Mufti Sifatkan Pemergian Abam Sebagai Husnul Khatimah
MALAYSIAKINI 
Pemergian pelawak Abam Bocey bukan sahaja diperkatakan peminat dan  golongan seni tanah air, malah turut mencuri perhatian pemimpin negara  dan golongan agama.
Meskipun sudah lima hari Abam kembali ke rahmatullah, kebaikannya terus diperkatakan dan dikongsi di media sosial.
Turut  mengulas mengenai pemergian Abam ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Dr  Zulkifli Mohamad yang menyifatkan kematian pemilik nama penuh Syed Umar  Mokhtar Syed Mohd Redzuan al-Juffrey itu sebagai husnul khatimah.
“Mungkin  ramai juga yang tertanya-tanya. Walaupun sudah hampir seminggu  kematiannya, nama Abam masih lagi meniti di bibir-bibir orang ramai.
"Mengapa boleh jadi sedemikian rupa? Adakah kerana kemasyhurannya? Atau kerana lawaknya yang sentiasa diingati?
“Bagi  saya, bila mana kematiannya sentiasa disebut-sebut, itulah petanda  kematian dan penamat yang baik (husnul khatimah),” katanya menerusi  akaun Facebook. 

Tambahnya, ribuan yang hadir bagi menyempurnakan solat jenazah Abam juga menunjukkan petanda husnul khatimah.
“Seperkara lagi, solat jenazahnya dihadiri oleh ramai orang.
“Ini jua menunjukkan petanda husnul khatimah,” katanya lagi.
Dr  Zulkifli berkata demikian dalam merujuk sabda Rasullulah: Tidaklah  seorang Muslim meninggal kemudian disolatkan jenazahnya oleh 40 orang  yang tidak menyekutukan Allah, kecuali Allah mengizinkan mereka memberi  syafaat kepadanya (pada Hari Kiamat nanti) .
Terdahulu,  media melaporkan dianggarkan 2,000 orang hadir bagi menziarahi  allahyarham buat kali terakhir dan menyempurnakan solat jenazahnya
Pada 10 Feb lalu, Abam meninggal dunia di kediamannya, di Gombak, Selangor kira-kira jam 8.30 pagi dipercayai akibat demam panas.
Kejadian  itu disedari isterinya, Nor Hidayah yang cuba mengejutkan arwah untuk  bangun solat Subuh. Abam, 32, dikatakan mengalami demam panas dua hari  sebelum itu namun tidak mendapatkan rawatan di hospital.
Allahyarham  meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki Syed Uthman Hamzah  Al-Juffrey yang kini berusia lima bulan. Selain Abam, kumpulan Bocey  turut dianggotai Fad dan Achey.
Sementara itu, Dr Zulkifli turut  menyampaikan takziah dan mendoakan agar keluarga Abam diberikan  ketabahan menghadapi dugaan tersebut.
“Semoga dikurniakan  ketabahan dan kesabaran, khususnya kepada isteri beliau dalam  membesarkan anak yang dikasihi, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.
“Mungkin  jika satu hari nanti anakanda Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey terbaca  nukilan ini, ketahuilah bahawa ayahandamu seorang yang baik dan  disenangi semua orang,” katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/mufti-sifatkan-pemergian-abam-sebagai.html