Mujur Surau Berkunci Kalau Tak Mungkin Patung Diletak Dalam Surau
Sinar Harian
Penduduk dan jemaah masjid gempar dengan penemuan patung di surau Surau Sabilul Huda. - Foto Sinar Harian
PELABUHAN KLANG: Penduduk Taman Pendamar Indah, gempar apabila menemui sebuah patung berhala diletakkan di pintu utama di Surau Sabilul Huda, di sini, semalam.
Difahamkan, patung yang turut dikalungi bunga itu diletakkan individu tidak bertanggungjawab antara jam 2.30 hingga 4 petang sebelum disedari siak yang datang ke surau itu untuk membuat persiapan solat Asar.
Siak surau terbabit, Mohd Yatim Omar, 64, berkata, beliau menemui patung itu ketika mahu membuka kunci pintu utama surau berkenaan, kira-kira jam 4.15 petang.
Katanya, beliau segera memaklumkan kepada ahli jawatankuasa (AJK) serta kariah untuk melihat sendiri patung tersebut.
“Semua berada dalam keadaan baik ketika saya mahu pulang selepas selesai solat Zuhur dan patung itu tidak ada di situ. Tetapi apabila saya kembali ke surau untuk buat persiapan solat Asar, saya terkejut bila lihat patung berhala ini diletakkan di atas pagar beranda di depan pintu masuk utama surau.
–– ADVERTISEMENT ––
“Saya tak tahu apa motif atau sesiapa yang letak patung ini. Tambahan pula surau ini tak ada kamera litar tertutup (CCTV). Mujur surau berkunci, kalau tak, mungkin patung ini akan diletakkan dalam surau,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Menurut beliau, pihak AJK Surau Sabilul Huda tidak pernah menerima aduan atau masalah dengan mana-mana pihak.
“Cuma tabung surau ini banyak kali dicuri, rasanya lebih 10 kali,” katanya.
Tambah Mohd Yatim, individu terbabit seolah sengaja mahu mencetuskan provokasi agama dan perkauman.
“Perkara ini sangat sensitif kerana ia mencemarkan tempat ibadah bagi masyarakat beragama Islam.
“Perbuatan mereka ini seolah-olah menghina agama Islam dan kami mahu dalang di sebalik kejadian ini tampil meminta maaf.
“Awalnya kami tak mahu menimbulkan sebarang kekecohan serta perbesarkan perkara ini, namun kami tak boleh diamkan diri lagi kerana perkara ini menyentuh sensitiviti agama serta tidak menghormati orang Islam,” katanya.
Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pandamaran, awal pagi tadi selain turut menyerahkan patung itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, salah seorang AJK surau tersebut, Abd Rahman Mohd Shariff, 46, berkata, kejadian itu kali pertama berlaku sehjak surau berkenaan dibina pada 1995.
“Memang terkejut dan marah bila dimaklumkan mengenai kejadian ini. Pihak tak bertanggungjawab ini seolah-olah sengaja mahu menimbulkan suasana tidak harmoni di kariah ini.
“Sebelum ini kita hidup aman damai walaupun taman ini dihuni dengan pelbagai kaum. Sepatutnya perkara sensitif seperti ini tidak boleh berlaku dan kami harap perkara ini dapat diambil tindakan sewajarnya," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/mujur-surau-berkunci-kalau-tak-mungkin.html