hadir, Pengerusi Perhubungan UMNO  negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua UMNO Bahagian Pendang,  Datuk Suraya Yaakob. 
Justeru Najib mempersoalkan siapa sebenarnya yang memecah belahkan orang Melayu dan termakan dengan hasutan DAP. 
“Sebab  itu hari ini, bukanlah kita hendak masuk bersama BERSATU, tetapi kita  perlu memperkukuhkan UMNO kerana inilah satu-satunya parti bersama PAS  yang menyelamatkan masa depan kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/07/najib-dedah-kit-siang-cadangkan.html