Mujahid Menteri Gagal
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa memang layak dikatakan gagal walaupun bekerja keras dalam tempoh setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Ahli akademik, Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi berkata, ini kerana Mujahid "bekerja dengan cara berbeza dan gagal sampai kepada orang ramai" yang dikelirukan pihak-pihak tertentu yang memiliki agenda.
"Masalah Melayu berkaitan agama. Masalahnya adalah mereka dikawal oleh pihak tertentu menggunakan naratif tertentu.
"Jika naratif itu tidak berubah, tiada apa yang akan berubah di negara ini," katanya dalam forum 'New Malaysia - Old Politics' di Wisma Methodist di Kuala Lumpur hari ini.
Tajuddin juga mencadangkan Kementerian Pendidikan mengkaji semula subjek pendidikan Islam di sekolah yang sebelum ini diasingkan dari tamadun manusia.
"Sebelum Nabi Muhammad dilahirkan, sudah ada tamadun. Dalam al-Quran, ia mengatakan anda perlu percaya kitab-kitab lain. Ini menunjukkan ia adalah sebahagian daripada tamadun.
"Malangnya, apabila anda bercakap dengan sesetengah orang Islam, mereka hanya peduli pada era pasca Muhammad."
Mohamad Tajudin, seorang profesor seni bina dari universiti UCSI, berkata kumpulan pengganas atau pelampau adalah kelompok yang berfikir mereka adalah lebih istimewa berbanding orang lain.
"Adakah kita mahu mendidik orang Islam untuk menjadi seperti itu? Adakah kita mahu mendidik orang Melayu hanya berfikir mereka istimewa sedangkan orang lain lebih rendah? Ada perkara yang budaya lain lebih baik dan ini di mana kita mesti bekerjasama," katanya.
Akibat jahil sejarah, katanya, terdapat orang Melayu yang mengutuk Yahudi tetapi pada masa sama tidak tahu bahawa Nabi Musa juga berketurunan Yahudi.
Mengulas lanjut, Mohamad Tajudin berkata adalah tidak adil untuk menilai PH secara keseluruhan.
"Mereka lakukan terbaik dalam beberapa perkara tapi beberapa perkara lain berlaku di luar kawalan.
"Ada juga perkara yang tidak berubah. Sebagai contoh, dari segi keselamatan, saya tidak melihat banyak pembaikan dari pihak polis. Sebelum ini mereka menahan mereka dari pembangkang. Tapi sekarang, mereka menangkap mereka yang dari Barisan Nasional," katanya.
Malaysiakini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2019/05/mujahid-menteri-gagal.html