Muslim Akan Menjadi Seperti Sampah
Dalam beberapa buah hadith, Rasulullah mengingatkan kepada kita tentang beberapa perkara yang dilakukan oleh umat terdahulu yang telah membinasakan mereka. Antaranya ialah:
1. Bertelagah dengan pemimpin mereka sendiri. Apabila pemimpin mereka menyatakan sesuatu kebenaran, mereka sendiri membantah malah bertelagah dengan kebenaran tersebut. Sabda Rasulullah:
فإنَّما أَهْلَكَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ، كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ، وَاخْتِلَافُهُمْ علَى أَنْبِيَائِهِمْ
“Sesungguhnya telah binasalah umat sebelum kamu kerana banyak mempersoalkan (mengajukan soalan kepada Nabi mereka) dan mereka berbantah (bercanggah) dengan arahan Nabi (iaitu pemimpin mereka ketika itu). (HR Muslim)
2. Yang membinasakan ummah ini juga adalah apabila pemimpin mereka sendiri mengutamakan kroni mereka. Bahkan tidak berlaku adil kepada rakyat. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah yang bersabda:
إنَّما أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أنَّهُمْ كَانُوا إذَا سَرَقَ فِيهِمِ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وإذَا سَرَقَ فِيهِمِ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عليه الحَدَّ
“Sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu kerana apabila yang mencuri itu orang yang mulia (orang yang mempunyai kedudukan), kamu tidak kenakan hukuman ke atas mereka, tetapi apabila rakyat yang lemah melakukan kesalahan, kamu hukum mereka.”
Hadith ini mengingatkan kepada kita bagaimana sekiranya pemimpin itu tidak adil, bahkan menyelamatkan kroni mereka sahaja, maka ia akan menjadi punca kebinasaan ummah ini.
3. Sifat tamak pemimpin yang mengutamakan kepentingan diri juga akan membinasakan ummah ini. Sabda Rasulullah:
إياكم والشحَّ فإنه أهلك من كان قبلكم أمرهم بالكذبِ فكذبوا وأمرهم بالظلمِ فظلمُوا
“Jauhilah sifat kedekut, kerana sesungguhnya umat terdahulu telah binasa kerana sifat ini menghasut mereka untuk menipu, lalu mereka menipu. Sifat ini membimbing mereka untuk melakukan kezaliman, lalu mereka bersifat zalim.”
Pemimpin yang tamak dan kedekut untuk memberikan sumbangan buat Islam akan membinasakan ummah ini.
4. Bahkan sifat pemimpin Muslim yang cintakan dunia juga akan menyebabkan ummah ini menjadi lemah seperti sampah. Mereka ditendang ke sana ke mari, dihina oleh orang kafir kerana sikap cintakan dunia. Sabda Rasulullah:
يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا ». فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِى قُلُوبِكُمُ الْوَهَنَ ». فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهَنُ قَالَ « حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ ».
“Hampir saja para kaum (orang kafir) akan mengerumuni kamu dari berbagai penjuru, sebagaimana mereka berkumpul menghadapi makanan dalam piring”. Kemudian seseorang bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kerana bilangan kita sedikit?”
Rasulullah berkata: Bahkan kamu ketika itu sangat ramai! Akan tetapi kalian seumpama sampah yang dibawa oleh air hujan. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kalian dan akan menimpakan dalam hati kalian ’Wahn’. Kemudian seseorang bertanya,”Apa itu ’wahn’?” Rasulullah berkata,”Cinta dunia dan takut mati.” (HR Abu Daud)
Semoga Allah membimbing kita
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://thekl-chronicle.blogspot.com/2019/08/muslim-akan-menjadi-seperti-sampah.html