Mustahil Keluar Umno Noh Omar
           WARTAWAN WATAN ONLINE                                                                                                                                                              

   Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menafikan  sekeras-kerasnya khabar angin mengatakan beliau akan meninggalkan parti  UMNO.
    Katanya beliau tidak akan mengikuti jejak langkah bekas ahli Parlimen UMNO yang bertindak keluar parti sebelum ini.
    Malah Noh Omar menegaskan beliau akan setia berjuang dalam wadah UMNO meskipun parti itu bukan lagi mentadbir negara.
    “Adalah mustahil untuk saya tinggalkan UMNO, apatah lagi mengkhianati  pengundi yang memberi kepercayaan kepada saya menjadi wakil rakyat  selama enam penggal berturut-turut.
    “Saya menang bukan kerana nama Noh Omar. Kalau kerana nama Noh Omar,  saya fikir saya tak boleh menang. Saya menang kerana mewakili tiket BN  serta memiliki jentera yang sanggup bekerja siang malam.
    “Saya boleh menilai betapa sukarnya mereka berkorban untuk beri  kemenangan kepada saya, UMNO dan BN. Jadi, adalah tidak wajar untuk saya  tinggalkan UMNO,” katanya pada sidang media di Kuala Selangor pada  Sabtu.
    Dakwaan mengatakan Noh akan meninggalkan UMNO berikutan tersebar foto  beliau bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, serta  empat lagi pemimpin parti itu bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir  Mohamad.
    Walaubagaimanapun Noh menjelaskan pertemuan mereka dengan Dr.  Mahathir bukan untuk melompat parti, tetapi untuk berbincang berikutan  dakwaan paeti tertua kaum Melayu itu akan diharamkan.
    “Saya sedang mengerjakan umrah dan terkejut apabila gambar ini keluar  di media sosial, tetapi saya tidak boleh buat kenyataan sebab yang  bersama masa itu, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), selaku Timbalan  Presiden UMNO, beliau lebih layak bagi kenyataan.
    “Kenyataan yang beliau keluarkan betul, kita pergi bukan hendak  lompat, kita pergi sebab ada ura-ura UMNO hendak diharamkan, tetapi kita  merayu jangan UMNO diharamkan.
    “Tun (Dr Mahathir) bagi tahu kita, tidak akan haramkan UMNO, itu saja, tidak timbul isu lompat parti,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/mustahil-keluar-umno-noh-omar.html