Muslim Choice Tidak Diiktiraf Sebagai Halal Jakim
Isu penggunaan label “Muslim Choice” oleh pertubuhan Muslim Friendly Watch (MFW) telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
Label tersebut digunakan bagi menandakan produk dan premis sebagai “mesra Muslim” yang didakwa menepati piawaian kebersihan dan kualiti, namun ia tidak diiktiraf sebagai halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Kenyataan Media JAKIM
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN
PENGIKTIRAFAN “MUSLIM CHOICE”
OLEH MUSLIM FRIENDLY WATCH (MFW)
2 NOVEMBER 2025M / 11 JAMADILAWAL 1447H
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerima maklumat mengenai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang dikenali Muslim Friendly Watch (MFW), yang telah memperkenalkan pengiktirafan “Muslim Choice” kepada para pengusaha yang menepati syarat dan piawaian yang ditetapkan oleh pertubuhan tersebut dengan tujuan memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk atau premis yang diiktiraf adalah berkualiti, bersih dan selamat serta selari dengan prinsip Islam.
2. Jabatan ini telah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 dan telah memaklumkan bahawa pengiktirafan “Muslim Choice” yang dijalankan oleh pertubuhan ini boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat pengguna serta memohon supaya aktiviti tersebut dihentikan. Walau bagaimanapun, berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, pihak MFW dikesan masih meneruskan aktiviti tersebut.
3. Sehubungan dengan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin menegaskan bahawa penggunaan istilah seperti “Muslim Choice” atau seumpamanya yang diperkenalkan oleh mana-mana pihak, termasuk Pasukan Pemantau Mesra Muslim (Muslim-Friendly Watch – MFW), bukanlah suatu perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa, malah boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
4. Berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan.
5. Sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang
membawa maksud halal dan boleh dimakan oleh orang Islam, yang dikeluarkan oleh
mana-mana pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah serta menyalahi
peraturan. Ia juga boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan
mengelirukan pengguna Muslim.
6. Justeru, semua pihak diingatkan untuk tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada JAKIM atau
MAIN/JAIN.
Sekian, terima kasih.
DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

Kredit: JAKIM
Apa itu Muslim Friendly Watch (MFW)
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan pada 20 Januari 2023 di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 (PPM-020-10-20012023).
Muslim Friendly Watch (MFW) ditubuhkan bagi mempromosi, menjamin dan memantau sistem pengiktirafan Muslim Choice untuk melindungi pengguna daripada segi pematuhan terhadap kualiti, kebersihan dan piawaian keselamatan.
Selain itu, Muslim Friendly Watch juga melindungi komponen produk dan premis perniagaan bagi memenuhi keperluan pengguna serta menyahut seruan dakwah dalam Islam.
Apa itu Muslim Choice
Muslim Choice ialah satu sistem yang diwujudkan oleh Muslim Friendly Watch (MFW) sebagai platform rujukan untuk pengguna dan peniaga.
Sistem ini bertujuan membantu komuniti Muslim dalam memilih perkhidmatan dan produk yang sesuai serta berkualiti.
Sebagai platform untuk peniaga, sistem ini memberi peluang kepada mereka untuk memasarkan produk dan perkhidmatan kepada pasaran Muslim.
Ia juga berfungsi sebagai medium untuk meyakinkan komuniti Muslim agar menggunakan produk atau perkhidmatan yang telah dinilai dan diaudit berdasarkan kriteria H, Q, S (Kebersihan, Kualiti dan Keselamatan).
Arahan Penghentian Penggunaan Label oleh JAKIM
JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan pihak MFW pada 23 Ogos lalu untuk membincangkan isu penggunaan istilah Muslim Choice.
Dalam pertemuan tersebut, MFW diminta menghentikan segera sebarang bentuk promosi atau pengiktirafan yang boleh menimbulkan kekeliruan mengenai status halal produk dan premis.
Namun, laporan yang diterima daripada pihak berkuasa agama negeri menunjukkan MFW masih meneruskan aktiviti berkenaan. Situasi ini menimbulkan kebimbangan apabila semakin banyak pengguna menyangka label Muslim Choice membawa maksud pengesahan halal rasmi.

Penjelasan JAKIM: Hanya Sijil Halal Rasmi Diiktiraf di Malaysia
JAKIM menegaskan bahawa hanya pihaknya serta MAIN dan JAIN mempunyai kuasa undang-undang untuk mengeluarkan pengesahan halal di Malaysia, seperti yang diperuntukkan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Pensijilan halal rasmi yang diiktiraf melalui prosedur ketat memastikan setiap produk memenuhi piawaian Halalan Toyyiban, merangkumi aspek kebersihan, kualiti, dan keselamatan.
Penggunaan istilah atau logo lain yang menyerupai pensijilan halal boleh menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap sistem halal negara.
Pandangan Mufti Pulau Pinang Mengenai Label Muslim Choice
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman, menjelaskan bahawa label Muslim Choice tidak boleh dianggap sebagai tanda halal dari sudut syarak.
Penggunaan istilah tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan termasuk dalam kategori syubhah, iaitu perkara yang meragukan status hukumnya.
Beliau menjelaskan bahawa masyarakat mudah menyangka produk yang menggunakan label tersebut telah disahkan halal oleh pihak berkuasa agama.
Dari sudut undang-undang, ia juga melanggar peraturan yang menetapkan hanya JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri yang berhak mengeluarkan pensijilan halal.
Dari perspektif dakwah pula, umat Islam diingatkan agar berhati-hati menggunakan istilah agama dalam perniagaan supaya tidak menyalahgunakan kepercayaan masyarakat terhadap label halal.
Tindakan Muslim Friendly Watch (MFW) dan Permohonan Maaf
Selepas isu ini mendapat perhatian umum, MFW mengeluarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam.
Presiden MFW, Noorman Kamsani, menjelaskan bahawa Muslim Choice bukanlah badan pensijilan halal tetapi merupakan sistem dalaman bagi mengurus data ahli korporat pertubuhan tersebut.
Logo dan nama sistem tersebut hanya berfungsi sebagai identiti dalaman organisasi dan tidak pernah diberikan kebenaran untuk digunakan oleh mana-mana ahli, syarikat atau produk.
MFW turut menghentikan penggunaan sistem Muslim Choice serta-merta dan sedang menilai semula tatakelola organisasi agar mematuhi garis panduan JAKIM.
MFW juga bercadang mengadakan perbincangan rasmi dengan JAKIM untuk mendapatkan khidmat nasihat dan memastikan segala urusan organisasi selaras dengan undang-undang sedia ada.
Kredit: Astro Awani
Pembubaran Rasmi Muslim Friendly Watch (MFW)
Pada 6 November 2025, Muslim Friendly Watch mengumumkan pembubaran rasmi pertubuhan itu di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Keputusan ini dibuat selepas mendapat teguran daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, dan pihak JAKIM berhubung kekeliruan yang timbul akibat label Muslim Choice.
MFW menjelaskan bahawa langkah pembubaran ini diambil sebagai tanda ketaatan kepada pihak berkuasa agama dan keinsafan terhadap keperluan menjaga kemaslahatan ummah serta nama baik agama Islam. Mereka turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan akibat kekeliruan tersebut.
Kredit: MalaysiaGazette TV
Kembali kepada Prinsip Halalan Toyyiban
Isu Muslim Choice menjadi peringatan penting kepada umat Islam agar lebih berhati-hati dalam memilih produk yang benar-benar disahkan halal oleh pihak berautoriti.
Dalam Islam, konsep Halalan Toyyiban merangkumi bukan sahaja halal dari segi hukum, tetapi juga baik dari segi kebersihan, keselamatan dan keberkatan.
Pengguna Muslim disaran untuk:
Menyemak status halal melalui portal halal rasmi JAKIM.
Mengelak daripada membeli produk dengan logo atau istilah yang menyerupai tanda halal.
Mengutamakan produk dan premis yang mempunyai pensijilan halal rasmi JAKIM atau JAIN.
Baca juga:
Logo Halal Luar Negara Yang Diiktiraf JAKIM (2024)
Senarai Makanan Halal Di 7E Hatyai – Sedap & Murah!
Kalendar Islam 2026 & Tarikh Penting Bulan Islam – JAKIM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/muslim-choice/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=muslim-choice